Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
DALAM kehidupan kita, antara perkara yang sukar diamalkan ialah meminta maaf. Ini kerana, ia dihalangi oleh sifat ego dan sombong. Oleh kerana itulah, bagi sesetengah di kalangan kita, meminta maaf boleh menjatuhkan martabat dan merendahkan kedudukan seseorang itu di mata orang lain.
Bahkan, ada yang menganggap meminta maaf adalah merupakan satu langkah yang kurang bijak kerana ia seolah-olah menggambarkan kita bersalah.
Sebenarnya, pandangan dan tanggapan ini adalah tidak tepat. Meminta maaf adalah merupakan perlakuan yang sepatutnya dibudayakan. Tidak semestinya orang yang meminta maaf itu melakukan kesalahan.
Namun, bukankah Allah SWT meminta kita memohon ampun kepada-Nya? Perlakuan memohon keampunan Allah SWT ini bukannya di ketika kita melakukan dosa kepada-Nya sahaja, bahkan ia dituntut untuk dilakukan sebagai manifestasi kehambaan kita kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kita contoh akhlak sebagai hamba iaitu memohon ampun walaupun Rasulullah SAW terpelihara daripada melakukan dosa.
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali. (riwayat Al-Bukhari)
Demikian juga di antara manusia dengan manusia. Meminta maaf bukanlah semestinya kita telah melakukan kesalahan kepadanya. Akan tetapi, ia membawa maksud kasih-sayang, hormat-menghormati dan saling menghargai.
Lebih-lebih lagi, terdapat dosa yang kadang-kala tidak disedari atau diketahui oleh kita. Maka, sebagai langkah berhati-hati, meminta maaf adalah cara yang paling selamat.
Walau bagaimanapun, sebenarnya memberikan kemaafan adalah lebih sukar daripada meminta kemaafan. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kesalahan atau kesilapan besar yang dilakukan terhadap kita.
Memang tidak dapat dinafikan, apabila terdapat orang yang melakukan kesalahan kepada kita, ia kadang-kala berat untuk dimaafkan. Ini adalah kerana, kesalahan tersebut mungkin telah mengguris perasaan kita dan kadang-kala ia menjejaskan hak dan kepentingan kita.
Kenapa kemaafan sukar diberikan walaupun kesalahan yang dilakukan terhadap kita sudah lama berlalu dan orang yang melakukannya telah lama bertaubat? Jawapannya ialah kerana kita terlalu mengikut perasaan dan emosi.
Orang yang sukar memaafkan kesalahan orang lain sebenarnya terpenjara dalam perasaan dendam dan marahnya. Sehingga banyak masa yang dibazirkan untuk melayan perasaan benci, marah dan dendam yang membelenggu diri.
Hatinya sentiasa resah disebabkan kebenciannya yang berlarutan sehingga kadang-kala menghalangnya daripada melakukan tugasan dan seterusnya mengganggu pemikiran.
Allah SWT adalah merupakan Tuhan yang bersifat ghafur iaitu Yang Maha Pengampun. Dengan maksud yang lain, Allah SWT sentiasa mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan dan maksiat kepada-Nya.
Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman: Wahai Anak Adam! Selagi mana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepada-Ku, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula." (riwayat al-Tirmidzi)
Malahan, Allah SWT meminta kita supaya tidak berputus-asa kepada keampunan dan rahmat-Nya, walaupun telah melakukan kesalahan berulang-kali.
Allah SWT berfirman: Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar: 53).
No comments:
Post a Comment