RAMAI di kalangan umat Islam hari ini tersalah dalam memahami sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan dihukum sebagai kafir. Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dalam permasalahan khilaf pada cabang feqah. Ia akhirnya menatijahkan hanya sedikit sahaja individu yang diiktiraf sebagai muslimin yang tinggal di muka bumi ini pada penilaian mereka.
Mengambil sikap baik sangka, berkemungkinan niat mereka baik demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf nahi mungkar.
Namun, mereka lupa, dalam melaksanakan konsep amar makruf nahi mungkar, perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan memberi peringatan yang baik. Jika ada yang perlu diperdebatkanpun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik. (rujuk al-Nahl: 125)
Al-'Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad mengatakan: "Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya) ataupun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."
Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) seperti masalah tauhid, kenabian, kesempurnaan risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari kiamat, hisab, pembalasan pada hari kiamat serta syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir.
Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya.
Sesungguhnya, menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas adalah suatu yang amat bahaya.
Rasulullah SAW menegaskan: "Jika seseorang berkata kepada saudaranya 'wahai kafir', maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya."
Orang yang layak untuk menilai sama ada seseorang itu kafir atau mukmin, hanyalah orang yang mengetahui menerusi sinaran cahaya syariat Islam perkara-perkara yang memasukkan seseorang kepada kekufuran dan yang mengeluarkannya dan juga orang mengetahui secara pasti, batas pemisah antara keimanan dan kekufuran di sisi hukum syariat Islam yang mulia dan sempurna.
Sesiapapun juga tidak harus bertindak rakus dan terburu-buru dalam medan ini dan menuduh kafir terhadap saudara seagamanya hanya berdasarkan kepada sesuatu yang tidak pasti dan prasangka tanpa menggunakan ukuran yang pasti dan meyakinkan serta pengetahuan yang kukuh dan mendalam.
Jika tidak berhati-hati, yang jernih akan bercampur dengan yang keruh dan tidak akan ada lagi seorang Muslim pun di atas muka bumi ini. Jika ada pun hanya sedikit.
Begitu juga, tidak boleh seseorang itu dihukum kafir hanya kerana dia melakukan maksiat. Padahal dia masih mempunyai keimanan dan memperakuinya dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sehubungan dengan perkara ini, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: "Tiga perkara daripada asas keimanan ialah menahan diri daripada (mengkafirkan) orang yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallah kita tidak mengkafirkannya kerana dia berbuat dosa dan kita tidak mengeluarkannya daripada Islam hanya kerana dia melakukan maksiat dan jihad yang sentiasa berterusan semenjak Allah mengutus saya menjadi Nabi hingga umat saya yang terakhir memerangi Dajjal. Jihad tidak akan dibatalkan kerana kezaliman orang yang zalim ataupun kerana keadilan orang yang adil. Dan (yang ketiga), beriman dengan qadar."
Imam Haramain berkata: "Jika dikatakan kepada kita 'perincikan ungkapan atau perilaku yang membawa kepada kekafiran dan tidak membawa kepada kekafiran'. Kami menjawab 'ini suatu keinginan yang bukan pada tempatnya kerana (hak) mengkafirkan orang lain adalah termasuk dalam masalah yang sangat jauh jangkauannya dan sangat dalam wawasannya, yang harus dikaji asal-usul tauhid. Sesiapa yang tidak mengetahui sesuatu ilmu hingga kepada hakikatnya, tidak mungkin mengetahui cara membuktikan kekafiran seseorang dengan pasti."
Oleh kerana itu, hendaklah kita mengingati dan berhati-hati daripada melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SWT yang dapat menunjuki ke jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya sahajalah kita semua akan dikembalikan.
No comments:
Post a Comment