JIKA pepatah Melayu mengatakan cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, tetapi dari sudut ekonomi dan sosial, jika perut kenyang, hati senang dan bila hati senang otak dapat berfikir dengan baik dan tenang.
Orang Melayu menjadi hati sebagai fokus dalam kehidupan yang menyebabkan jika hati terjaga dengan baik, maka seseorang itu mendapat nikmat kebahagiaan.
Dalam Islam, hati adalah fokus utama di mana dalam sebuah hadis dinyatakan dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah manusia itu. Jika daging itu tidak baik maka rosaklah manusia itu. Daging itu adalah hati.
Sebab itu dalam masyarakat Melayu-Islam ada banyak perkara yang dikaitkan dengan hati seperti patah hati, makan hati, sakit hati, hati batu, buah hati dan sebagainya.
Dalam sebuah keluarga Islam, kesukaran menjaga hati akan berakhir dengan makan hati, rumah tangga menjadi hancur. Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin berkahwin seseorang itu mestilah mampu fizikal, mental (termasuk kerohanian) dan kewangan.
Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini, perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu. Ini bukan bermakna seseorang itu perlu kaya raya baru boleh menjadikan rumah tangganya bahagia.
Tetapi kemampuan menanggung makan minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.
Persoalan hati ini sering menjadi punca perceraian. Jika cinta pandang pertama itu terpaut di hati, maka tidak hairanlah punca perceraian kerana sakit hati berlaku dalam masyarakat Islam.
Masalahnya sakit hati satu penyakit yang sukar diubati. Kerana sakit hati, pasangan bermusuh-musuhan sehingga tidak dapat memaafkan antara satu sama lain. Bukan sekadar tidak boleh bertegur sapa, malahan ada pasangan yang bergaduh hingga bercerai dan tidak boleh bertemu atau berkomunikasi antara satu sama lain. Waima, bayang pasangan atau bekas pasangannya pun dia tidak mahu dilihat.
Trend baru cerai
Kerunsingan saya meningkat apabila melihat beberapa trend baru dalam perceraian masa kini. Trend itu ialah sakit hati dan dendam berpanjangan hingga menjejas hubungan kekeluargaan kedua belah pihak dan anak-anak.
Pada masa dahulu trend perceraian yang paling kerap berlaku di kalangan pasangan Islam ialah gantung tak bertali. Suami akan meninggalkan isterinya begitu saja. Bermakna suami keluar rumah tanpa meninggal pesan dan tidak langsung menjenguk isteri dan anak-anaknya apatah lagi memberi nafkah.
Dulu isteri yang digantung tidak bertali tidak pergi ke mahkamah menuntut cerai melalui taklik kerana merasa sangat malu ditinggal suami begitu saja.
Ada juga dalam beberapa kes, suami meninggalkan isterinya tanpa menyentuhnya pun pada malam pertama. Isteri seperti ini disebut sebagai 'janda berhias' kerana walaupun dia janda, dia masih anak dara kerana belum disetubuhi suaminya.
Ada satu dua kes selepas anak-anak dewasa dan bekerja, baru isteri ini ke mahkamah syariah menuntut cerai kerana hendak ke Mekah atau kerana desakan anak-anak.
Hari ini 'gantung tak bertali' sudah kurang kerana rata-rata wanita tahu hak mereka. Jika ditinggalkan suami begitu saja lebih dari empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir dan batin seperti dalam taklik, maka mereka boleh mendapat taklik.
Status janda bukan masalah atau stigma malah status ibu tunggal juga kini diterima secara positif. Perubahan cara masyarakat berfikir menjadikan proses menyesuaikan diri apabila diceraikan lebih mudah.
Walaupun wanita telah banyak terdedah kepada hak mereka dalam perkahwinan dan boleh memohon fasakh atau taklik, namun masih ramai isteri yang tidak memohon cerai kerana menjaga hati.
Daripada pengamatan saya, biasanya isteri yang rendah hati ini selalunya dibuli atau dianiaya secara emosi oleh suami. Sehinggakan dia tidak percaya pada dirinya sendiri dan sentiasa menyalahkan dirinya apabila perkahwinan menemui kehancuran.
Trend ini juga telah banyak berubah. Isteri kini lebih garang dan berani menyalahkan suami. Isteri juga telah mula keluar daripada kepompong kedukaan berpanjangan kepada penuntutan hak dan keinginan merasa bahagia.
Namun isu soal hati tetap ada. Daripada trend bertahan kerana menjaga hati anak, ibu bapa dan mentua, kini trendnya ialah pasangan menyimpan rasa benci yang berpanjangan sehinggakan ia memberi kesan kepada anak-anak.
Apa yang pasangan hari ini perlu ingat jika mereka bercerai dan mempunyai anak, mereka masih perlu berhubung antara satu sama lain terutama dalam hal nafkah, perwalian dan harta.
Janganlah kerana kebencian antara satu sama lain menyebabkan anak-anak dibesarkan dalam kebencian dan tidak menghormati mereka sebagai ibu bapa.
No comments:
Post a Comment