Like Blog Ini...

Friday, July 20, 2012

Khalid al-Walid

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

DIKATAKAN seramai 3,350 anggota tentera musuh mati ditangan tentera Islam pada Perang Muktah berbanding hanya 12 orang di pihak Islam. Tidakkah ini bermakna kemenangan luar biasa pihak Islam? Apatah lagi bila mengetahui bilangan tentera Islam hanya seramai 3,000 berbanding di pihak musuh, 200,000 orang.

Walau bagaimanapun kedengaran juga daripada segelintir pihak yang mendakwa kemenangan sebenarnya tetap di pihak tentera Rom Byzantine, bukan di pihak Islam.

Alasannya, pihak Islam tidak berjaya menawan Muktah (Wilayah Karak, Jordan) yang ketika itu merupakan wilayah di bawah jajahan Rom.

Apa pun persoalannya, terpulanglah bagaimana cara ia difahami dan ditafsirkan mengikut kepentingan masing-masing.

Malah, jika dikatakan tentera Islam sebenarnya kalah dalam peperangan ini, maka ia bukan menjadi satu kesalahan atau terkutuk di sisi Allah. Ini kerana menang atau kalah tentu banyak hikmah dan pengajaran yang patut dijadikan peringatan dan sempadan.

Berbalik kepada Pedang Allah, Khalid bin Al-Walid, beliau menunjukkan dua peribadi yang cukup berbeza ketika mengepalai tentera di Perang Uhud dan Perang Muktah.

Pada Perang Uhud, Khalid menentang Islam, namun beliaulah yang paling kuat mempertahankan Islam semasa Perang Muktah.

Marilah kita mengenali Khalid Al Walid kerana dengan mengenali beliau maka ia menambahkan lagi koleksi tokoh-tokoh Islam yang wajar kita kagumi.

Selain menjadi salah seorang hero dalam Islam, beliau dikatakan salah seorang antara panglima tentera yang paling hebat dalam sejarah peperangan dunia.

Ia setanding dengan Ghengis Khan kerana kedua-duanya tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan yang mereka sertai.

Tetapi tahukah anda kehebatan beliau ini sama sekali tidak membuatkan Khalid berasa bangga tetapi lebih kepada mengeluh sendiri.

Sebagaimana umat dan pahlawan-pahlawan Islam yang lain, pada jiwa Khalid juga kental dengan cita-cita untuk mati syahid di medan tempur. Namun hajatnya tidak pernah tertunai atau kesampaian.

Beliau sentiasa membawakan tentera Islam kepada kemenangan dengan tiada musuh yang berjaya dan mampu menumbangkan Khalid.

Namun Khalid akhirnya terpaksa akur apabila ada sahabat yang memujuknya: "Engkau tidak boleh mati syahid wahai Khalid! Ini kerana engkau telah dilantik sebagai Pedang Allah oleh Rasulullah dan pedang Allah tidak boleh patah (gugur syahid) di medan perang."

Tiada perang yang tidak dimenanginya. Walaupun mencari syahid tetapi yang pasti Khalid mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di akhirat.

Ini kerana beliau sendiri mempunyai luka-luka dan parut peperangan di seluruh badannya yang boleh dijadikan bukti.

Kehebatan Khalid

Ini sebagaimana kata-kata Khalid sebelum beliau meninggal dunia: "Aku telah berperang lebih daripada 100 kali dan tiada di badanku ini walaupun seinci kecuali padanya penuh dengan pukulan pedang, tusukan panah dan tikaman tombak. Dan inilah aku, yang akhirnya mati di atas katilku sendiri."

Kata-katanya itu tertulis di bahagian luar kompleks makamnya di Syria yang tidak putus-putus dikunjungi umat Islam.

Melihatkan kepada rupa bentuk pedang milik Khalid yang masih tersimpan elok sehingga hari ini, serta sentiasa menarik perhatian orang ramai. Dari situ kita sudah boleh mengagumi akan kehebatan Khalid.

Apatah lagi melihatkan rupa paras Khalid itu sendiri, pasti lebih mengagumkan.

Dikatakan juga Khalid dan Saidina Umar Al Khattab adalah dua pahlawan Islam yang tiada bezanya yang kebetulan kedua-dua mereka adalah sepupu.

Dilahirkan dalam keluarga bangsawan terkemuka, suku Bani Makhzum dalam golongan Arab Quraisy dengan bapanya Al-Walid ibnu Al-Mughira merupakan ketua suku tersebut.

Bani Makhzum lazimnya bertanggungjawab dalam soal peperangan bagi mempertahankan golongan kafir Quraisy Mekah.

Lalu sejak awal kelahiran Khalid, beliau telah dibentuk untuk menjadi pahlawan sejati apabila ketika usia bayi beliau telah dihantar untuk tinggal bersama puak-puak Arab Badwi di padang pasir untuk diasuh hidup secara lasak dan tangkas.

Sehinggalah usianya memasuki enam tahun beliau kembali ke pangkuan keluarga di Kota Mekah menjadi seorang anak yang membesar dengan begitu gagah dan berani.

Lebih-lebih lagi, mempunyai Umar sebagai sepupu, perwatakan fizikal dan peribadi mereka sememangnya sama, termasuk wajah.

Kedua-duanya sama tinggi dan mempunyai bahu yang lebar, dada yang bidang dengan janggut dan jambang tebal di muka.

Khalid adalah jaguh gusti yang terkemuka di Kota Mekah dan pernah bergusti dengan Umar sehingga patah tangan Umar. Sebagai meneruskan tradisi kekeluargaan beliau juga sangat hebat mengendalikan kuda, malah dikatakan penunggang kuda terbaik di Semenanjung Tanah Arab ketika itu.

Sejak kecil juga Khalid sudah mahir bermain pelbagai alat senjata terutamanya pedang, tombak dan anak panah.

No comments: