Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
STATISTIK yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang parlimen, baru-baru ini sekali lagi mengejutkan kita. Laporan yang berkaitan dengan bilangan kes kebankrapan yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi setakat April 2012 ialah sebanyak 241,740 kes.
Perkara ini sangat mengejutkan kerana kebanyakan mereka yang berstatus bankrap ini masih muda, seawal 25 tahun. Bayangkan, pada usia muda sudah menyandang status bankrap.
Menurut kajian yang telah dibuat, secara purata lebih kurang 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long.
Beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi membendung masalah ini. Antaranya ialah peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengehadkan pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros, selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Sekiranya kita amati secara teliti, sebenarnya punca kepada peningkatan kes kebankrapan adalah disebabkan oleh sikap.
Selagi mana sikap tamak, suka menunjuk-nunjuk dan suka membazir tidak dapat dikawal, maka selagi itulah masalah kebankrapan tidak dapat dibendung atau dikurangkan.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat di kalangan kita yang mempunyai masalah kewangan. Barangkali, ia bukanlah disebabkan kelemahan perancangan yang dibuat, tetapi kerana berhadapan dengan situasi kecemasan yang tidak dijangkakan.
Oleh itu, Islam mengharuskan untuk kita berhutang. Walaupun ia dibenarkan dan diharuskan oleh Islam, ini tidak bermakna Islam menggalakkan kita berhutang. Ia hanyalah untuk memenuhi keperluan di peringkat dharuriyat iaitu keperluan yang bersangatan seperti rumah, kenderaan, perubatan dan pendidikan.
Islam tidak membenarkan kita berhutang untuk bermewah-mewah dan untuk menyombong diri. Orang yang mempunyai perasaan suka menunjuk-nunjuk tidak akan puas dengan apa yang dimiliki. Semuanya akan dibuat asalkan dia dapat mempamerkan kemewahannya kepada orang lain. Kekaguman orang terhadapnya seolah-olah memberikan suatu kepuasan kepadanya. (rujuk Luqman: 18)
Ibnu Az-Zubair pernah berkhutbah di Mekah, dengan menyatakan: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: Seandainya manusia diberikan lembah yang dipenuhi dengan emas, maka dia masih menginginkan lembah yang kedua seumpama itu. Jika diberikan lembah kedua, dia akan masih menginginkan lembah yang ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi sesiapa sahaja yang bertaubat. (riwayat al-Bukhari)
Semoga kita terpelihara daripada belenggu hutang yang akhirnya membataskan dan menyulitkan kehidupan kita. Orang yang bebas daripada hutang ialah orang yang merdeka dan tumpuan mereka tidak terganggu serta yang paling penting sekali dia akan dapat mengelakkan diri daripada penipuan dan pengkhianatan.
No comments:
Post a Comment