Like Blog Ini...

Saturday, July 14, 2012

Internet TV IKIM

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DUA puluh tahun dahulu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam menyampaikan kefahaman Islam tertumpu kepada penganjuran program-program berbentuk ilmiah seperti seminar, persidangan, bengkel, forum, muzakarah pakar selain menggunakan medium penerbitan buku-buku berbentuk ilmiah.

Setelah IKIM beroperasi selama sembilan tahun, ia maju selangkah dengan penubuhan radio IKIMfm yang bermula pada 6 Julai 2001.

Sejak itu, lingkungan pendengar radio Islami yang satu-satunya beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu ini bertambah dari semasa ke semasa.

Mutakhir, jika ditanya orang ramai tentang IKIM, tidak ada siapa yang tidak kenal. Apatah lagi peranannya dalam mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat berkaitan Islam.

Selain peranannya sebagai institusi penyelidikan yang diwujudkan oleh kerajaan 20 tahun lalu untuk meningkatkan kefahaman Islam agar dapat difahami, sekali gus menyusun kehidupan individu dan masyarakat sehingga terbinanya sebuah tamadun manusia yang mulia.

Sempena ulang tahun ke-20 tahun ini, IKIM mengambil inisiatif memperkenalkan siaran televisyennya ke seluruh dunia melalui saluran Internet yang diberi nama TV IKIM.

Kewujudan Internet TV IKIM ini turut dilihat sebagai satu lagi usaha terkini IKIM dalam mengisi seberapa banyak ruang yang ada untuk misi dakwahnya.

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, pihaknya tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan media baru ini.

Katanya, Internet TV IKIM akan memudah dan menyampaikan lagi ilmu kefahaman Islam dengan lebih meluas kepada orang ramai, malahan kepada yang bukan beragama Islam.

"Sejak penubuhannya, segala bentuk perbincangan, seminar, ceramah dirakamkan dalam bahan audio visual hanya diketahui dan dinikmati oleh mereka yang mengunjungi IKIM dan perpustakaan IKIM.

"Kini, IKIM mahu memudahkan capaian bahan-bahan audio visual melalui Internet TV IKIM yang akan dapat dicapai dalam bentuk program televisyen di seluruh negara," katanya dalam wawancara khas dengan Mega, baru-baru ini.

Menurut Mustapha lagi, IKIM memiliki arkib video sebanyak hampir 400 tajuk seminar sejak tahun 1992.

Mengenai pengisian program Internet TV IKIM itu kelak, kata beliau, pada peringkat permulaan ini, dua saluran utama akan diperkenalkan iaitu; siaran rakaman rancangan ilmiah yang ke udara di IKIMfm seperti Dunia Ekonomi, Islam Itu Indah, Islam Agamaku dan lain-lain lagi.

Kedua, saluran Perspektif iaitu program seminar, forum, bengkel ilmiah anjuran IKIM.

Perbincangan ilmiah yang merangkumi isu Islam semasa, ekonomi, politik, syariah, undang-undang, alam sekitar, keluarga, remaja sains dan teknologi.

"Selain itu, Internet TV IKIM juga akan mempunyai saluran tambahan untuk Siaran Langsung (live streaming). Antaranya siaran slot Warna Pagi IKIMfm juga dapat ditonton oleh orang ramai.

"Begitu juga dengan seminar ataupun majlis perbincangan akademik yang berlangsung di IKIM akan disiarkan secara langsung.

"Bagi saluran Eksklusif di mana ia akan mengetengahkan rancangan yang berbentuk eksklusif dengan tayangan berbayar dan terhad. Saluran ini hanya dapat ditonton setelah penonton melanggan tiket ataupun kata laluan," jelasnya.

IKIM mensasarkan semua lapisan masyarakat daripada pemimpin kepada orang ramai, ibu bapa remaja, orang Islam dan bukan Islam sama ada di Malaysia mahupun dari seluruh dunia menjadi sasaran Internet TV IKIM.

Tambah Nik Mustapha, untuk menonton Internet TV IKIM amat mudah kerana orang ramai hanya perlu melayari www.tvikim.my.

Uniknya, Internet TV IKIM ini dapat ditonton melalui pelbagai peranti pintar (smart devices) seperti komputer riba malah turut dapat ditonton melalui tablet dan Telefon pintar (smartphone) iphone dan android.

Di samping itu dengan tag line 'Rangkaian Kefahaman Islam' menjadikan Internet TV IKIM taruhan kekuatannya yang berasaskan pengisian ilmiah.

"Yang saya nampak dan jangka kekuatan yang ada pada Internet TV IKIM ini adalah taglinenya dan kekuatan kita juga adalah pada pengisian program yang bersifat keilmuan.

"Kita di IKIM ini mempunyai tiga pusat akademik dan satu pusat perundingan dan latihan. Iaitu; Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak), Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) dan Pusat Perundingan dan Latihan (PPLI).

"Boleh dikatakan keempat-empat pusat ini menumpukan program-program berbentuk ilmu dan dalam pelbagai disiplin ilmu. Pegawai akademik dari pusat-pusat kajian ini telah merangka topik dan isu Islam yang akan disampaikan melalui penganjuran seminar, bengkel, forum, muzakarah pakar dan sebagainya," katanya.

No comments: