Like Blog Ini...

Monday, July 23, 2012

Terbaik dunia

Oleh LAUPA JUNUS

Kedudukan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terletak di pinggir Kuala Lumpur bagaikan satu tangki oksigen kepada penduduk bandar raya.

Ini kerana kawasan seluas 515 hektar itu yang merupakan bekas lombong itu, berubah menjadi pusat penyelidikan perhutanan sejak tahun 1929 dan kini merupakan antara santuari tumbuhan hidup tertua dan terpenting dunia.

FRIM akan kekal dan diingati selagi negara ini memiliki hutan.

FRIM wajar berbangga kini memiliki sekitar 15 juta batang pokok daripada 2,500 spesies yang berlainan dan melindungi kira-kira 100 spesies tumbuhan terancam.

Koleksi jutaan batang pokok itu disimpan dalam bentuk pokok hidup atau Arboretum yang menjadi ciri utama membentuk suasana damai FRIM, yang berperanan untuk kajian sains, pemeliharaan sumber genetik serta pameran.

Kejayaan FRIM kini lebih daripada sekadar menjaga khazanah alam belantara kita atau bahasa kekayaan alam sekitar kini yang dipanggil biodiversiti.

Daripada sekian banyak anugerah yang diterima oleh agensi tersebut yang kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) antara yang istimewa ialah Anugerah Sains Mahathir 2008 bagi kategori Sumber Semulajadi Tropika.

FRIM juga mengorak langkah membawa misi kejayaan negara apabila pada April lalu, agensi tersebut menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 bagi Institusi yang telah mencapai kecemerlangan dari segi sumbangan saintifik atau teknologikal terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara anggota di Khartoum, Sudan,

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd. Latif Mohmod, telah menerima hadiah plak, sijil pengiktirafan dan wang tunai berjumlah RM330,000 yang disampaikan oleh Presiden Republik Sudan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir.

Anugerah itu yang disampaikan sempena dengan Mesyuarat Lembaga Gabenor IDB yang ke-37 turut mengiktiraf kejayaan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang menerima bagi kategori Perbankan dan Kewangan Islam

Sesungguhnya penerimaan anugerah ini adalah satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan pencapaian FRIM dalam menerajui bidang perhutanan, bioteknologi perhutanan, alam sekitar dan biodiversiti hutan serta sumbangannya kepada pembangunan sains dan teknologi dalam sektor perhutanan di Malaysia.

Usaha FRIM untuk berkongsi teknologi dan hasil R&D dengan orang ramai melalui penerbitan artikel-artikel saintifik dan bukan saintifik; kejayaannya dalam pengkomersialan hasil R&D; serta penerimaan pelbagai anugerah dan pengiktirafan lain juga telah melayakkan FRIM untuk menerima anugerah ini.

Institut juga memahat pengiktirafan apabila disenarai antara institusi penyelidikan terbaik dunia oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan Sepanyol, atau Consejo Superior de Investigaciones Científicas (CSIC).

FRIM muncul antara institusi penyelidikan terbaik dunia apabila disenaraikan pada ranking 546 daripada 4,000 oleh CSIC.

Menurut kajian CSIC itu, melalui laporan terkini yang dikeluarkan pada Januari tahun ini, kedudukan FRIM bertambah baik dari kedudukan 813 pada tahun lepas.

Kajian CSIC itu dibuat dari beberapa aspek seperti penyelidikan oleh FRIM, serta artikel-artikel yang keluarkan FRIM.

"Ini satu penghargaan kepada Malaysia. Dari segi penyelidikan hutan tidak banyak negara luar yang melakukannya selain daripada Malaysia," kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.

Menurutnya, Malaysia mengamalkan pemeliharaan hutan, dalam masa yang sama mengimbangi pemeliharaan tersebut melalui penyelidikan untuk memastikan keseimbangan alam sekitar.

Mengulas mengenai pencapaian-pencapaian itu, Dr. Abdul Latif yang juga pakar dalam bidang rotan berkata, pihaknya sedang merangka agenda baru bagi untuk pembangunan akan datang dalam konteks perspektif perhutanan.

Memberitahu wartawan Utusan, beliau berkata, FRIM menjadi akan menjadi institusi penyelidikan bertaraf apeks dan mampu mencapai sehingga ke peringkat Hadiah Nobel.

"FRIM sekarang berada berada dalam kedudukan pertama sebagai institusi perhutanan tropika dunia.

"Kerajaan perlu menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan wajar atas sensitiviti dan kepentingan isu perhutanan dunia, persekitaran dan perubahan iklim dalam semua aspek kehidupan,'' katanya.

FRIM juga kata beliau, akan menjadi badan akreditasi untuk antarabangsa, menjana pendapatan melalui pengkomersialan dan pusat sehenti terutama pensijilan Eropah.

Dengan rentetan pencapaian itu , FRIM baru-baru ini dipilih sebagai penerima Anugerah Badan Berkanun kategori Penyelidikan bagi tahun 2012 oleh Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM).

Anugerah tersebut disampaikan pada 23 Jun lalu pada Majlis Penyampaian Anugerah 2012 yang diadakan sempena Mesyuarat Agung PBBM yang ke-29 di Langkawi, Kedah.

FRIM berjaya meraih anugerah tersebut atas dasar konsistensi pencapaiannya menerima anugerah-anugerah sains berprestij seperti Nikkei Asia Award, Anugerah Sains Mahathir, Anugerah Buku Negara, Malaysia Book of Record (MBR), serta Anugerah Bank Pembangunan Islam (IDB) bagi kategori Sains dan Teknologi.

Kesemua anugerah tersebut diperoleh atas kecemerlangan sumbangan penyelidikan FRIM terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.

Baru-baru ini FRIM juga telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dr. Abdul Latiff berkata, pencapaian FRIM bukannya sesuatu yang mudah serta merupakan tanda penghargaan dari PBBM ke atas usaha, nilai dan impak penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilaksanakan oleh FRIM.

Persoalannya, mampukah FRIM menyahut cabaran untuk terus melangkah ke persada lebih tinggi atau mengekalkan kejayaan di masa-masa akan datang?"

Anugerah ini turut mengiktiraf inisiatif FRIM menterjemah hasil R&D dalam bentuk buku-buku mewah mesra ilmu untuk dikongsi dengan awam dan berkepentingan.

PBBM telah ditubuhkan pada 1984 untuk merapat dan memperkukuh kerjasama di antara ahli-ahli Persatuan dengan tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan Badan-badan Berkanun di Malaysia.

No comments: