Like Blog Ini...

Sunday, July 15, 2012

Pelajar perempuan dominasi IPTA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 Julai - Pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan program ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara apabila 25,372 (65.8 peratus) diterima masuk pada tahun ini berbanding pelajar lelaki seramai 13,177 (34.2 peratus).

Pecahan kemasukan mengikut jantina itu berdasarkan jumlah 38,549 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi yang berjaya mendapat tempat di IPTA daripada keseluruhan 63,467 permohonan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, prestasi calon berjaya berbanding calon layak mengikut kaum menunjukkan 27,455 (70.2 peratus) bumiputera, 8.986 (86.4 peratus) kaum Cina, 1,384 (72.8 peratus) kaum India serta 724 (69.8 peratus) lain-lain kaum.

"Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dalam menentukan merit seseorang calon," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai status keputusan permohonan ke IPTA bagi program pengajian lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi untuk sesi akademik 2012/2013 itu di sini hari ini.

Menurut Rujhan, seramai 5,154 calon ditawar mengikuti lapan kursus kompetitif iaitu perubatan (875 calon) pergigian (170); farmasi (295); undang-undang (354); kejuruteraan kimia (666); kejuruteraan mekanikal (1,071); kejuruteraan elektrik dan elektronik (919); dan perakaunan (804) calon.

"Untuk sesi akademik kali ini juga, seramai 1,682 calon atlet negeri dan negara, 28 calon Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 22 calon Orang Asli turut ditawarkan tempat ke IPTA.

"Surat tawaran rasmi bakal dikeluarkan kepada semua calon yang berjaya mulai 16 Julai ini dan pengesahan persetujuan menerima tawaran perlu dibuat dalam tempoh 10 hari atau sebelum 22 Julai. Manakala tarikh pendaftaran pada 1 hingga 2 September ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rujhan berkata, mulai tahun ini, lima IPTA berstatus universiti penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (USM) diberi autonomi pengurusan kemasukan pelajar ke universiti berkenaan.

"Dalam hal ini, calon diberi peluang memilih program pengajian di lima buah universiti berkenaan dan termasuk 15 IPTA lain mengikut minat, cita-cita dan kecenderungan calon.

"Kesan daripada pelaksanaan langkah itu menyebabkan seramai 2,015 calon pada tahun ini mendapat dua tawaran, bagaimanapun mereka perlu memilih salah satu daripadanya sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat seramai 683 calon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas gagal mendapat tempat di IPTA.

Katanya, ia melibatkan seramai 105 calon yang mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 163 calon dengan PNGK 3.00 hingga 3.49 tidak mendapat tawaran kerana tidak bersetuju menerima program di luar pilihan mereka.

"Seramai 87 calon yang mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 328 calon dengan PNGK 3.00 hingga 3.49 pula gagal mendapat tempat kerana tidak memenuhi syarat am universiti atau syarat khas program pengajian yang dipilih," katanya.

Beliau memberi contoh kes calon dengan PNGK tertinggi iaitu 3.96 gagal mendapat tempat kerana memohon kursus perubatan di universiti penyelidikan yang mensyaratkan PNGK 4.0 untuk kursus kompetitif itu serta disebabkan tidak mahu menerima tawaran kursus sama di universiti lain.

Sementara itu, beliau berkata, calon yang gagal menerima sebarang tawaran boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 22 Julai.

"Jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 September ini maka rayuan tersebut hendaklah dianggap gagal," katanya.

No comments: