Like Blog Ini...

Monday, July 23, 2012

Warisan geologi Langkawi

PENGISYTIHARAN di bawah inisiatif Jaringan Global Geoparks Dunia (GGN) itu bermatlamat mempromosi, melindungi serta membangunkan wilayah atau lokasi alam semulajadi yang kaya dengan ciri geologi.

Kesemua kawasan yang diisytiharkan termasuk 99 buah pulau dalam gugusan kepulauan Langkawi meliputi setiap tunggul batu yang kelihatan di permukaan laut, kawasan hutan belantara dan seluruh perkampungan di sana.

Secara asasnya, geopark merujuk kepada kawasan yang mempunyai sejarah batu-batu menarik, kepelbagaian pembentukan batuan dan landskap semulajadi yang indah.

Apa yang istimewa, ia mampu menjadi tarikan pelancongan baru kerana mengandungi nilai warisan cukup tinggi merangkumi produk biodiversiti seperti flora dan fauna yang wajar dipelihara.

Penggemar aktiviti berunsurkan geopark ini biasanya terdiri daripada golongan penyelidik, ahli akademik dan individu yang terlibat secara langsung dalam kajian berteraskan alam semulajadi.

Mereka cukup menghargai kualiti estetika dan keanehan yang terdapat pada produk geopark di samping mengaplikasi operasi kajiannya untuk tujuan pembangunan pendidikan dan saintifik di peringkat antarabangsa.

Selain itu, melalui aktiviti rekreasi geopelancongan pula, ia bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih mapan dan secara tidak langsung meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Sehingga hari ini, sebanyak 88 buah geopark telah disenaraikan oleh UNESCO di 27 buah negara seluruh dunia.

Bantu pembangunan

Salah satu visi Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar (NRE) adalah untuk membangun serta melindungi sumber mineral dan geosains negara menjelang tahun 2020.

Melengkapkan matlamat itu, NRE bersama beberapa agensi di bawahnya telah mengambil pelbagai langkah proaktif memelihara dan membina kawasan geopelancongan di sekitar Pulau Langkawi.

Ahli Geologi di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Muhammad Muztadza Mazni memberitahu, ketika ini pihaknya sedang proses memeta kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan geopelancongan.

‘‘Ia termasuk aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) secara berterusan bermatlamat memelihara sumber warisan geologi ini.

‘‘Tidak cukup dengan itu, kita turut menggariskan beberapa peraturan dan penguatkuasaan berkaitannya bagi memastikan sumber ini dibangunkan dengan selamat, sistematik dan efisien,’’ katanya.

Muhammad Muztadza memberitahu lagi, dalam usaha merangka pembangunan kawasan geopark, JMG memberi fokus kepada tiga elemen utama.

Ia termasuk pemulihan warisan menggunakan pendekatan inovatif, perkembangan ekonomi dan pembangunan komuniti.

Untuk kawasan hutan di geopark pula, JMG akan menjalankan proses pemuliharaan dan integrasi landskap geologi secara lebih bersepadu.

Dengan segala usaha berterusan itu, geopark bakal menjadi satu konsep pelancongan alternatif baru di Malaysia.

Menerusinya, pelancong dapat melawat sejarah evolusi Malaysia yang berusia jutaan tahun selain golongan muda juga dapat mencedok sedikit ilmu daripada warisan tidak ternilai ini.

- NAZRUL AZIM SHARUDDIN

No comments: