Like Blog Ini...

Sunday, May 31, 2009

Jangan putus asa dari rahmat Allah

Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud: "Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya". (Lata'if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-'Imran: 164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan "Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah", maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku".

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah... (al-Zumar: 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: "Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian".

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahu a'lam.

Mimpi matahari Siti Khadijah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAIDATINA Siti Khadijah binti Khuwailid atau Khadijah al Kubra merupakan isteri pertama Nabi Muhammad SAW. Nama penuhnya Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai.

Beliau ialah anak perempuan pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zaidah berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy namun dikatakan bapanya itu terbunuh dalam peperangan Fujjar.

Siti Khadijah sebelum mengahwini Rasulullah pernah berkahwin sebanyak dua kali, iaitu perkahwinan pertamanya bersama Ais atau Atiq bin Abid dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan Jariyah dan perkahwinan keduanya, adalah dengan Abu Halah bin Malik dan mempunyai anak iaitu Hindun dan Zainab.

Kedua-dua suaminya meninggal dunia menyebabkan Siti Khadijah menjadi janda atau balu sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad.

Begitupun dikatakan Siti Khadijah telah puas menolak lamaran daripada ramai lelaki Quraisy yang kaya, berkedudukan tinggi dan berpengaruh besar di Kota Mekah sebaik sahaja kematian suami keduanya itu. Ini termasuklah pinangan daripada Uqbah bin Abi Muith, Abu Jahal dan Abu Suffyan.

Soalnya mengapa? Adakah kerana Siti Khadijah sudah tertutup hatinya dengan mana-mana lelaki untuk dijadikan pasangan hidup atau beliau berharap agar lelaki yang bakal dikahwini merupakan Nabi Muhammad. Namun kerana beberapa keadaan, beliau terpaksa memendam perasaannya itu terhadap pemuda yang sering menjadi sebutan penduduk Mekah itu.

Kita tidak dapat mengenalpasti jarak dan masa antara Siti Khadijah menjanda sehingga beliau mengenali Rasulullah yang menyebabkan beliau menolak kesemua lamaran-lamaran tersebut.

Namun apa yang jelas, Siti Khadijah yang pada mulanya hanya mengenali Nabi Muhammad pada nama sahaja akhirnya benar-benar jatuh hati terhadap pemuda itu apabila mendengarkan segala kisah-kisah seperti yang diceritakan oleh hambanya, Maisarah sebelum ini.

Iaitu kisah keperibadian baginda yang sangat mulia dan kebijaksanaan Nabi dalam menguruskan dan menjayakan misi dagang ke Syam.

Siti Khadijah benar-benar telah jatuh hati dan terpikat terhadap Nabi dan telah menyebabkan hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga walaupun dengan seorang pemuda yang tidak punya apa-apa itu.

Malah dikatakan perasaan beliau terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh ditahan-tahan atau dihalang-halang lagi sehingga beliau berkata: "Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Rumawi diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk".

Sehingga begitu sekali perasaan Siti Khadijah terhadap Nabi.

Tetapi pernahkah Siti Khadijah sendiri meluahkan perasaannya itu terhadap tuan badan? Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah Ibnu Hisyam (halaman 204), mencatatkan bahawa Siti Khadijah sendiri dikatakan pernah bertemu bagi menyatakan perasaannya terhadap Nabi Muhammad dengan berkata: "Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di antara kita (bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan kaum serta kejujuran, akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada pada saudara maka saya sangat ingin untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan saudara wahai Muhammad!"

merealisasikan impian

Namun, bagaimana harapan itu boleh menjadi kenyataan sedangkan Siti Khadijah menyedari akan terdapatnya satu adat tradisi yang boleh menghalangnya kecuali beliau perlu menunggu dan Nabi Muhammad itu sendiri yang meminangnya bagi membolehkan mereka akhirnya dapat hidup sebagai pasangan suami isteri.

Tidak mungkin perigi yang mencari timba namun wanita bangsawan ini menyedari bahawa beliau terpaksa memecahkan tradisi itu bagi merealisasikan impian suci itu.

Beliau kemudiannya meminta bantuan seorang rakan, iaitu Nafisah@Nafsiah binti Aliyah@Muniiah@Munyaa untuk menemui Nabi Muhammad bagi pihaknya dan mengharapkan rakannya itu akan membawa pulang dengan berita gembira.

Berikut dialog antara rakan Siti Khadijah itu dengan Nabi Muhammad; "Wahai Muhammad mengapa tidak anda sinari kehidupan malam anda dengan seorang isteri?"

Jawab Nabi: "Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin".

"Kalau begitu apakah anda akan menyambutnya dengan senang hati jika saya mengundang anda kepada kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan," kata Nafisah.

Nabi menjawab; "Apa maksud anda?"

Lalu Nafsiah menyebut nama Siti Khadijah.

Mendengarkan nama Siti Khadijah itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata "Apakah Khadijah sudi menerima saya, pada hal dunia saya dan dunia dia jauh berbeza dan sedangkan beliau pernah menolak lamaran-lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripada saya?"

"Saya mendapat kepercayaan daripada Siti Khadijah dan akan membuat dia setuju. Anda hanya perlu menetapkan tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat mendampingi anda berserta sahabat handai, rakan taulan dan upacara perkahwinan dan perayaan dapat diadakan," kata Nafsiah.

Nabi Muhammad tidak lagi mempunyai alasan untuk berdolak dalik malah rasa terharu dengan permintaan Siti Khadijah itu dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan membawa khabar gembira.

Nabi Muhammad kemudiannya menyerahkan kepada bapa saudaranya, Abu Talib bagi mengaturkan pertemuan dengan keluarga Siti Khadijah dan sama-sama merancang untuk menjayakan majlis perkahwinan ini.

Wali perkahwinan

Amar bin Asad merupakan bapa saudara malah ada yang menyebut Amar bin Khuwailid, iaitu saudara lelaki Siti Khadijah menjadi wali perkahwinan berikutan si bapa, Khuwailid seperti disebut dari awal tadi terbunuh dalam peperangan Fujjar.

Begitupun, sebenarnya dikatakan berlaku tentangan daripada keluarga Siti Khadijah apabila janda kaya ini memilih Nabi Muhammad sebagai pasangan hidup.

Malah sesetengah riwayat mencatatkan, tentangan paling kuat datangnya daripada bapanya sendiri, Khuwailid.

Lantas bagi menjayakan perkahwinannya, Siti Khadijah dikatakan banyak memberi bapanya minum arak sehingga menyebabkan Khuwailid mabuk teruk dan tidak dapat menghalang perkahwinan anaknya dengan Nabi Muhammad itu.

Akhirnya, Nabi Muhammad dan Siti Khadijah selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis yang tidak kurang meriah dan disambut oleh seluruh penduduk Mekah.

Baginda dikatakan membayar mas kahwin sebanyak 20 bakrah atau 400 ratus dinar tetapi ada yang menyebut Khadijah menerima 20 ekor unta yang masih muda daripada suaminya itu.

Episod perkahwinan Nabi Muhammad dan Siti Khadijah mungkin tidak akan berlangsung jika tidak berdasarkan alamat yang ditunjukkan oleh mimpi yang dialami oleh wanita itu.

Pada suatu hari iaitu dikatakan sebelum Nabi Muhammad mengambil upah mengetuai rombongan dagangan ke Syam itu, Siti Khadijah dikatakan telah didatangi satu mimpi yang agak aneh dan ini menyebabkan beliau segera menemui sepupunya, pendita atau rahib agama Hanif, Waraqah bin Naufal atau nama penuhnya Waraqah bin Nawfal bin Assad bin Abd al-Uzza bin Qusayy Al-Qurashi.

"Malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berputar-putar di atas Kota Mekah, lalu turun ke arah bumi.

"Ternyata matahari itu turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatkanku terpegun.

"Lalu aku terbangun daripada tidurku itu" kata Siti Khadijah.

Mendengarkan itu, lalu Waraqah berkata; "Aku sampaikan berita gembira kepadamu, bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang untuk menjadi teman hidupmu.

"Dia memiliki kedudukan penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin meningkat," kata Waraqah.

Akibat dari mimpi itulah ditakdirkan tidak lama kemudian Khadijah menjadi isteri Muhammad.

Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, "... telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah ..." Selanjutnya, "Dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya".

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi.

Gagal semai minat berniaga

SOALAN
Masyarakat Malaysia, sejak kebelakangan ini menjadi lebih haru-biru. Pusat-pusat pondan, pusat hiburan, premis minuman keras, pusat persundalan tumbuh seumpama cendawan lepas hujan, penjualan dadah dan pil-pil hayal semakin menjadi-jadi.

Manakala cakera padat (CD) lucah dijual seumpama tidak dikawal. Orang Melayu secara terang-terangan buat bisnes menjual alat-alat membesar zakar dan membuat demonstrasi tanpa segan silu dan menjual ubat kuat seolah-olah tidak ada kerja lain.

Malaysia memerlukan pemimpin dari peringkat atas ke akar umbi yang boleh dijadikan contoh dan proaktif ada wawasan serta memahami ke arah mana rakyat Malaysia hendak dibawa.

n Kerani kilang, bangi.

Jawapan:

Pandangan saudara itu benar. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Setiap orang daripada kamu itu adalah ketua. Setiap ketua itu bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah kendaliannya. Seorang bapa bertanggungjawab ke atas anak-anak yang di bawah pengawasannya, termasuk isteri. Begitu juga ketua kampung, penghulu, pegawai daerah dan sebagainya termasuk ahli politik juga raja-raja.

Tanggungjawab seorang pemimpin atau ketua itu bukan terhenti hanya di dunia sahaja, tetapi akan dibawa ke akhirat, di mana seseorang itu tetap bertanggungjawab dan akan disoal oleh Allah swt apa yang telah dilakukan oleh seorang ketua terhadap mereka yang di bawah kelolaannya.

Mereka yang memahami obligasi seumpama ini akan berusaha melakukan sesuatu yang terbaik untuk melaksanakan kewajipan yang diberi. Namun mereka yang tidak memahami hal-hal seumpama ini atau sesat dialun nafsu rakus akan menggunakan pelbagai kemudahan, kekayaan yang terbentang di hadapannya untuk kepentingan diri sendiri.

Faktor-faktor sekeliling mempengaruhi pertumbuhan peribadi seseorang. Dalam sebuah rumah tangga, tindak-tanduk ibu dan bapa sentiasa diperhatikan dan akhirnya dituruti oleh anak-anak. Setiap anak-anak disogokkan dengan contoh-contoh yang dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya.

Kerana itu tidak peliklah seorang peniaga itu kemudiannya akan melahirkan anak-anak yang minat berniaga. Begitu juga halnya dengan penyanyi dan pelakon. Walaupun tidak dinafikan hal seumpama ini tidak semestinya berlaku.

Merujuk contoh seperti ini, saya teringatkan semasa saya tinggal di kampung di sekitar tahun 50-an di Batu Pahat. Seluruh penduduk kampung bekerja sebagai petani, yang bergantung kepada hasil kelapa. Setiap pagi mereka memikul sabit panjang setinggi pokok kelapa, juga pengupas kelapa ataupun menggalas bakul kelapa, depan, belakang sehingga melentur kayu pemikulnya. Pandangan harian seperti ini melahirkan minat anak-anak untuk bekerja di kebun-kebun, untuk menanam kelapa atau menebas di kebun-kebun.

Setelah beberapa orang daripada anak-anak jiran lulus sekolah menengah di bandar dan bekerja sebagai kerani juga guru, keinginan untuk menjadi guru dan kerani itu timbul dalam pemikiran anak-anak muda. Untuk memperlihatkan kejayaan yang terbaik, profesion kerani dan guru sementara, biarpun guru sementara ditonjolkan. Kalau ada anak- anak yang duduk berpeluk tubuh, mereka diibaratkan "duduk macam kerani."

Hal-hal seumpama ini memperlihatkan bahawa alam persekitaran itu memainkan peranan penting. Kerana itu orang-orang Melayu kurang daya maju berbanding dengan orang Cina kerana sebahagian besarnya orang Melayu menghuni di kampung-kampung, jauh daripada kemudahan asas, termasuk kampung tempat saya tinggal.

Kita sering menuding, menyalahkan penjajah yang menempatkan orang Melayu di ceruk-ceruk pendalaman menyebabkan mereka lebih tertinggal ke belakang berbanding dengan orang-orang Cina yang mendiami di bandar-bandar atau pekan-pekan.

Kegagalan ataupun kelembapan untuk bersaing maju buat masa kini hakikatnya bukan terletak pada tempat di mana mereka tinggal atau ditempatkan, biarpun alasan itu ada kebenarannya.

Orang Cina pun banyak mendiami kampung-kampung pedalaman tetapi mereka tetap berjaya, menanam sayur dan menjaja di seluruh kampung berjalan kaki atau berbasikal ketika itu. Orang-orang Melayu, termasuk mereka yang berketurunan Jawa juga berjaya menjadi petani yang baik.

Orang Cina ini datang dari tempat yang susah, berjuang untuk hidup dan sentiasa bekerja keras. Begitu juga dengan orang Jawa yang datang dari Jawa. Mereka terus dibentuk oleh kedua-dua ibu bapa untuk bekerja keras, menyedari bahawa di Malaysia ini terdapat peluang yang tidak diperoleh di negeri mereka, menyebabkan mereka lebih berjaya berbanding penduduk tempatan.

Saya perhatikan penduduk tempatan yang bekerja nelayan di sesetengah tempat hingga kini masih duduk di kedai kopi sebelum turun ke laut di subuh pagi dan duduk di kedai kopi lagi sebelum balik ke rumah di petang hari. Begitulah yang dilakukan bertahun-tahun, tanpa ada usaha atau idea untuk menjual sendiri hasil yang diperoleh. Mereka lebih rela duduk di kedai kopi selepas berada di laut sehari suntuk sehingga Maghrib berlabuh.

Perlakuan seperti ini sebenarnya tidak ubah seperti tayangan televisyen yang dipertontonkan setiap pagi dan petang kepada anak-anak muda. Apabila mereka ini mati, selain perahu dan mata-mata kail menjadi harta warisan, tempat duduk dan cawan kopi milik mereka yang telah pergi turut menjadi warisan, menyebabkan mereka mewarisi nasib sama seperti orang tua mereka.

Hal yang sama berlaku sekarang ini. Kita sering mengeluh, mengadu dan menuding orang lain kerana kebanjiran peniaga-peniaga pasar malam yang dimonopoli oleh penduduk tanah seberang di sesetengah tempat. Penduduk tempatan mengadu di akhbar-akhbar bahawa peniaga-peniaga ini menjual barangan harian murah menyebabkan mereka tidak mendapat keuntungan yang besar. Rumah-rumah sewa menjadi mahal kerana pendatang tinggal beramai-ramai menyebabkan penduduk tempatan terpaksa menyewa dengan harga yang tinggi.

Menurut apa yang dapat kita perhatikan majlis-majlis daerah adakalanya dirasakan seumpama tidak berupaya untuk melakukan pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga ini. Sebab sebenar tidak diketahui. Mungkin kurang kakitangan ataupun kerana tidak peka dengan hal-hal seumpama ini, menyebabkan mereka bertindak hanya setelah adanya aduan.

Saya berpendapat keluhan seperti ini sebenarnya tidak menguntungkan sama sekali. Kesilapan lebih banyak berpunca daripada diri sendiri. Penduduk tempatan adakalanya lebih rela menyewakan gerai ataupun tapak perniagaan kepada mereka yang dianggap sebagai "pendatang" yang bekerja keras setelah menyedari bahawa pasar-pasar malam Malaysia adalah lombong emas.

Kalau mereka boleh menjual harga yang murah, kenapa penduduk tempatan tidak boleh berbuat demikian, pada hal harga yang murah hasil adanya persaingan itu adalah baik untuk para pengguna. Adakah sumber hasil bahan jualan itu diperoleh daripada pembekal yang berbeza, atau mereka membeli daripada pasar borong secara terus, manakala penduduk tempatan menerima bahan bahan tadi dari orang tengah, mereka masih sayangkan bantal, untuk berlari ke pasar borong menyebabkan mereka rugi kalau menjualnya sama harga yang dikenakan oleh lawannya tadi.

Dunia niaga memang penuh dengan persaingan. Ia tidak dapat dilakukan dengan jaya dan sekelip mata, atau dilakukan untuk menghabiskan masa dan tidak ada wawasan. Dalam usaha kerajaan menggalakkan bumiputera menceburi bidang perniagaan, saya perhatikan terdapat peniaga-peniaga kita yang melakukan perniagaan sambil membuai anak di tengah-tengah kedai. Ada peniaga yang terpaksa berlari ke kedai lain di seberang jalan dari satu kedai ke satu kedai untuk menukarkan wang sepuluh ringgit sehinggakan ada pelanggan yang lebih rela tidak mengambil wang lebih tadi daripada menunggu lebih dua puluh minit.

Hal seumpama ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang dan menganggapnya sebagai perkara biasa, tetapi ia sebenarnya memperlihatkan kegagalan seseorang peniaga yang mempunyai wawasan dan berjaya.

Pembelajaran dan pendidikan yang disalurkan melalui contoh, adakalanya lebih memberi kesan dalam pembentukan peribadi seseorang berbanding dengan pendidikan dan pembelajaran yang disalurkan melalui pertuturan. Syarahan-syarahan yang diluahkan oleh ahli-ahli agama kurang memberi kesan berbanding dengan gaya-gaya yang diperagakan oleh para penyanyi dan pelakon tanah air.

Selain daripada kekerapan yang diulang-ulang, dan mempesonakan kecenderungan manusia untuk melakukan sesuatu yang tidak baik itu lebih ketara dalam kebanyakan hal. Kerana itulah kita perhatikan, masjid-masjid itu lebih banyak dihuni oleh mereka yang lanjut umur, berbanding dengan anak-anak muda.

Anak-anak muda lebih mudah berambut panjang, biarpun tanpa alasan yang jelas dan praktikal, berbanding dengan mereka yang berketayap, termasuk kecenderungan bertopi terbalik, amalan mengoyakkan seluar di bahagian lutut ataupun bertampal biarpun seluar masih baru.

Islamkan politik, atau politikkan Islam?

Saya sering bercakap tentang "Islamkan politik, jangan politikkan Islam". Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua-dua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerak kerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya.

Dalam erti kata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan. Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau 'cop halal' yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan. Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerak kerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam erti kata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah. Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh. Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata, "Kami ada sabda Nabi saw begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

kumpulan

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah. Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira'un, Fir'aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya) Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?" Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil. (Surah al-Syu'ara: 16-22). Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga Qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah. Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bah paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Mengongkong

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka. Kata Abu Hurairah r.a: "Kami menyertai Rasulullah saw dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, "Dia dalam kalangan ahli neraka". Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah saw: "Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati". Jawab baginda: "Ke neraka". Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda: "Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!". Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan "jiwa yang muslim" dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!

Friday, May 29, 2009

Penipuan iblis di syurga

IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.

Hukum berniaga semasa tunai haji

Huraian

Perniagaan adalah satu bidang mata pencarian yang mulia di sisi Islam. Melalui perniagaan juga akan terbukanya pintu rezeki yang luas. Menunaikan haji pula adalah rukun Islam yang kelima dan wajib ke atas setiap muslim yang mampu mengerjakannya.

Justeru apabila seseorang itu menunaikan fardu haji sambil membawa barangan untuk dijual ke Tanah Suci semasa musim haji, tidaklah berdosa atau menjadi kesalahan. Bahkan perbuatan itu diharuskan selagi tidak menyalahi syariat.

Walau bagaimanapun niat hendaklah betul iaitu untuk menunaikan fardu haji kerana Allah semata-mata bukan berniat berniaga. Maksud dan tujuan mengerjakan haji adalah untuk mencari keredaan-Nya.

Jadi, tidak salah berniaga kerana ia juga amalan mulia dan dituntut supaya hamba-hamba-Nya mencari rezeki di muka bumi; untuk menyara kehidupan keluarga mereka bukan bermakna mereka tidak ikhlas dalam menunaikan ibadah Haji.

Kesimpulan

Rezeki Allah sangat luas dan ada di mana-mana. Mereka yang pergi ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji juga dibolehkan menjalankan perniagaan di sana.

Apa yang penting, niat mereka betul dan ikhlas dalam menunaikan rukun Islam kelima itu.

Hanya Islam diterima Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menjelaskan, bahawa Dia telah mengambil janji daripada para nabi agar beriman dengan kenabian Muhammad SAW.

Di sini disebutkan perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar beriman kepada para nabi yang sebelum ini serta beriman kepada kitab-kitab suci mereka. Umat baginda dalam perkara ini turut diminta mengikutnya pula.

Ayat ke-84

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi: Ibrahim a.s, lsmail a.s, Ishak a.s, Yaakub a.s dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi: Musa a.s dan Isa a.s, dan sekelian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah Kami berserah diri (Islam)".

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata, orang yang beriman daripada umat ini beriman dengan semua Nabi yang diutuskan dan dengan segala kitab yang diturunkan, mereka tidak kufur dengan sesuatupun tetapi membenarkannya.

lSheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, ini merupakan perintah Allah kepada Nabi-Nya berkenaan dengan ikatan segala syariat Allah yang bersalasilah sambungannya. Begitu juga beriman dengan Allah merupakan himpunan segala syariat, kerana dengannya membawa ubudiah.

lAl-Maraghi berkata, didahulukan ungkapan kalimah 'Iman diturunkan kepada kami' berbanding dengan ungkapan 'Iman diturunkan sebelum kami'. Padahal kitab-kitab suci tersebut diturunkan lebih awal kerana apa yang diturunkan kepada kami merupakan pegangan pokok untuk mengetahui dan membenarkan apa-apa yang diturunkan kepada mereka. Ini kerana tidak ada cara bagi membuktikan kebenaran kitab-kitab suci dahulu, kecuali melalui al-Quran.

l Al-Maraghi berkata, ayat ini dimulai dengan kata-kata Iman dan ditutup dengan kata-kata Islam, yang bererti pasrah, yang merupakan hasil dan sasaran akhir setiap agama yang dibawa para nabi.

lHamka berkata, setelah menghuraikan hal itu semuanya, sampai perjanjian Nabi-nabi dengan Allah dan ucapan ikrar mereka, kemudian Allah menyuruh kepada Nabi-Nya menjelaskan risalah yang dibawanya dengan tegas, menuruti ikrar Nabi-nabi itu yang akan jadi pegangan bagi umat yang beriman. Yang diturunkan kepada baginda ialah wahyu dan hikmat, isi ajarannya tetap satu iaitu menolak segala penyembahan selain Allah SWT. Menyerah diri kepada Tuhan, Islam sebab itulah yang diajarkan oleh sekelian Nabi yang tidak kami beza-bezakan itu.

lMohamad Quraish Shihab berkata, jika anda ingin dinamakan muslim dan diterima secara baik oleh Allah, maka patuh kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan-Nya.Hiduplah serasi dengan alam dan seluruh makhluk yang bernyawa atau tidak. Alam raya tunduk pada fitrahnya, serasi dengan selainnya sebagaimana diatur oleh Allah dalam sistem yang ditetapkan-Nya. Itulah erti Islam alam raya, dan serupa itu pula Islamnya manusia, tanpa keserasian dengan diri sendiri tanpa kepatuhan kepada sistem yang ditetapkan-Nya, maka itu bererti keluar dari Islam. Jika itu yang terjadi, maka ayat berikut mengingatkan hakikat yang sangat jelas dari Allah yang Maha Kuasa.

lAl-Sonhadji berkata, sebenarnya kedudukan para Rasul dan Nabi itu samalah seperti kedudukan pegawai-pegawai daerah atau seumpamanya dihantar oleh Sultan atau Ketua Negara ke wilayah-wilayah, daerah-daerah pemerintahannya. Mereka ditugaskan sebagai pegawai yang amanah untuk mentadbir dan mengambil tahu hal ehwal penduduknya dengan menjalankan undang-undang yang mendatangkan faedah.

Ayat ke-85

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Iktibar dan fiqh ayat :

lIbn Kathir berkata, siapa yang memilih jalan selain apa yang disyariatkan Allah.

lAl-Maraghi berkata, kerana dia mensia-siakan kehendak fitrah yang sihat untuk mengesakan Allah SWT dan berserah diri kepada-Nya seperti yang tersebut dalam hadis bermaksud: "Tiap-tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi".

lMohamad Quraish Shihab berkata, barang siapa mencari agama selain agama Islam iaitu ketaatan kepada Allah mencakupi kepada syariat yang ditetapkan-Nya. Intinya adalah keimanan akan keesaan-Nya, mempercayai para rasul, mengikuti dan menyokong mereka tunduk serta patuh akan ketentuan-ketentuan-Nya yang berkaitan dengan alam raya iaitu penyerasian diri dengan makhluk dalam sistem yang ditetapkan-Nya.

lAl-Sonhadji berkata, kerugian yang dideritanya di sini kerana telah mensia-siakan 'fitrah' atau tabiat semula jadi yang ada pada peribadi tiap-tiap manusia. Fitrah yang sihat, suci dan bersih sedia mentauhidkan dan mengesakan Allah serta patuh dan tunduk kepada-Nya itu telah disia-siakannya sehingga hilang dan tidak lagi tersimpan di dalam peribadinya.

Berdasarkan ayat di atas sewajarnya kita berpegang teguh dengan agama Allah yang sebenar iaitu Islam dan kita berdoa kepada Allah mudah-mudahan kita mati dalam keadaan Islam. Amin.

Membongkar rahsia pejuang agung

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

TIADA berita yang lebih menarik terutama kepada 'kaki-kaki' dan 'ulat-ulat buku' apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk membina Kota Buku di Kuala Lumpur, hujung tahun ini.

Sesungguhnya ia adalah berita yang sangat baik! Bayangkan limpahan faedah yang bakal kita nikmati apabila Kuala Lumpur akan berwajah sebagai pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku-buku negara. Terutama bagi mendapatkan buku-buku-buku yang berkualiti untuk apa juga genre dan yang paling penting pada harga yang kompetitif murah!

Begitu pun dalam kita menantikan pembinaan dan bakal tersergamnya Kota Buku itu, apa kata kita dapatkan keluaran terbaik dari syarikat penerbitan terkenal, PTS Millenia Sdn. Bhd.

Malah dikatakan buku ini ada rekod tersendiri apabila dalam tempoh setahun ini, buku ini telah diulang cetak sebanyak dua kali bagi mencapai jualan lebih dari 20,000 naskhah pada hari ini.

Cetakan pertama sebanyak 8,000 naskhah habis dijual dalam tempoh sebulan menyebabkan PTS terpaksa ulang cetak bagi memenuhi permintaan pengedar dan penggemar buku yang terlepas dari memiliki buku ini.

Buku yang dimaksudkan bukan novel percintaan misalnya yang lazimnya mudah mendapat jutaan peminat. Buku tersebut, Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain - Membongkar kewujudan dan rahsia sebenar pejuang agung karya penulis muda Afareez Abdul Razak al-hafiz

Sebuah buku yang memanfaatkan sepenuhnya 200 halaman yang ada bagi menarik pembaca mengenai persoalan, sama ada Iskandar Zulkarnain, si Penakluk Dunia adalah Alexander The Great atau siapakah sebenarnya Iskandar?

Ia sebagaimana yang disebut kisahnya dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada kekuasaan memerintah di bumi dan Kami kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya". (al-Kahfi: 83-84)

Berikutan ayat ini, ramai beranggapan Zulkarnain yang dimaksudkan dalam ayat itu Alexander The Great. Seorang yang berasal dari Macedonia, dari Empayar Rom Yunani yang sememangnya sangat terkenal sebagai seorang pembina empayar Eropah yang menjalar kekuasaannya sehingga ke Asia Tengah atau Timur.

Seorang yang sangat gagah perkasa dengan melakukan siri-siri peperangan, penjajahan dan penaklukan yang kemudiannya meninggalkan pelbagai kesan peninggalan yang kebanyakannya masih boleh didapati dan dilihat sehingga ke hari ini.

Dari aspek Sejarah Melayu sendiri, asas kesultanan Melayu juga dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Jadi benarkah Iskandar di sini merupakan putera Phillip II yang mengepalai tenteranya dari Balkan sehingga ke pergunungan Himalaya di India yang kemudiannya menjadi mitos dan legenda dunia?

Segala jawapannya ada di dalam buku ini iaitu yang ditulis dalam bahasa yang cukup mudah tetapi begitu empirikal.

Malah lampiran-lampiran gambar yang dirakam di kebanyakan tempat di dunia menambahkan lagi kekuatan pada buku ini.

Begitupun kita mungkin akan lebih tertarik kepada kemampuan penulis buku ini yang mampu mendedahkan banyak lagi kisah-kisah nabi sedari dari Nabi Allah Adam a.s sehinggalah kepada Nabi Sulaiman termasuk juga kejatuhan Jerusalem yang diperintah oleh kerajaan Yahudi ke tangan Raja Bukthtanasar (sesetengah menyebut Raja Nebucadnezzar), pemerintah dari Empayar Babylon, Parsi.

Antaranya Raja Namrud, raja yang meminta disembah sebagai tuhan dan bertindak kejam terhadap rakyat itu sebenarnya cicit kepada Nabi Nuh (Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh).

Bagaimana kehadiran tiga orang malaikat, Jibrail, Mikail dan Israfil yang menyamar menjadi tiga pemuda yang kacak dan tampan dalam perjalanan mereka untuk menguji dan memberi amaran kepada kaum Sodom menemui Nabi Ibrahim dan isteri baginda, Siti Sarah untuk memberitahu mengenai anak yang bakal dilahirkan iaitu Nabi Ishak.

Bagaimana putar belit kaum Yahudi yang mendakwa bahawa bukan Nabi Ismail yang disembelih oleh bapanya dalam peristiwa korban. Semata-mata untuk mendakwa kemuliaan yang dimiliki oleh Nabi Ishak yang membawa keturunan bangsa Yahudi berbanding Nabi Ismail yang mewakili keturunan bangsa Arab.

Begitu tertarik juga dengan penjelasan yang dibuat oleh penulis mengenai Raja-raja Firaun yang nama mereka sering dicatat oleh sejarah moden tetapi jarang kisah mereka dikaitkan dengan sejarah dan kehadiran Nabi Musa di bumi Mesir.

Pembaca juga dapat mengenali lebih dekat lagi siapakah dia Nabi Yushwa bin Nun, Nabi Syam'un dan Nabi Uzair melalui buku ini. Tahukah anda Nabi Uzair yang mengusahakan agar kitab Taurat ditulis atau disalin semula setelah mendapati salinan kitab yang asal telah rapuh dan berderai!

Mungkin anda beranggapan kisah ini satu dongengan apabila dikatakan apabila jatuhnya dua tahi bintang ke bumi, impak dari hentakan tahi bintang itu berjaya mengembalikan sepenuhnya ingatan kepada nabi itu untuk menulis semula Kitab Taurat.

Namun, ia masih sesuatu yang sangat menarik untuk diikuti.

Penulis buku ini adalah anak muda yang mempunyai latar belakang yang agak unik. Walaupun dibesarkan dan mendapat pendidikan rendah di Amerika Syarikat, sekembali ke tanah air untuk mengikuti pendidikan menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru. Kemudian melanjutkan pelajaran di Al-Azhar dalam pengajian al-Quran. Beliau juga seorang yang hafiz al-Quran kerana memiliki diploma bidang tahfiz Quran dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Kini penulis sedang menyiapkan disertasi untuk Doktor Falsafah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mungkin sementara untuk membeli atau mendapatkan buku ini, anda sempat membongkar kembali siapa Iskandar Zulkarnain melalui pelbagai laman web terutama dari ensiklopedia dalam talian terkenal Wikipedia.

Namun buku ini lebih menjanjikan pelbagai maklumat. Tetapi hasilnya anda dilimpahi dengan pelbagai kekayaan ilmu terutama pengetahuan sejarah dari pelbagai sumber apabila bergabung maklumat dari Internet dan buku ini.

Sebagaimana ramai yang memiliki buku ini maka ini bermakna anda juga perlu segera. Sebabnya, buku ini tidak sekadar pembetulan fakta sejarah tetapi tidak mustahil umat Islam hari ini sebagaimana yang dialami oleh Rasullullah SAW yang diuji pengetahuannya oleh puak Yahudi. Ini apabila Rasulullah diuji mengenai sejarah-sejarah lampau termasuk mengenai sejarah Iskandar Zulkarnain yang kebetulan telah tercatat kisahnya dalam kitab Taurat.

Maka tentu tidak mustahil perkara atau ujian yang sama boleh dialami oleh umat Islam hari ini.

Tidak mungkin kita mudah menyerah kalah atau memberi jawapan tidak tahu, kecuali kita wajar memberitahu siapakah sebenarnya Iskandar Zulkarnain, beliau mungkin bukan seperti yang mereka ketahui selama ini.

Wang zakat segera diagih

Soalan:

SABAN tahun kutipan zakat di negeri-negeri menunjukkan wujudnya penambahan bahkan lebihan (surplus). Soalan saya, kenapakah masih wujud ramai fakir miskin di Malaysia sedangkan wang zakat masih banyak?

Jawapan:

Terlebih dahulu, terima kasih kerana saudara prihatin dengan perkembangan zakat di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa zakat makin mendapat tempat di hati umat Islam. Mereka menunaikannya mungkin kerana kesedaran ataupun mungkin atas alasan lain, namun yang penting kewajipan ini dilaksanakan.

Memang wujud lebihan wang zakat saban tahun. Namun, lebihan ini berlaku disebabkan dua faktor, iaitu yang pertama kerana kemuncak musim membayar zakat ialah pada bulan Disember setiap tahun. Maka, mustahillah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) mampu menghabiskannya dalam tempoh sebulan.

Faktor kedua, institusi zakat seperti LZS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sendiri memohon terlebih dahulu geran bagi semua agihan zakat daripada pihak berkuasa negeri, berdasarkan unjuran kutipan zakat yang bakal diperolehi.

Maka, sudah pastilah kita tidak berani meletakkan unjuran yang terlalu tinggi dan ini pastinya mewujudkan lebihan.

Walau bagaimanapun, institusi zakat seperti LZS (MAIS) sentiasa berusaha membelanjakan wang zakat yang terkumpul dengan segera.

Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam juga, untuk memberikan penekanan kepada institusi zakat di negeri masing-masing, mengenai corak agihan yang berkesan. Ini kerana, wang itu adalah wang umat Islam sedangkan institusi zakat hanyalah pemegang amanahnya sahaja. Wallahua'lam.

lUntuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau emel kepada hamizul@e-zakat.com.my

Memanfaatkan liberalisasi ekonomi negara

Oleh MOHD. HILMI RAMLI

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meliberalkan ekonomi Malaysia bukan perkara yang baru. Pada tahun 90-an, Malaysia pernah membuka ruang untuk pelabur luar membeli saham atau ekuiti sehingga 30 peratus dalam badan korporat Malaysia.

Tujuan ketika itu adalah untuk menarik perhatian pelabur luar supaya menyimpan dan melabur duit mereka di negara ini dan mempromosikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa yang mampan.

Dasar Perdana Menteri yang baru ini sebenarnya melakukan pendekatan yang dinamik dalam menguruskan ekonomi negara, umpama 'getah' yang boleh dilenturkan sebesar yang mungkin.

Meliberalkan ekonomi boleh difahami sebagai satu usaha menggalakkan persaingan secara merit dalam usaha membangunkan sumber/lebihan aset negara atau individu.

Dalam kerangka falsafah dan wacana liberal ekonomi semasa, apa yang mereka perjuangkan adalah kebebasan mutlak individu atau pasaran yang menentukan perjalanan ekonomi. Bahkan mereka boleh menolak campur tangan kerajaan yang hanya secara dibenarkan secara minimum.

Dari Adam Smith, David Hume, David Ricardo, sehingga tokoh ekonomi liberal kontemporari seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, semua mengangkat darjat humanisme sebagai ukuran mutlak kejayaan sesuatu ekonomi. Tidak ada peranan kerajaan, bahkan agama sebagai pemandu dan panduan ekonomi negara.

Bagi mereka, manusia perlu diberi kebebasan mutlak mengaut keuntungan, walaupun dengan menggondolkan tanah, menipu, merampas hak orang atau menindas.

Dasar meliberalkan ekonomi negara tidak sama dengan kerangka falsafah pemikiran yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh seperti itu. Hakikatnya, Malaysia masih mengambil pendekatan dualistik atau 'serampang dua mata', iaitu membuka ruang pesaing luar untuk melabur dan pada masa yang sama kerajaan berperanan teguh dan berdisiplin mengawal secara hikmah ekonomi negara.

Dalam konteks falsafah ekonomi negara, dasar ekonomi negara merupakan adunan tiga bentuk pemikiran falsafah ekonomi yang dominan iaitu sosialisme, kapitalisme (neo-liberal) dan Islam sendiri.

Walaupun ada ilmuwan ekonomi Muslim seperti Umar Chapra yang menentang apabila mengatakan orientasi kapitalisme dan sosialisme, ada juga persamaan kefahamannya dengan orientasi Islam.

Bagi beliau, kefahaman itu menunjukkan kedangkalan prinsip asas dalam ketiga-tiga dasar pemikiran itu.

Namun hakikatnya ada nilai yang dikongsi bersama dalam ketiga-tiga pemikiran tersebut yang akhirnya boleh ditemui dalam ajaran Islam sendiri.

Tidak keterlaluan mengatakan corak dan gaya mengurus ekonomi Malaysia tidak akan lari daripada tiga komponen falsafah pemikiran ekonomi ini. Tidak boleh mengatakan ekonomi Malaysia kapitalisme per-se, apabila melihatkan penumpuan besar kepada pembangunan projek mega dan pembukaan sektor ekonomi yang menggalakkan keuntungan maksimum.

Ini kerana, Malaysia banyak membantu mengangkat martabat ekonomi masyarakat miskin dan kaum yang memerlukan. Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara (DPDPN), Dasar Penswastaan dan banyak lagi.

Membasmi kemiskinan

Hatta kerajaan sentiasa mengumumkan agenda membasmi kemiskinan, yang boleh dilihat kejayaannya, apabila mensasarkan tahun 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar.

Menurut kajian Jabatan Statistik, pendapatan isi rumah Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada 2007, daripada RM3,249 pada tahun 2004. Peningkatan sebanyak 4.3 peratus itu disebabkan pertumbuhan ekonomi positif yang menjana peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat Malaysia. (Bernama, 7 April 2008)

Malah, jika mengatakan menggunakan kerangka ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak tepat juga. Walaupun ada menjurus kepada mengangkat keadilan dan mengurus kemiskinan, melalui pembahagian wang zakat dan seumpamanya, hakikatnya masih ada lagi yang perlu diperbaiki.

Jika kerangka ekonomi Islam digunakan, seharusnya falsafah ekonomi Islam diajar dan dijadikan silibus utama dalam semua pendidikan ekonomi yang ada di sekolah dan universiti.

Tokoh ekonomi Muslim seperti Al- Maqarizi, Ibn Khaldun, Abu Yusuf dan ramai lagi diperkenalkan dan dikembangkan ideanya.

Apa yang ada adalah subjek dan buku teks ekonomi yang didominasi oleh kerangka fikir Barat yang sama ada berpaksikan kapitalisme atau sosialisme. Hanya yang ada ialah usaha bersendirian dan sesetengah pihak sahaja yang bersungguh mengangkat wacana ekonomi Islam sebagai teras utama.

Kehadiran perbankan Islam dilihat sebagai 'menyelamatkan' sektor ekonomi secara keseluruhan, kerana menggunakan kerangka 'syariah' dalam menguruskan aktiviti perbankan. Walaupun masih muda dan berpotensi jauh, perbankan Islam sebenarnya harus melonjak jauh dengan 'membersihkan' diri daripada elemen perbankan konvensional yang masih melekat.

Antara isu yang perlu ditangani ialah sistem riba, wang fiat dan fractional reserve system. Apabila melihat dasar yang dinamik dan unik ini, Malaysia berusaha menguruskan ekonomi negara menggunakan acuan tersendiri.

Usaha ini boleh menampakkan kejayaan dalam sejarah mengurus negara, terutamanya pada tahun krisis 1997. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad 'melawan arus', apabila tidak meminjam daripada Dana Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk menguruskan ekonomi negara, berbanding negara-negara lain.

Kini, dasar meliberalkan ekonomi negara itu kembali dan beberapa faktor perlu dilihat secara kritis.

Apabila kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham/ekuiti sehingga 70 peratus dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif. Tujuannya mempromosi pelabur luar ke Malaysia.

Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera. Putaran ekonomi dan kuasa membeli dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Namun demikian, bagi perbankan Islam, cabaran sangat getir.

Ekuiti 70 peratus yang diperoleh oleh pelabur luar dalam sesebuah perbankan Islam tempatan sebenarnya 'mencabar' dasar kuota yang sering dipertahankan. Namun dalam konteks ekonomi semasa, dasar ini melawan arus.

Sudah tentu bagi orang Melayu, secara diam-diam, polisi terbuka dan merit telah berjalan dan menuntut supaya lebih bersedia dan berdaya saing.

Secara objektif, tidak ada penentangan secara kuat daripada orang Melayu, memandangkan mungkin subjek ekuiti dalam perbankan Islam masih jauh dan tidak melekat di sanubari mereka. Dua lesen perbankan Islam kepada pemain luar negara dengan modal RM3.5 bilion menuntut perbankan Islam sedia ada bersaing dengan kuat dan dedikasi.

Dari segi modal 'poket', perbankan Islam dari luar negara, hakikatnya mempunyai lebihan modal yang besar dan banyak, kerana industri minyak yang membantu. Justeru memungkinkan mereka mempunyai pakej produk dan servis, serta fasiliti perbankan yang lebih menarik dan dinamik.

Malah, dalam konteks produk perbankan Islam, pemain luar negara mampu menawarkan produk yang kurang kontroversi. Berbanding perbankan Islam tempatan, apabila Hakim Wahab Patail mengisytiharkan produk Bai' Bithamin Ajil (BBA) tidak mematuhi syariah pada Julai 2008, yang menjadi wake up call kepada semua perbankan Islam.

Maknanya, ia akan menjejaskan hampir majoriti portfolio perbankan Islam yang menggunakan BBA akan dikategorikan sebagai tidak patuh syariah.

Walaupun begitu, keputusan itu dikritik kerana tidak menggunakan kaedah yang kemas dalam mengeluarkan penghakiman. Sebabnya tidak merujuk kepada pakar syariah perbankan Islam. Bahkan dikatakan telah re-write kontrak sedia ada yang telah dipersetujui oleh pelanggan dan bank.

Namun, pada Mac 2009, keputusan terbaru mengenai kepatuhan syariah produk BBA oleh Bank Islam telah diisytiharkan kemenangan moral kembali kepada perbankan Islam.

Namun demikian, tidak selamanya perbankan Islam tempatan boleh selesa dengan produk yang sedia ada. Persaingan apabila 'langit luas terbuka' menuntut kreativiti yang dinamik dan ketajaman membaca situasi pasaran untuk mempromosikan produk tempatan.

Polisi 70 peratus tidak dibuka kepada perbankan komersial konvensional, hanya perbankan pelaburan sahaja. Pelabur luar sebenarnya berminat dengan perbankan komersial konvensional.

Hakikatnya, kerana pakej dan pasaran perniagaan semasa (retail market) lebih menarik dan mudah mengaut untung.

Permintaan

Permintaan membeli rumah, kereta, deposit dan sebagainya mempunyai permintaan yang berterusan dan boleh menjamin pusingan pasaran yang konsisten. Berbanding perbankan pelaburan, yang menumpukan kepada modal pasaran seperti bon dan hartanah yang terlalu terhad.

Justeru, apakah manfaat liberalisasi ekonomi kepada rakyat secara keseluruhan? Mungkin peringkat mikro ekonomi, dasar ini tidak dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, terutama bila mahu dikaitkan dengan penyelesaian masalah ekonomi seharian.

Namun, di peringkat makro ekonomi dan jangka panjang, liberalisasi ekonomi ada peluang untuk dijayakan. Terutamanya menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam sedunia.

London berjaya dari segi menarik pelabur sebagai hab kewangan konvensional antarabangsa. Malaysia semestinya merancang dan menyusun strategi ke arah itu.

Liberalisasi ekonomi harus menguntungkan rakyat Malaysia. Ia boleh dicapai dengan meningkatkan kesedaran menyokong produk dan servis perbankan Islam di kalangan massa, menggalakkan pelaburan yang mematuhi syariah, menggalakkan pembelian emas dinar sebagai pelaburan masa depan.

Autobiografi Malcolm X sumber hidayah Amina

Susunan ZUARIDA MOHYIN

MALCOLM X, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya bagi mereka yang mengikuti sejarah Amerika. Kisah kehidupan pemidato dan aktivis hak asasi manusia terkemuka ini, sentiasa menjadi pemangkin semangat serta idola sepanjang zaman, khasnya kepada golongan Afrika Amerika.

Malah kisah penghijrahan akidah lelaki kelahiran Omaha, Nebraska ini atau nama Islamnya, El-Hajj Malik El-Shabazz turut menjadi sumber inspirasi serta titik perubahan akidah kepada pelbagai ras masyarakat di Amerika. Salah seorang daripadanya ialah gadis yang bernama Amina Cisse Muhammad

Kata Amina, semuanya bermula semasa dia mengikuti pengajian bidang sosiologi di kolej kira-kira tahun 1970-an. Pada masa itu juga, dia dikehendaki membaca buku berjudul Autobiografi of Malcolm X, di mana Malcolm menjadi penulis bersama dengan Alex Haley.

Akui gadis Afrika Amerika lagi, pengetahuannya tentang Islam sekadar menerusi buku teks yang digunakan oleh guru semasa peringkat sekolah rendah dan menengah. Itupun tertumpu kepada penyebaran Islam menerusi pedang.

Hakikatnya, pengetahuan Amina tentang Islam menerusi pembacaan, bukannya cetek tetapi langsung tidak ada. Lantaran itu, buku biografi tersebut sangat terkesan buatnya, terutamanya di bab terakhir, mengisahkan insiden yang membawa kepada penemuan Malcolm dengan agama yang syumul iaitu agama Islam.

Kata Amina, Malcolm pada zamannya merupakan seorang jurucakap bagi pihak atau golongan masyarakat pendatang yang tertindas selama ini di Amerika. Selama 12 tahun sebagai pengikut setia kepada Elijah Muhammad, ketua Nation of Islam, Malcolm percaya bahawa kesengsaraan yang dialami oleh orang kulit hitam di situ adalah kesan daripada ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan yang dilakukan oleh orang kulit putih.

"Disebabkan pandangannya itulah maka dia dilabel sebagai seorang kulit putih yang bersikap perkauman dan pencetus kepada pelbagai keganasan dan rusuhan.

"Walau bagaimanapun, sebelum dia dibunuh pada 1965, Malcolm telah dipilih oleh Allah SWT untuk menerima dan mengakui kebenaran Islam. Hidayah itu diperoleh semasa beliau menunaikan haji setahun sebelum itu.

"Sewaktu di Tanah Suci itulah beliau menyaksikan erti sebenar kesamarataan dan semangat saudara seagama tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa dan status kehidupan. Saat itu semua manusia sama di sisi Allah Yang Esa," kata Amina dalam perkongsian kisah yang membawa kepada pengislaman dirinya di laman web IslamOnline.net.

Tambah Amina, kisah Al Hajj Malik benar-benar menjadi titik tolak kepada perubahan, terutamanya dari segi pandangan serta matlamatnya dalam melihat kehidupan sebagai seorang wanita muda Afrika Amerika.

Keazamannya untuk mencari satu sistem kepercayaan yang mana ia bukan sahaja praktikal tetapi boleh digunakan dalam kehidupan sehariannya semakin membuak-buak.

Apa yang Amina impikan ialah sebuah sistem kepercayaan yang mengajar tentang perpaduan, kasih-sayang, persaudaraan dan dilaksanakan secara ikhlas dan jujur oleh mereka yang mengakui sebagai pengikut.

Pencarian

Pun begitu, pencarian itu tidak dimulai dengan agama Islam tetapi memilih untuk mendalami dahulu agama Kristian anutan turun temurun keluarganya terlebih dahulu. Kata Amina agama itu telah ditinggalkan sejak melanjutkan pengajian peringkat kolej.

"Saya mula membaca kitab Injil dan mula mengunjungi gereja. Namun keraguan saya terhadap agama Kristian tidak pernah reda, malah kekosongan jiwa yang dialami masih belum mampu terisi.

"Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mencurahkan jiwa dan raga kepada Allah SWT serta menyerahkan kepada-Nya agar ditunjukkan jalan yang benar," jelas beliau.

Pada masa sama, Amina berkenalan dengan seorang lelaki yang kini bergelar suami. Mereka mengikuti kelas falsafah yang sama. Cuma dia lebih dahulu memeluk Islam. Mengapa Amina tertarik dengannya, sukar hendak dijelaskan dengan kata-kata.

"Lama-kelamaan, dia mula menceritakan tentang agama Islam dan hati saya semakin luntur dan selesa dengan agama anutan teman lelaki saya itu. Akhirnya, saya reda dan hati mula terbuka untuk bergelar Muslim," kata Amina yang terus mengutus surat kepada ibu bapa memberitahu tentang hasrat dan telah mengambil keputusan muktamad untuk mengucap kalimah syahadah.

Akuinya lagi, berbeza dengan kelompok mualaf yang terpaksa menghadapi tentangan keluarga, Amina tidak pernah dibuang atau disisihkan keluarga. Kalau adapun cuma beberapa kali percubaan mengkristiankan dilakukan oleh keluarga tetapi tidak berjaya.

"Kakak sulung pernah bertanya kepada saya apakah tidak timbul rasa pelik, jika saya satu-satunya di dalam keluarga yang beragama Islam, sedangkan mereka semua percaya kepada Kristian? Bila saya menjawab, sayalah paling bertuah kerana telah dipilih oleh Allah, membuatkan kakah bertambah jengkel dengan reaksi spontan saya.

"Sayangnya pengislaman saya kurang meninggalkan kesan kepada ahli keluarga yang lain. Kalaupun ada ia tidak terlalu ketara. Seperti dalam satu insiden pada 1988, di mana saya baru kematian suami.

"Adik perempuan saya kagum bagaimana, saya mampu menghadapi saat sedih itu dengan begitu tabah dan sabar.

"Malah dia sendiri mengakui tidak sekuat dan cekal seperti saya. Tidakkah mereka tahu bahawa kekuatan itu adalah kerana Allah dan agama Islam itu sendiri dan sesuatu yang ditakdirkan kepada kita itu adalah qada dan qadar-Nya.

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui meskipun apa yang dihadapi itu amat perit dan menyakitkan. Pastinya ada hikmah di sebalik semua kejadian itu," ujar Amina lagi.

Perbandingan

Menurut Amina lagi, apabila dibuat perbandingan antara agama Islam, Yahudi dan Kristian didapati bahawa agama Islam dengan jelas menerangkan setiap rasul, nabi, kitab dan pelbagai perkara mukjizat. Berbeza dengan agama-agama lain yang menerima sesuatu itu mengikut kehendak atau sesuka hati mereka.

"Yang pasti, nur Islam telah membawa ketenangan di dalam kehidupan saya ini. Islam mengajar saya untuk menyempurnakan diri agar sentiasa diredai dan diberkati bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat yang kekal abadi.

"Malah Islam juga memberi matlamat dan arah tujuan di dalam hidup ini dan telah mengisi kekosongan yang selama ini dicari-cari. Islam telah menyediakan satu medium agar saya lebih menghampiri-Nya dan berusaha untuk melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang dengan sebaik mungkin.

"Hakikatnya, surah Al-Maidah ayat tiga yang bermaksud: ...Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama bagimu..., menjadikan aku hamba-Nya yang bersyukur kepada Allah kerana memberikan Islam dan menerimanya sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Pelajari pengurusan jenazah satu fardu kifayah

Setiap yang hidup itu pasti akan menemui mati. Justeru, mempelajari hal berkaitan pengurusan jenazah adalah fardu kifayah.

Biro Pendidikan dan Agama, Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) Seberang Jaya, Pulau Pinang tidak ketinggalan menganjurkan kursus pengurusan jenazah di Loji Percetakan Utusan Melayu Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pengerusi biro berkenaan, Abdullah Yusof berkata, kursus itu jika dihayati sepenuhnya, banyak memberi manfaat.

"Nampaknya, kursus pengurusan jenazah yang diadakan ini, mendapat sambutan begitu baik di kalangan pekerja," katanya.

Beliau berkata, ramai kakitangan muda turut mengikuti kursus ini untuk menambah ilmu masing-masing.

"Ilmu begini boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, yang penting mereka tidak ada perasaan jemu dan bosan," katanya.

Peserta mengikuti ceramah oleh Pegawai Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Ayob Hanapi.

Seorang peserta kursus, Sopian Ibni Hajar, 55, berkata, langkah diambil oleh biro ini bagi menganjurkan kursus itu, adalah baik sekali.

"Walaupun sibuk dengan tugas, saya masih ada masa mempelajari cara-cara pengurusan jenazah bersama kawan-kawan lain," katanya.

Menurutnya, ia selari dengan kehendak hukum syarak dan tuntutan fardu kifayah.

Rakannya, Shuhaimi Izaham, 51, berkata, peserta diajar cara-cara mengurus jenazah tentang teori dan amali, ia banyak memberi manfaat.

"Jika ada perkara yang tidak puas hati, peserta diberi peluang membuat pertanyaan kepada penceramah," katanya.

Abdullah Hussin, 47, berkata, ada sesetengah orang tidak begitu mengambil perkara-perkara seperti ini dengan memberi pelbagai alasan.

"Inilah kali pertama saya mengikutinya, maklumat yang diberi boleh dijadikan panduan asas kepada diri sendiri," katanya.

Bagi Mohd. Rizal Kassim, 34, ia dapat menambah ilmu pengetahuan di kalangan kakitangan syarikat ini.

"Bila golongan pelapis tidak diajar tentang perkara-perkara itu, ia bakal memberi masalah besar kerana masyarakat tempatan," katanya. - ABD. RAZAK OSMAN

Umrah: Antara ibadah, trend dan bisnes

Oleh SHARIFFUL HAKIM SUMAN

SABAN tahun, berpuluh-puluh ribu umat Islam di Malaysia akan merebut peluang menunaikan ibadah haji dan umrah. Kedua-duanya adalah ibadah yang mempunyai nilai-nilai mulia secara tersendiri. Sejarah ibadat ini telah bermula dari zaman Jahiliah lagi di mana mereka mengerjakan ibadat haji dengan cara yang salah dan sesat.

Pada masa ini dapat dilihat bahawa semakin hari semakin ramai umat Islam yang ingin menunaikan haji dan umrah. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, ibadah umrah menjadi seperti satu trend untuk melancong secara bersuka ria.

Perkara ini berlaku kerana sebahagian daripada mereka tidak mengetahui dan tidak mempelajarinya dengan mendalam sehingga melanggar perkara-perkara asas dalam ibadah tersebut seperti larangan semasa berihram dan pelaksanaan mengikut tertib rukun yang betul.

Ia juga boleh disebabkan oleh penyampaian maklumat yang salah dan tidak tepat daripada pihak-pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan umrah kerana adanya unsur-unsur berkepentingan.

Faktor perniagaan ke atas perkhidmatan ini juga secara tidak langsung turut mempengaruhi perjalanan ibadah itu sendiri.

Agensi-agensi yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan ini seharusnya melaksanakan amanah yang dipikulnya dengan penuh integriti. Bukan hanya untuk meraih keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara serius.

Ibadat umrah

Melaksanakan umrah adalah merupakan fardu ain bagi setiap orang Muslim lelaki dan perempuan yang mempunyai keupayaan baik dari segi kewangan mahupun kesihatan fizikal.

Berbeza dengan ibadah haji, ibadah umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun manakala ibadah haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji sahaja iaitu pada bulan Zulhijjah.

Di dalam Islam, ibadah umrah adalah bertujuan memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan mengingati kebesarannya serta kekuasaannya. Selain kemanfaatan untuk akhirat, umrah juga mampu memberi faedah dan kebaikan dari segi pembentukan rohani, moral, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain.

Manakala amalan ziarah yang diamalkan oleh agama-agama lain pula hanyalah bertujuan melawat kubur orang-orang suci dan peninggalan nenek moyang mereka sahaja.

Dalam ibadah haji dan umrah, setiap perkara yang dilakukan bukanlah hanya perbuatan semata-mata. Setiap perbuatan itu mempunyai sejarah, nilai dan hikmahnya yang tersendiri.

Secara tidak langsung ia mampu melatih umat Islam untuk bersatu padu, kenal mengenal antara satu sama lain serta menanam semangat perjuangan dalam berusaha untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Di sinilah buktinya kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam mentadbir urusan alam.

Trend umrah masa kini

Sepanjang tahun, ramai di kalangan rakyat Malaysia berkunjung ke Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Ini merupakan satu amalan yang baik bagi umat Islam dalam membentuk kerohanian yang lebih utuh serta meningkatkan syiar Islam di persada dunia dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada golongan ini yang menunaikan umrah dengan niat untuk melancong dan bersiar-siar.

Demi mengejar untuk melaksanakan ibadah ini, ramai di kalangan jemaah telah membelakangkan segala perkara-perkara asas dalam ibadah tersebut yang melibatkan perkara-perkara seperti larangan ketika berihram dan pelaksanaan rukunnya yang betul.

Perkara ini berlaku kerana sikap jemaah itu sendiri yang tidak mengambil berat mengenai kepentingan di sebalik ibadah tersebut lalu tidak mengendahkan hukum-hukum serta amalan yang perlu dititik beratkan dalam beribadat.

Sebahagian puncanya lagi adalah ilmu yang tidak tepat dan berlaku salah faham kerana kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu.

Oleh demikian, secara tidak langsung, hampir sebahagian jemaah umrah Malaysia berisiko tinggi untuk tersasar dari ibadah umrah yang sebenar dan menjadikan amalannya itu membazir dan sia-sia sahaja.

Bukan setakat itu sahaja, malah terdapat ramai di kalangan para jemaah yang pulang dari melaksanakan umrah membawa cerita-cerita yang karut dan khurafat. Cerita ini sengaja direka-reka dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa mereka sahajalah yang benar dan hebat.

Umrah dari perspektif bisnes masa kini

Pada setiap tahun umat Islam di Malaysia dianggarkan sehingga seramai 70,000 orang jemaah akan berkunjung ke Tanah Suci, Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Berbeza dengan ibadah haji, setiap tahun ia hanya dilaksanakan sekali sahaja dengan kuota jemaah yang dianggarkan berjumlah seramai 26,000 orang.

Justeru itu, wujud pelbagai jenis agensi-agensi pengelola umrah yang tumbuh seperti cendawan menceburkan diri dalam peluang ini.

Malangnya, sehingga hari ini, hampir sejumlah besar daripada agensi-agensi tersebut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya dalam perkhidmatan umrah yang ditawarkan.

Keuntungan tinggi

Kerana ingin merebut keuntungan yang tinggi, agensi-agensi pengelola umrah ini memperniagakan ibadat umrah dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan perkhidmatan yang wajib diberi kepada para jemaah.

Kebanyakan agensi ini tidak mengambil berat tentang penyampaian maklumat yang jelas dan juga mengabaikan tuntutan untuk memberikan bimbingan umrah yang sewajarnya kepada para jemaah yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Berdasarkan pada penemuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bermula pada tahun 2006, taktik tawaran pakej haji dan umrah adalah antara 12 bentuk penipuan yang paling popular berlaku di Malaysia.

Di antara modus operandi yang sering digunakan oleh agensi-agensi tersebut adalah menawarkan pakej haji atau umrah pada harga yang murah dengan pengurusan yang mudah. Namun, apabila mangsa telah membuat bayaran, pakej yang ditawarkan tersebut tidak wujud sama sekali.

Selain itu, turut timbul masalah di mana agensi yang menawarkan perkhidmatan umrah ini tidak melaksanakan pengurusan dengan baik dan teratur menyebabkan para jemaah tidak dapat melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.

Kes-kes seperti jemaah terkandas ketika melaksanakan ibadah umrah di Tanah Suci, penipuan pasport dan visa umrah serta tawaran pakej palsu bukan sahaja menganiayai para jemaah, malah turut membawa masalah dan impak negatif kepada negara.

Setiap agensi pengelola umrah seharusnya beroperasi dan melaksanakan perkhidmatan yang ditawarkan dengan ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya.

Ini supaya perkhidmatan yang dilaksanakan mampu berjalan dengan lancar dan berkualiti. Agensi pengelola umrah sepatutnya memahami, mengkaji dan menilai hasrat yang diharapkan oleh para jemaah terhadap perkhidmatan umrah yang disediakan.

Pengurusan yang sistematik dan terancang mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memuaskan para jemaah di mana jemaah dapat melakukan umrah dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Pihak agensi pengelola umrah pula mendapat keuntungan yang bersih dan bebas daripada masalah-masalah yang membebankan diri sendiri.

Penutup

Dalam menyusuri era globalisasi yang semakin berkembang maju, keinginan manusia untuk memperoleh sesuatu yang sempurna juga semakin bertambah.

Hari demi hari masyarakat sering menuntut perkhidmatan yang efisien dan berkualiti. Pihak kerajaan dan swasta adalah penjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Dari dahulu sehingga kini, Lembaga Tabung Haji (LTH) memainkan peranan yang penting bagi membolehkan jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah. Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan kepada para jemaah, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi tujuan tersebut.

Kini, LTH telah menjadi contoh terbaik dunia dalam menguruskan hal ehwal berkaitan haji bagi negara Malaysia.

Bagaimana pun, ia berbeza dengan hal ehwal umrah yang masih belum mendapat perhatian khusus dari mana-mana pihak. Seringkali kita lihat di ruangan akhbar mahupun di kaca televisyen, masalah umrah sering berlaku dan tiada tindakan khas untuk menanganinya yang dilakukan secara berterusan.

Bertitik tolak dari permasalahan ini, kerajaan mengambil inisiatif menjadikan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) sebagai agensi pemantau kepada perkhidmatan ini.

Secara dasarnya, pemantauan yang akan dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki sistem perkhidmatan umrah supaya menjadi satu sistem bersepadu yang teratur dan berkualiti tinggi.

Perkara ini perlu diperhatikan secara serius kerana jika ia tidak dipantau dengan bijaksana dan efektif, ia boleh menatijahkan imej yang negatif kepada Malaysia dan juga menganiayai jemaah Malaysia sendiri.

Oleh itu, adalah wajar pengurusan berkaitan hal ehwal umrah ini dapat diuruskan secara teratur dan terancang. Ini supaya dapat menjamin kesempurnaan para jemaah dalam menunaikan ibadah ini dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya ke tahap bertaraf dunia.

Monday, May 25, 2009

Sahih Bukhari paling sahih selepas al-Quran

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Apabila membicarakan tentang hadis, tokoh paling utama yang selalu menjadi rujukan umat Islam adalah Imam al-Bukhari. Beliau terkenal sebagai perawi hadis-hadis sahih yang kemudiannya dikumpul dalam kitabnya, Sahih Bukhari.

Biarpun kita selalu mendengar dan menyebut nama tokoh ini, sebahagian besar umat Islam masih belum mengenali secara terperinci siapakah individu yang telah memberi sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam. Sehinggakan manfaatnya dapat kita nikmati sehingga sekarang.

Hadis adalah perkara yang berkisar tentang sunah Rasul SAW dan apa yang disandarkan kepada baginda dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau sunah Rasul SAW adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Menyedari hakikat itu, Institut Kajian Hadis Selangor (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menganjurkan seminar 'Tokoh Hadis Al-Imam Al-Bukhari'.

Seminar sehari yang bertemakan Meniti Kegemilangan Ummah Generasi al-Hadis itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, 16 Mei lalu.

Seminar yang membentangkan enam kertas kerja itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali. Turut hadir ialah Rektor KUIS, Datuk Mohd. Adanan Isman.

Turut diadakan ialah pelancaran buku Meneladani Rasulullah SAW melalui Amalan Sehari Semalam terbitan Inhad, KUIS,

Dalam ucaptama seminar, pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Udah Mohsin menegaskan kewajipan berpegang kepada hadis sebagai sumber syariah.

Katanya, ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, Apa juga yang dibawakan kepada kamu oleh Rasul maka hendaklah kamu mengambilnya dan apa juga yang Rasul menegah kamu hendaklah kamu menjauhinya...(al-Hasyr: 7)

Menurut beliau, oleh kerana berpegang dengan hadis sebagai sumber syariah adalah perintah Allah melalui al-Quran maka mengingkari hadis juga bermaksud mengingkari al-Quran.

"Mengingkari al-Quran adalah menjadi kafir. Oleh itu mengingkari hadis sebagai sumber syariah juga kafir," jelasnya.

Kata Dr. Udah, kitab susunan Imam Bukhari iaitu Sahih Bukhari atau judul asalnya al-Jami' al-Musnad al-Sahih Min Hadith Rasulillah SAW wa Sunanih Wa Ayyamih adalah paling sahih selepas al-Quran.

Ia disusun selepas beliau benar-benar mahir dan pakar dalam bidang hadis sehingga digelar 'orang mukmin dalam hadis'.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh Imam Bukhari adalah mengumpulkan hadis-hadis yang dipelajari daripada guru-gurunya sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

"Beliau mengambil masa yang agak lama menyiapkan kitab ini. Sebanyak 600,000 hadis yang dikumpulkannya.

"Setiap hadis yang dimasukkan ke dalam Sahihnya telah diyakini sahihnya dan Imam Bukhari terlebih dahulu beristikharah dengan solat dua rakaat," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Inhad, Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, disebutkan bahawa Imam Bukhari bangun 21 kali pada waktu malam untuk menulis hadis.

Imam Bukhari juga terkenal dengan insan yang sangat bertimbangrasa di mana beliau tidak mengejutkan jurutulisnya ketika bangun mentakhrij hadis pada waktu tengah malam.

Terpelihara


"Beliau juga tidak membiasakan diri meminta-minta daripada orang dan berhati-hati dengan setiap tutur kata agar terpelihara daripada melakukan dosa," katanya dalam kertas kerja bertajuk 'Imam al-Bukhari: Suatu Biografi Ringkas'.

Sesungguhnya Sahih Bukhari adalah peninggalan yang amat bernilai dan memberi sumbangan yang amat besar kepada umat Islam seluruh dunia.

Kitab ini menjadi rujukan utama kepada seluruh umat Islam selepas Imam al-Bukhari untuk mengetahui hadis Rasulullah SAW yang benar-benar sabit daripada baginda.