Oleh Nazmi Yaakub
Cara orang Melayu belajar agama dan mengaji kini berubah mengikut zaman
BUDAYA menghantar anak belajar mengaji al-Quran dan ilmu fardu ain dengan alim ulama yang mendapat jolokan nama tok guru, sudah lama berakar dalam kehidupan masyarakat Melayu dan sebagai tanda penghormatan yang tinggi kepada kalangan agamawan.
Senario itu sebahagian daripada himpunan memori budaya masyarakat Melayu dengan sesetengah pelajar terpaksa berjalan pada waktu malam bercahayakan lampu suluh, perit rotan tok guru kerana gagal membaca ayat suci al-Quran dan membantu tok guru dalam urusan kerja rumah.
Kemuncak pada budaya dan penghormatan itu, kata-kata masyhur yang menjadi ulangan ibu bapa setiap kali mula menghantar anak mereka mengaji, iaitu “Ustaz ajarlah anak saya sampai pandai dan hukum mereka sekiranya nakal. Asalkan jangan buta dan patah sudahlah.”
Ia seolah-olah menggambarkan penghormatan tinggi bukan saja terhadap alim ulama, bahkan ilmu itu sendiri sehingga mereka menganggap ilmu mesti dicari dan bukannya ilmu yang mencari pelajarnya.
Bagaimanapun, perubahan kehidupan masyarakat Melayu terutama kesan urbanisasi menyebabkan mereka tidak lagi menghantar anak kepada guru agama, sebaliknya senario kini menyaksikan guru agama datang ke rumah pelajar untuk mengajar mereka membaca al-Quran dan ilmu fardu ain.
Senario ‘terbalik’ itu mungkin menimbulkan tanda tanya kepada mereka yang mempunyai himpunan memori budaya berkenaan sehingga mempersoalkan kewajaran menjemput guru untuk datang ke rumah, berbanding sebaliknya.
Sarjana Tamu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Hashim Musa, berkata budaya menghantar anak ke surau, masjid atau rumah tok guru untuk menuntut ilmu agama berlangsung sejak zaman Kesultanan Melayu di Aceh.
“Pengajian ilmu dalam bentuk itu sebenarnya berasal daripada sistem pengajian di Masjidil Haram, Makkah yang mempunyai halaqah yang dipimpin ulama dalam pelbagai mazhab dan kemudian dibawa ke Nusantara.
“Pada awalnya, tradisi pengajian agama bermula di istana kerana ia menjadi tempat bijak pandai Melayu dan jurutulis dengan sultan menjadi penaung yang memayungi pengajian agama,” katanya pada pertemuan dengan Sastera, di pejabatnya di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Prof Hashim berkata, tradisi pengajian itu berubah daripada berpusat di istana kepada masjid di Tanah Melayu atau manasah di Aceh seperti dicatatkan Stamford Raffles ketika melawat Masjid Tengkera di Melaka.
“Di alam Melayu, ibu bapa menghantar anak mereka ke rumah tok guru atau surau kerana beliau juga bertindak sebagai imam sehingga pelajarnya mencecah puluhan remaja, manakala pelajar perempuan pula diajar oleh isteri tok guru.
“Tradisi itu berjalan dengan baik apabila mereka belajar al-Quran dan ilmu asas agama sehingga berusia belasan tahun sebelum dihantar ke pondok, sekali gus mendapat pendedahan luas, selain turut meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kerana mereka belajar kitab agama dalam bahasa berkenaan,” katanya.
Prof Hashim mengakui, budaya itu tidak dapat dikekalkan apabila orang Melayu mula berhijrah ke bandar sehingga mereka tidak sempat menghantar anak ke surau, masjid atau rumah guru agama, selain didorong faktor masa anak yang lebih banyak dihabiskan di sekolah.
“Oleh itu, guru agama dijemput ke rumah untuk mengajar anak mereka mengaji al-Quran dan kadang-kala anak dari kawasan kejiranan dihimpunkan di sebuah rumah untuk memudahkan pengajian berlangsung.
“Hal ini wajar dilakukan asalkan pengajaran dan pengajian agama diteruskan, tetapi ibu bapa sewajarnya tidak berlepas tangan dalam soal pendidikan anak, sebaliknya meluangkan masa untuk membaca al-Quran dan hadis serta memberi tazkirah kepada anak mereka,” jelasnya.
Mengenai imbuhan kepada guru, Prof Hashim mengingatkan ia diberi bukan untuk menilai ilmu guru itu, sebaliknya atas dasar tanggungjawab di kalangan ibu bapa untuk menghargai sumbangan bakti, masa dan tenaga guru terbabit serta sifat terhutang budi yang menjadi budaya orang Melayu.
Ketua Pusat Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faudzinaim Badarudin, pula berkata konsep ilmu dicari dan bukannya mencari yang menjadi budaya masyarakat Melayu dulu, lebih berbentuk pendekatan dalam kaedah pengajaran dan usaha dakwah yang bersifat hikmah.
“Jika dulu, ibu bapa menghantar anak mereka untuk belajar al-Quran dengan guru di sesuatu tempat, tetapi ia berubah dengan tuntutan semasa yang lebih besar sehingga memerlukan ibu bapa menjemput mereka ke rumah.
“Pada masa sama, konsep itu hanya membabitkan pengajaran al-Quran berbentuk ilmu umum, manakala ilmu bersifat khusus dan mendalam masih memerlukan pelajar untuk mencari serta mendapatkan guru,” katanya.
Meskipun kaedah pengajaran itu berubah, Dr Faudzinaim berkata, adab menuntut ilmu antara guru dengan murid tidak boleh diabaikan sewenang-wenangnya, sebaliknya penghormatan tinggi kepada guru masih perlu diberi kerana mereka tidak dinilai berdasarkan jasad, sebaliknya melalui ilmu.
“Sebenarnya adab itu bukan saja antara guru dengan murid, bahkan turut membabitkan ibu bapa kerana mereka sebenarnya memerlukan kehadiran guru untuk mendidik anak. Tiga pihak menghayati dan mengamalkan akhlak dalam menuntut ilmu seperti ikhlas, sabar dan hormat menghormati,” katanya.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk meningkatkan kefahaman anak dalam agama perlu dialu-alukan kerana mereka ibarat kain putih yang bergantung kepada ibu bapa untuk mencorakkannya dengan pendidikan berguna.
“Dalam mendidik anak, kita memerlukan pelbagai pendekatan dengan menggembleng tenaga semua pihak, sekali gus berupaya memberi pendidikan terbaik kepada mereka,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment