Like Blog Ini...

Monday, July 23, 2012

Gastrik tidak halang puasa

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga.

Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif.

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.

Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan.

Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.

Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.

Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat.

Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul.

Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.

"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman.

Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.

Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Dua kaliSemasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur.

Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering.

Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan.

Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga.

Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat.

Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan.

Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi.

Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.

Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut.

Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.

BerhentiMasalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan.

"Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

Nilai strawberi

SIAPA yang tidak mengenali kawasan tanah tinggi Cameron Higlands, sejak mula kawasan tersebut ditemui dan diterokai oleh seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885.

Sehingga kini ia terus terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana terutamanya strawberi.

Hal demikian kerana faktor iklim sederhana yang bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius menjadikan Cameron Highlands amat sesuai dengan penanaman dan penghasilan buah tersebut.

Dianggarkan hampir 30 hektar kawasan penanaman strawberi telah dibangunkan dengan bilangan pekebun seramai 52 orang di sekitar pusat peranginan tersebut

Rata-rata pengeluaran strawberi di situ adalah dalam bentuk buah segar yang bernilai hampir RM60 juta hingga RM70 juta setahun.

Menurut Pengarah Urusan, Agriculture Products & Services Sdn. Bhd., Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid, rata-rata pengusaha strawberi di Cameron Highlands terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Beliau yang juga salah seorang pengusaha strawberi menggunakan jenama Al-Mashoor menjelaskan, biarpun iklim dan cuaca yang sesuai namun mengusahakan tanaman strawberi mempunyai cabarannya tersendiri.

“Strawberi amat sensitif, tidak seperti buah-buahan yang lain. Biarpun penanamannya di Cameron Highlands dilihat menjadi. Namun tidak semua bahagian di sini menjanjikan hasil yang lumayan.

‘‘Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang baik jika ditanam pada ketinggian dan kawasan yang tertentu sahaja," ujarnya ketika ditemui di ladang miliknya di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Beliau yang telah berkecimpung dalam perladangan strawberi selama lima tahun menyatakan, teknik fertigasi adalah yang terbaik bagi menanam strawberi.

Sistem tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Malah tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah berikutan tanaman tersebut tidak ditanam di atas tanah.

Tambahnya, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut, produk hiliran strawberi turut hasilkan bagi mempelbagaikan kegunaan buahnya.

Hasil produk hiliran strawberi sahaja dianggarkan mampu mencecah sehingga RM12 juta hingga RM18 juta setahun.

Justeru, produk-produk hiliran strawberi dilihat memiliki potensi untuk dijadikan produk hiliran pertanian utama bagi daerah Cameron Highlands.

Perkara tersebut turut diakui oleh Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Tasnim Ghazali bahawa produk hiliran berasaskan strawberi di Cameron Highlands memiliki potensi besar untuk dikembangkan.

Justeru itu, jelas Tasnim, daerah itu kini telah disenaraikan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.

“Program SDSI di bawah Jabatan Pertanian ini merupakan satu program yang berkonsepkan pembangunan beberapa jenis produk atau perkhidmatan beridentitikan satu-satu daerah.

“Program SDSI bertujuan mewujudkan satu industri di setiap daerah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat," ujarnya.

Program tersebut diwujudkan bagi memanfaatkan sumber bekalan mentah yang sedia ada termasuk tenaga kerja dan kepakaran masyarakat setempat.

‘‘Dengan penyediaan khidmat nasihat dan bimbingan dari segi infrastruktur dan kemudahan dan kelengkapan yang ada, SDSI dilihat mampu menjadi satu mekanisme penting dalam membangunkan usahawan di kalangan penduduk desa," katanya.

Dikenali dengan nama saintifik fragaria rosaceae, strawberi kaya dengan vitamin C dan pelbagai garam mineral seperti potassium, fosforus, dan kalsium.

Buah itu juga mengandung fitonutrient dan antioksidan yang memerangi radikal bebas. Unsur antioksidan inilah yang dipercayai memberikan warna merah pada buah strawberi.

Selain itu, buah strawberi juga mengandung Vitamin K, mangan, asid folik, riboflavin, vitamin B5, Vitamin B6, magnesium dan omega-3.

Di Cameron Highlands, terdapat beberapa ladang strawberi yang kebanyakannya dibuka kepada orang ramai seperti ladang The Red Strawberry Farm, EQ Strawberry Farm dan Raju Hills Strawberry di Brinchang.

KHM Strawberrypula , Taman Agro Al Mashoor dan Has‘r di Taman Sedia, di Tanah Rata.

Selain mengeluarkan buah-buahan strawberi segar, ladang-ladang ini juga turut menghasilkan produk hiliran seperti seperti jem, kordial, halwa, jus, acar, jeli dan topping yang semakin meningkat permintaannya dari semasa ke semasa.

Produk jem strawberi yang sebahagiannya dihasilkan sendiri turut menjadi daya tarikan kepada pelancong, pengunjung dan dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Antara lain, produk strawberi kering juga sering menjadi perhatian kerana ia tahan lama dan peminatnya boleh menikmati keenakan buah tersebut sepanjang tahun berikutan ketahanannya.

Ia sesuai dijadikan sebagai hidangan pembuka selera dan pencuci mulut mahupun digabungkan bersama sarapan berbentuk bijirin.

Sebagai sebuah agensi yang bertangungjawab, Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan segala dana berbentuk infrastruktur, peralatan, bengkel yang bernilai hampir RM300,000.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut membantu mempromosi produk berasaskan strawberi yang dihasilkan oleh pengusaha tersebut ke seluruh negara.

Malah, setiap tahun, jabatan akan memilih pengusaha yang terbaik untuk menyertai pameran SDSI yang diadakan di seluruh Malaysia.

Sehingga kini, SDSI di Cameron Highlands telah disertai sembilan orang pengusaha bumiputera malah turut menggalakkan bagi mereka yang berminat untuk menyertainya.

Selain membantu menyediakan infrastruktur, peralatan, dana serta mengelolakan lawatan dari luar negara ke ladang-ladang pengusaha tersebut, jabatan turut menyediakan kursus-kursus untuk menghasilkan produk berasaskan strawberi.

Punca kelahiran pramatang

SALAM doktor, saya sudah berkahwin dan kini hamil 34 minggu. Saya ingin bertanya, adakah onani ketika hamil boleh menjejaskan kandungan? Ini kerana bila saya bersama dengan suami, pasti saya akan merasa tidak selesa dan sakit di bahagian alat sulit selepas bersama. Saya harap doktor sudi bantu.

Ropa, Johor

JAWAPAN:

Terima kasih kepada Puan Ropa kerana sudi berkongsi soalan. Ya, onani ketika hamil mungkin boleh menjejaskan kandungan.

Onani atau juga dikenali sebagai masturbasi (melancap), adalah perangsangan seksual yang sengaja dilakukan pada organ kelamin untuk memperoleh kenikmatan dan kepuasan seksual. Perangsangan ini dapat dilakukan tanpa alat bantu ataupun menggunakan sesuatu objek atau alat, atau kombinasinya. Cara-caranya adalah dengan menyentuh, menggosok dan meraba bahagian tubuh sendiri yang peka sehingga menimbulkan rasa menyenangkan untuk mendapat kepuasan seksual (orgasma) baik tanpa alat mahupun menggunakan alat.

KesanAmalan onani yang diamalkan sejak sekian lama boleh memberikan kesan kepada hubungan seks yang normal. Lebih teruk lagi sekiranya onani yang dilakukan menggunakan cara yang ekstrem. Onani sememangnya berbeza dengan hubungan seks yang normal kerana ia tidak perlu memberi pertimbangan kepada pasangan masing-masing, malah melakukannya hanya untuk kepuasan diri sendiri semata-mata. Hubungan seks yang normal memerlukan perasaan bertimbang rasa serta mementingkan keselesaan di samping menghormati keinginan pasangan. Sekiranya sesuatu perbuatan tidak dapat memenuhi harapan pasangan, tentunya ia boleh menjejaskan kualiti hubungan seksual tersebut. Onani yang dilakukan secara ekstrem akan memberikan tekanan berlebihan kepada alat kelamin yang boleh memberi kecederaan kepada saraf dan mungkin juga menyebabkan kontraksi pada rahim dan kelahiran pramatang.

Dalam Islam juga, onani adalah haram. Puan mempunyai suami dan sepatutnya melakukan hubungan seks bersama suami secara halal kerana ia juga ibadah bagi anda berdua. Hubungan yang halal ini juga dapat meningkatkan lagi kemesraan dan kasih sayang anda berdua.

Jangan melakukan onani kerana ia boleh menimbulkan banyak impak yang negatif jika diamalkan. Jika merasa tidak selesa dan sakit di bahagian alat sulit selepas mengadakan hubungan seks bersama suami terutama semasa di peringkat akhir kehamilan, maka pelajari atau praktikkan hubungan seks mengikut posisi berlainan yang dapat mengurangkan ketidakselesaan yang dialami kerana bahagian abdomen yang makin membesar.

Cegah pneumokokal

Oleh Pakar Perunding Pediatrik & Neonatalogi, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin.

PENYAKIT pneumokokal adalah penyebab utama penyakit serius dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia. Malah, sejuta kanak-kanak di dunia mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokal manakala setiap dua minit, seorang kanak-kanak di Asia mati akibat jangkitan ini.

Ia biasa ditemui dalam hidung dan tekak. Bakteria ini sangat mudah berjangkit apabila anda batuk, bersin, atau terkena rembesan pernafasan. Gejala jangkitan pneumokokus agak sama dengan selesema atau demam. Ini menyukarkan penyakit ini dikesan pada tahap yang lebih awal.

Jika bakteria ini masuk ke dalam saluran darah, ia boleh menyebabkan bakteremia (jangkitan darah). Bakteremia boleh menyebabkan kejutan septik, satu keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Bakteria boleh menyerang selaput otak dan menyebabkan inflamasi yang dinamakan meningitis. Meningitis mengakibatkan kesan yang paling teruk. Risiko kematian atau kerosakan otak akibat jangkitan ini adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak, terutama sekali yang berumur bawah lima tahun. Tanda-tanda meningitis termasuk pening kepala, muntah-muntah, sawan, demam panas dan dalam kes paling teruk, pesakit tidak sedarkan diri.

Pneumokokus juga boleh menyebabkan otitis media (jangkitan pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (keradangan sinus). Jika penyakit ini menyebabkan otitis media, gegendang telinga akan bengkak dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada pesakit selain demam dan gangguan tidur.

TerbaikCara terbaik untuk melindungi keluarga anda daripada penyakit pneumokokal adalah melalui vaksinasi. Menurut WHO, jangkitan pneumokokal adalah punca kematian daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Pneumokokus adalah punca utama kematian akibat pneumonia. Lebih 50 peratus kematian akibat pneumonia adalah disebabkan oleh pneumokokus. Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko tinggi mendapat jangkitan yang boleh membawa maut ini dan kajian yang diterbitkan tentang jangkitan pneumokokus menunjukkan kadar morbiditi (penyakit) dan mortaliti (kematian) adalah paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah dua tahun.

WHO pada 2007 mengisytiharkan: "Menyedari beban berat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak dan keselamatan serta keberkesanan Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) dalam kumpulan usia ini, kemasukan vaksin ini dalam Program Pelalian Negara (NIP) adalah satu keutamaan".

Vaksinasi menentang penyakit pneumokokal invasif (IPD) adalah strategi penting untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan morbiditi kerana ia boleh mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti dan mengurangkan penularan bakteria.

Amal minum air elak batu karang

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SAFFIE Mat Saman, 59, tidak menyangka terpaksa menjalani satu pembedahan akibat batu karang pada usia emas.

"Saya disahkan menghidap batu karang pada 2008. Namun saya mengambil keputusan untuk tidak membuang batu karang tersebut kerana tidak berasa sakit. Setahun kemudian, saya sakit teruk dan terpaksa menjalani pembedahan laser membuang batu karang.

"Ketika itu, saluran kencing tersumbat akibat batu karang," jelasnya ketika ditemui di Pusat Rawatan eMan, G5, Kompleks Amaniah, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Saffie berkata, kebetulan ketika diserang sakit, dia hendak menunaikan haji dan memerlukan rawatan segera.

Akibat sakit yang terlampau, dia akhirnya akur untuk menjalani pembedahan.

Dia tidak lagi sanggup mengambil risiko menghadapi kesakitan ketika membuang air kecil sehingga menyebabkannya berpeluh-peluh dengan muka berkerut menahan kepedihan apabila batu karang menghalang saluran kencing.

Syukur kepada Allah, Saffie selamat dibedah dan doktor pakar berjaya menembak laser batu karang yang terkumpul daripada merebak.

"Namun doktor turut memaklumkan sakit itu akan datang semula. Bahkan, saya terpaksa memakai tiub sepanjang satu kaki di dalam buah pinggang saya," katanya sambil menunjukkan pinggangnya.

Sekembalinya daripada menunaikan haji, Saffie terus menjalani rawatan dan mengikut segala nasihat doktor.

"Kini saya cukup sedar mengenai kepentingan dan keperluan meminum air sekurang-kurangnya dua botol besar sehari," katanya lagi.

RawatanWalaupun masih meneruskan pemeriksaan kesihatan di hospital, Saffie juga mencuba rawatan alternatif bagi memperbaiki taraf kesihatannya.

Kebetulan beliau diperkenalkan oleh seorang rakan dengan Pusat Rawatan eMan kira-kira setahun yang lalu.

"Selepas menjalani rawatan di sini, saya semakin sihat. Tidur saya semakin lena kerana rawatan terapi elektrostatik mungkin bersesuaian dengan saya," ujarnya yang semakin sihat dan bebas daripada penyakit batu karang.

Ditanya nasihatnya kepada mereka yang mungkin tidak menyedari mereka menghidap batu karang, Saffie berkata, setiap orang perlu memastikan kandungan air dalam badan sentiasa mencukupi untuk mengelakkan terjadinya batu karang .

"Apabila seseorang itu kurang minum air, ia boleh menyebabkan berlaku kepekatan air kencing.

"Bahan-bahan asing (partikel) seperti 'sel epitelium' bertindak sebagai nukleus dalam pembentukan batu karang yang terjadi dari larutan garam dalam air kencing tersebut," katanya yang kini cukup arif tentang penyakit yang pernah dideritainya itu.

Gaya hidup sihat cegah Diabetis

MENURUT Kajian Mobiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2006 oleh Kementerian Kesihatan, seorang daripada setiap tujuh warga Malaysia menghidap diabetes. Namun, ramai pakar terkemuka perubatan dan nutrisi Malaysia mempercayai diabetes menimpa jumlah yang lebih besar, sehingga 22 peratus daripada penduduk Malaysia. Ini bermakna seorang daripada setiap lima orang dewasa di Malaysia ialah penghidap diabetes.

Namun, hanya sebilangan kecil daripada mereka dimaklumkan bahawa kebanyakan komplikasi atau masalah diabetes boleh dicegah. Ini termasuklah dengan mengubah gaya hidup, pemakanan, suplemen nutrisi, bersenam dengan kerap di samping melakukan ujian perubatan yang mudah seperti HbA1c, pemeriksaan mata secara berkala dan lain-lain.

Berikut beberapa panduan mencegah komplikasi berkaitan dengan paras gula darah yang tinggi.

Perubahan gaya hidupa) Pemakanan - Menghidap pradiabetes atau diabetes tidak sepatutnya menghalang anda daripada menikmati pelbagai jenis makanan. Tujuannya adalah membiasakan diri mengambil makanan yang seimbang dengan jumlah yang betul. Mengetahui apa yang patut dimakan kadang-kadang mengelirukan.

Di bawah ini terdapat beberapa petua untuk membuat pilihan makanan sihat:

n Makanlah sebanyak-banyaknya sayur dan buah. Pilihlah sayuran dan buah-buahan pelbagai warna untuk memaksimumkan kepelbagaiannya.

n Makan sayuran yang tidak berkanji seperti bayam, lobak merah, brokoli atau kacang hijau bersama makanan anda.

n Pilih bijirin lengkap bukan produk bijirin yang telah diproses. Pilih beras perang bukan beras putih dan roti gandum penuh bukan roti putih.

n Buangkan kulit daripada semua jenis daging seperti ayam dan lain-lain.

n Pilih air sejuk dan minuman "diet" yang bebas kalori bukan minuman soda, teh manis dan minuman lain yang dimaniskan dengan gula.

n Kurangkan mengambil snek seperti kerepek dan manisan berkalori tinggi seperti biskut, kek dan ais krim penuh lemak.

b) Kerap bersenam - Senaman adalah sebahagian daripada aktiviti gaya hidup yang sihat untuk semua orang. Anda boleh melakukan aktiviti mudah seperti melakukan berkebun, bermain tenis dan berjalan-jalan.

c) Pemeriksaan Perubatan secara Berkala - Ini termasuk:

1. HbA1c

HbA1c (haemoglobin A1c, glycosylated haemoglobin A1c, glycohaemoglobin A1c, atau ujian A1c) merupakan suatu ujian makmal yang menunjukkan paras purata glukosa darah dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Ia khususnya mengukur bilangan molekul glukosa yang terikat kepada haemoglobin, sejenis jisim di dalam sel darah. Mereka yang tidak menghidap diabetes umumnya mempunyai paras HbA1c kurang daripada 6 peratus . Ini bermakna kurang peratus daripada molekul haemoglobin mempunyai glukosa yang kekal terikat kepadanya.

2. Pemeriksaan Mata

Jika anda menghidap diabetes, segeralah menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun. Jika anda mengalami retinopati diabetes, anda mungkin memerlukan pemeriksaan mata lebih kerap. Mereka yang mengalami retinopati yang membiak (proliferative retinopathy) boleh mengurangkan risiko kebutaan.

3. Suplemen nutrisi - Vitamin B12 yang aktif

Membekalkan penghidap diabetes dan pradiabetes dengan nutrien tambahan penting seperti mecobalamin atau methylcobalamin dapat memulihkan semula saraf yang rosak, komplikasi paling biasa dikaitkan dengan paras glukosa darah yang tinggi. 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes sedikit-sebanyak mengalami kerosakan saraf.

Artikel ini disumbangkan oleh Live-well Nutraceuticals, untuk maklumat lanjut, sila rujuk ahli farmasi anda atau hubungi Live-well INFOline: 03-6142 6570 atau e-mail info@livewell2u.com

Terbaik dunia

Oleh LAUPA JUNUS

Kedudukan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terletak di pinggir Kuala Lumpur bagaikan satu tangki oksigen kepada penduduk bandar raya.

Ini kerana kawasan seluas 515 hektar itu yang merupakan bekas lombong itu, berubah menjadi pusat penyelidikan perhutanan sejak tahun 1929 dan kini merupakan antara santuari tumbuhan hidup tertua dan terpenting dunia.

FRIM akan kekal dan diingati selagi negara ini memiliki hutan.

FRIM wajar berbangga kini memiliki sekitar 15 juta batang pokok daripada 2,500 spesies yang berlainan dan melindungi kira-kira 100 spesies tumbuhan terancam.

Koleksi jutaan batang pokok itu disimpan dalam bentuk pokok hidup atau Arboretum yang menjadi ciri utama membentuk suasana damai FRIM, yang berperanan untuk kajian sains, pemeliharaan sumber genetik serta pameran.

Kejayaan FRIM kini lebih daripada sekadar menjaga khazanah alam belantara kita atau bahasa kekayaan alam sekitar kini yang dipanggil biodiversiti.

Daripada sekian banyak anugerah yang diterima oleh agensi tersebut yang kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) antara yang istimewa ialah Anugerah Sains Mahathir 2008 bagi kategori Sumber Semulajadi Tropika.

FRIM juga mengorak langkah membawa misi kejayaan negara apabila pada April lalu, agensi tersebut menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 bagi Institusi yang telah mencapai kecemerlangan dari segi sumbangan saintifik atau teknologikal terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara anggota di Khartoum, Sudan,

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd. Latif Mohmod, telah menerima hadiah plak, sijil pengiktirafan dan wang tunai berjumlah RM330,000 yang disampaikan oleh Presiden Republik Sudan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir.

Anugerah itu yang disampaikan sempena dengan Mesyuarat Lembaga Gabenor IDB yang ke-37 turut mengiktiraf kejayaan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang menerima bagi kategori Perbankan dan Kewangan Islam

Sesungguhnya penerimaan anugerah ini adalah satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan pencapaian FRIM dalam menerajui bidang perhutanan, bioteknologi perhutanan, alam sekitar dan biodiversiti hutan serta sumbangannya kepada pembangunan sains dan teknologi dalam sektor perhutanan di Malaysia.

Usaha FRIM untuk berkongsi teknologi dan hasil R&D dengan orang ramai melalui penerbitan artikel-artikel saintifik dan bukan saintifik; kejayaannya dalam pengkomersialan hasil R&D; serta penerimaan pelbagai anugerah dan pengiktirafan lain juga telah melayakkan FRIM untuk menerima anugerah ini.

Institut juga memahat pengiktirafan apabila disenarai antara institusi penyelidikan terbaik dunia oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan Sepanyol, atau Consejo Superior de Investigaciones Científicas (CSIC).

FRIM muncul antara institusi penyelidikan terbaik dunia apabila disenaraikan pada ranking 546 daripada 4,000 oleh CSIC.

Menurut kajian CSIC itu, melalui laporan terkini yang dikeluarkan pada Januari tahun ini, kedudukan FRIM bertambah baik dari kedudukan 813 pada tahun lepas.

Kajian CSIC itu dibuat dari beberapa aspek seperti penyelidikan oleh FRIM, serta artikel-artikel yang keluarkan FRIM.

"Ini satu penghargaan kepada Malaysia. Dari segi penyelidikan hutan tidak banyak negara luar yang melakukannya selain daripada Malaysia," kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.

Menurutnya, Malaysia mengamalkan pemeliharaan hutan, dalam masa yang sama mengimbangi pemeliharaan tersebut melalui penyelidikan untuk memastikan keseimbangan alam sekitar.

Mengulas mengenai pencapaian-pencapaian itu, Dr. Abdul Latif yang juga pakar dalam bidang rotan berkata, pihaknya sedang merangka agenda baru bagi untuk pembangunan akan datang dalam konteks perspektif perhutanan.

Memberitahu wartawan Utusan, beliau berkata, FRIM menjadi akan menjadi institusi penyelidikan bertaraf apeks dan mampu mencapai sehingga ke peringkat Hadiah Nobel.

"FRIM sekarang berada berada dalam kedudukan pertama sebagai institusi perhutanan tropika dunia.

"Kerajaan perlu menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan wajar atas sensitiviti dan kepentingan isu perhutanan dunia, persekitaran dan perubahan iklim dalam semua aspek kehidupan,'' katanya.

FRIM juga kata beliau, akan menjadi badan akreditasi untuk antarabangsa, menjana pendapatan melalui pengkomersialan dan pusat sehenti terutama pensijilan Eropah.

Dengan rentetan pencapaian itu , FRIM baru-baru ini dipilih sebagai penerima Anugerah Badan Berkanun kategori Penyelidikan bagi tahun 2012 oleh Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM).

Anugerah tersebut disampaikan pada 23 Jun lalu pada Majlis Penyampaian Anugerah 2012 yang diadakan sempena Mesyuarat Agung PBBM yang ke-29 di Langkawi, Kedah.

FRIM berjaya meraih anugerah tersebut atas dasar konsistensi pencapaiannya menerima anugerah-anugerah sains berprestij seperti Nikkei Asia Award, Anugerah Sains Mahathir, Anugerah Buku Negara, Malaysia Book of Record (MBR), serta Anugerah Bank Pembangunan Islam (IDB) bagi kategori Sains dan Teknologi.

Kesemua anugerah tersebut diperoleh atas kecemerlangan sumbangan penyelidikan FRIM terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.

Baru-baru ini FRIM juga telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dr. Abdul Latiff berkata, pencapaian FRIM bukannya sesuatu yang mudah serta merupakan tanda penghargaan dari PBBM ke atas usaha, nilai dan impak penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilaksanakan oleh FRIM.

Persoalannya, mampukah FRIM menyahut cabaran untuk terus melangkah ke persada lebih tinggi atau mengekalkan kejayaan di masa-masa akan datang?"

Anugerah ini turut mengiktiraf inisiatif FRIM menterjemah hasil R&D dalam bentuk buku-buku mewah mesra ilmu untuk dikongsi dengan awam dan berkepentingan.

PBBM telah ditubuhkan pada 1984 untuk merapat dan memperkukuh kerjasama di antara ahli-ahli Persatuan dengan tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan Badan-badan Berkanun di Malaysia.

Warisan geologi Langkawi

PENGISYTIHARAN di bawah inisiatif Jaringan Global Geoparks Dunia (GGN) itu bermatlamat mempromosi, melindungi serta membangunkan wilayah atau lokasi alam semulajadi yang kaya dengan ciri geologi.

Kesemua kawasan yang diisytiharkan termasuk 99 buah pulau dalam gugusan kepulauan Langkawi meliputi setiap tunggul batu yang kelihatan di permukaan laut, kawasan hutan belantara dan seluruh perkampungan di sana.

Secara asasnya, geopark merujuk kepada kawasan yang mempunyai sejarah batu-batu menarik, kepelbagaian pembentukan batuan dan landskap semulajadi yang indah.

Apa yang istimewa, ia mampu menjadi tarikan pelancongan baru kerana mengandungi nilai warisan cukup tinggi merangkumi produk biodiversiti seperti flora dan fauna yang wajar dipelihara.

Penggemar aktiviti berunsurkan geopark ini biasanya terdiri daripada golongan penyelidik, ahli akademik dan individu yang terlibat secara langsung dalam kajian berteraskan alam semulajadi.

Mereka cukup menghargai kualiti estetika dan keanehan yang terdapat pada produk geopark di samping mengaplikasi operasi kajiannya untuk tujuan pembangunan pendidikan dan saintifik di peringkat antarabangsa.

Selain itu, melalui aktiviti rekreasi geopelancongan pula, ia bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih mapan dan secara tidak langsung meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Sehingga hari ini, sebanyak 88 buah geopark telah disenaraikan oleh UNESCO di 27 buah negara seluruh dunia.

Bantu pembangunan

Salah satu visi Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar (NRE) adalah untuk membangun serta melindungi sumber mineral dan geosains negara menjelang tahun 2020.

Melengkapkan matlamat itu, NRE bersama beberapa agensi di bawahnya telah mengambil pelbagai langkah proaktif memelihara dan membina kawasan geopelancongan di sekitar Pulau Langkawi.

Ahli Geologi di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Muhammad Muztadza Mazni memberitahu, ketika ini pihaknya sedang proses memeta kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan geopelancongan.

‘‘Ia termasuk aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) secara berterusan bermatlamat memelihara sumber warisan geologi ini.

‘‘Tidak cukup dengan itu, kita turut menggariskan beberapa peraturan dan penguatkuasaan berkaitannya bagi memastikan sumber ini dibangunkan dengan selamat, sistematik dan efisien,’’ katanya.

Muhammad Muztadza memberitahu lagi, dalam usaha merangka pembangunan kawasan geopark, JMG memberi fokus kepada tiga elemen utama.

Ia termasuk pemulihan warisan menggunakan pendekatan inovatif, perkembangan ekonomi dan pembangunan komuniti.

Untuk kawasan hutan di geopark pula, JMG akan menjalankan proses pemuliharaan dan integrasi landskap geologi secara lebih bersepadu.

Dengan segala usaha berterusan itu, geopark bakal menjadi satu konsep pelancongan alternatif baru di Malaysia.

Menerusinya, pelancong dapat melawat sejarah evolusi Malaysia yang berusia jutaan tahun selain golongan muda juga dapat mencedok sedikit ilmu daripada warisan tidak ternilai ini.

- NAZRUL AZIM SHARUDDIN

Friday, July 20, 2012

Zakat fitrah dan Ramadan

SAYA terfikir, kenapakah Islam mewajibkan zakat fitrah? Bukankah sudah ada zakat harta? Lagipun nilai zakat fitrah lebih kecil berbanding zakat harta. Di Selangor misalnya, pada tahun ini zakat fitrah hanya bernilai RM7. Maka, apalah sangat nilainya? Tidak cukupkah lagi kewajipan zakat harta kepada umat Islam? Harap ustaz dapat jelaskan mengenai zakat fitrah ini. Terima kasih.

Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan persoalan. Moga-moga Ramadan yang berkunjung ke ribaan kita pada tahun ini, memberikan natijah yang cukup positif demi mengembalikan kita kepada fitrah manusia yang sebenar, yakni muslim yang taat kepada Allah SWT, sama ada dalam keadaan susah mahu pun senang dan bersifat belas ihsan kepada mereka yang memerlukan. Semoga juga jawapan ini mampu menjelaskan berkenaan zakat fitrah di sisi kita.

Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh kita, bahkan oleh Nabi Muhammad SAW demi melestarikan amal kebajikan. Ibnu Abbas r.a pernah memberitahu: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat fitrah adalah secebis bukti kedermawanan kita. Seandainya jumlah zakat fitrah yang kecilpun ada orang yang masih berkira-kira dan bakhil menunaikannya bagaimana pula mereka mahu menunaikan zakat harta yang lebih besar nilainya?

Hakikatnya, di sisi Islam, sememangnya zakat itu terbahagi dua, iaitu zakat harta (mal) dan zakat fitrah. Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, kerana ia diwajibkan oleh Allah SWT bagi setiap individu Muslim tanpa mengira sama ada kecil, dewasa, lelaki, wanita, merdeka ataupun hamba. Selagi mana mereka dapat hidup pada dua masa, yakni Ramadan dan Syawal walaupun sebentar, maka wajiblah zakat fitrah ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa: "Rasulullah SAW memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang kamu sediakan makanan mereka (tanggunganmu)." (riwayat Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Di samping itu, uniknya zakat fitrah kerana ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Ia tiada pada bulan-bulan yang lain. Pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada orang-orang fakir dan miskin, khususnya pada pagi hari raya. Namun, dek perubahan zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya.

Maka, atas dasar itu, memberikan zakat fitrah paling afdal ialah pada pagi hari raya. Yakni sebelum solat sunat Aidilfitri didirikan sehingga ada yang melambatkan solat sunat berkenaan, demi memberikan kesempatan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Namun, tidaklah boleh dilewatkan sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan menurut sunah, eloklah dilakukan solat sunat Aidilfitri itu pada waktu matahari di sepenggalahan (kira-kira jam 8.30pagi - 9pagi) (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 334).

Walau bagaimanapun, amalan zakat fitrah di Malaysia ia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan. Ia lebih sesuai, memandangkan kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau paling bahaya terlupa menunaikannya sehingga menjadi berdosa.

Sebenarnya, zakat fitrah mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri. Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.

Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.

Akhirnya, Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan, dan itulah namanya zakat fitrah.

Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).

Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling bahu-membahu, khususnya memberikan rasa kegembiraan kepada mereka yang serba kekurangan di hari lebaran.

Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah dan santunnya kita sebagai seorang Muslim sejati, yang mengasihi sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Wallahua'lam.

Khalid al-Walid

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

DIKATAKAN seramai 3,350 anggota tentera musuh mati ditangan tentera Islam pada Perang Muktah berbanding hanya 12 orang di pihak Islam. Tidakkah ini bermakna kemenangan luar biasa pihak Islam? Apatah lagi bila mengetahui bilangan tentera Islam hanya seramai 3,000 berbanding di pihak musuh, 200,000 orang.

Walau bagaimanapun kedengaran juga daripada segelintir pihak yang mendakwa kemenangan sebenarnya tetap di pihak tentera Rom Byzantine, bukan di pihak Islam.

Alasannya, pihak Islam tidak berjaya menawan Muktah (Wilayah Karak, Jordan) yang ketika itu merupakan wilayah di bawah jajahan Rom.

Apa pun persoalannya, terpulanglah bagaimana cara ia difahami dan ditafsirkan mengikut kepentingan masing-masing.

Malah, jika dikatakan tentera Islam sebenarnya kalah dalam peperangan ini, maka ia bukan menjadi satu kesalahan atau terkutuk di sisi Allah. Ini kerana menang atau kalah tentu banyak hikmah dan pengajaran yang patut dijadikan peringatan dan sempadan.

Berbalik kepada Pedang Allah, Khalid bin Al-Walid, beliau menunjukkan dua peribadi yang cukup berbeza ketika mengepalai tentera di Perang Uhud dan Perang Muktah.

Pada Perang Uhud, Khalid menentang Islam, namun beliaulah yang paling kuat mempertahankan Islam semasa Perang Muktah.

Marilah kita mengenali Khalid Al Walid kerana dengan mengenali beliau maka ia menambahkan lagi koleksi tokoh-tokoh Islam yang wajar kita kagumi.

Selain menjadi salah seorang hero dalam Islam, beliau dikatakan salah seorang antara panglima tentera yang paling hebat dalam sejarah peperangan dunia.

Ia setanding dengan Ghengis Khan kerana kedua-duanya tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan yang mereka sertai.

Tetapi tahukah anda kehebatan beliau ini sama sekali tidak membuatkan Khalid berasa bangga tetapi lebih kepada mengeluh sendiri.

Sebagaimana umat dan pahlawan-pahlawan Islam yang lain, pada jiwa Khalid juga kental dengan cita-cita untuk mati syahid di medan tempur. Namun hajatnya tidak pernah tertunai atau kesampaian.

Beliau sentiasa membawakan tentera Islam kepada kemenangan dengan tiada musuh yang berjaya dan mampu menumbangkan Khalid.

Namun Khalid akhirnya terpaksa akur apabila ada sahabat yang memujuknya: "Engkau tidak boleh mati syahid wahai Khalid! Ini kerana engkau telah dilantik sebagai Pedang Allah oleh Rasulullah dan pedang Allah tidak boleh patah (gugur syahid) di medan perang."

Tiada perang yang tidak dimenanginya. Walaupun mencari syahid tetapi yang pasti Khalid mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di akhirat.

Ini kerana beliau sendiri mempunyai luka-luka dan parut peperangan di seluruh badannya yang boleh dijadikan bukti.

Kehebatan Khalid

Ini sebagaimana kata-kata Khalid sebelum beliau meninggal dunia: "Aku telah berperang lebih daripada 100 kali dan tiada di badanku ini walaupun seinci kecuali padanya penuh dengan pukulan pedang, tusukan panah dan tikaman tombak. Dan inilah aku, yang akhirnya mati di atas katilku sendiri."

Kata-katanya itu tertulis di bahagian luar kompleks makamnya di Syria yang tidak putus-putus dikunjungi umat Islam.

Melihatkan kepada rupa bentuk pedang milik Khalid yang masih tersimpan elok sehingga hari ini, serta sentiasa menarik perhatian orang ramai. Dari situ kita sudah boleh mengagumi akan kehebatan Khalid.

Apatah lagi melihatkan rupa paras Khalid itu sendiri, pasti lebih mengagumkan.

Dikatakan juga Khalid dan Saidina Umar Al Khattab adalah dua pahlawan Islam yang tiada bezanya yang kebetulan kedua-dua mereka adalah sepupu.

Dilahirkan dalam keluarga bangsawan terkemuka, suku Bani Makhzum dalam golongan Arab Quraisy dengan bapanya Al-Walid ibnu Al-Mughira merupakan ketua suku tersebut.

Bani Makhzum lazimnya bertanggungjawab dalam soal peperangan bagi mempertahankan golongan kafir Quraisy Mekah.

Lalu sejak awal kelahiran Khalid, beliau telah dibentuk untuk menjadi pahlawan sejati apabila ketika usia bayi beliau telah dihantar untuk tinggal bersama puak-puak Arab Badwi di padang pasir untuk diasuh hidup secara lasak dan tangkas.

Sehinggalah usianya memasuki enam tahun beliau kembali ke pangkuan keluarga di Kota Mekah menjadi seorang anak yang membesar dengan begitu gagah dan berani.

Lebih-lebih lagi, mempunyai Umar sebagai sepupu, perwatakan fizikal dan peribadi mereka sememangnya sama, termasuk wajah.

Kedua-duanya sama tinggi dan mempunyai bahu yang lebar, dada yang bidang dengan janggut dan jambang tebal di muka.

Khalid adalah jaguh gusti yang terkemuka di Kota Mekah dan pernah bergusti dengan Umar sehingga patah tangan Umar. Sebagai meneruskan tradisi kekeluargaan beliau juga sangat hebat mengendalikan kuda, malah dikatakan penunggang kuda terbaik di Semenanjung Tanah Arab ketika itu.

Sejak kecil juga Khalid sudah mahir bermain pelbagai alat senjata terutamanya pedang, tombak dan anak panah.

Puasa wasilah takwa

Oleh LONG KECHIK

ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup. Darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik, kita masih lagi mampu untuk menatap wajah insan-insan yang kita kasih dan sayang, kita masih hidup.

Bagaimanapun akan datang satu masa, satu saat, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyang, diusung ke tanah perkuburan oleh orang dan kemudian ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian.

Hakikatnya, mati bukan noktah kepada kehidupan. Sesungguhnya dengan mati bermulalah kehidupan kita. Kehidupan yang lebih hakiki. Kehidupan yang lebih abadi. Apa yang akan berlaku ke atas kita pada kehidupan kita yang satu lagi itu bergantung bagaimana kehidupan kita di atas dunia ini. Kalau padi yang kita tanam, padilah yang kita akan tuai. Tapi kalau lalang, maka lalanglah yang kita akan dapat.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertakwa.

Maka Allah SWT mendatangkan bulan Ramadan. Di mana dengan kita berpuasa, kita akan menjadi orang yang bertakwa. (rujuk al-Baqarah: 183)

Walau bagaimanapun, Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud, mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, takwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana sejauhmana takwa akan terbina adalah bergantung kepada kualiti puasa kita.

Sebab itu kata Nabi SAW: "Ramai umat aku berpuasa, tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."

Maka penting untuk kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik daripada sebelum ini.

Dalam kehidupan ini penting untuk kita mempunyai matlamat yang jelas. Sebab itu dalam konteks organisasi kita ada visi dan misi.

Dalam konteks individu pun kita ada penyata wawasan. Dalam konteks puasa yang kita jalani, melalui ayat tadi kita boleh bentuk satu objektif iaitu setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan, di akhirnya orang-orang yang beriman akan menjadi orang yang bertakwa.

Allah SWT dengan sifat kasih sayangnya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi pemangkin ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita.

Akhlak berhutang

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

STATISTIK yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang parlimen, baru-baru ini sekali lagi mengejutkan kita. Laporan yang berkaitan dengan bilangan kes kebankrapan yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi setakat April 2012 ialah sebanyak 241,740 kes.

Perkara ini sangat mengejutkan kerana kebanyakan mereka yang berstatus bankrap ini masih muda, seawal 25 tahun. Bayangkan, pada usia muda sudah menyandang status bankrap.

Menurut kajian yang telah dibuat, secara purata lebih kurang 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long.

Beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan bagi membendung masalah ini. Antaranya ialah peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengehadkan pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros, selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.

Sekiranya kita amati secara teliti, sebenarnya punca kepada peningkatan kes kebankrapan adalah disebabkan oleh sikap.

Selagi mana sikap tamak, suka menunjuk-nunjuk dan suka membazir tidak dapat dikawal, maka selagi itulah masalah kebankrapan tidak dapat dibendung atau dikurangkan.

Memang tidak dapat dinafikan terdapat di kalangan kita yang mempunyai masalah kewangan. Barangkali, ia bukanlah disebabkan kelemahan perancangan yang dibuat, tetapi kerana berhadapan dengan situasi kecemasan yang tidak dijangkakan.

Oleh itu, Islam mengharuskan untuk kita berhutang. Walaupun ia dibenarkan dan diharuskan oleh Islam, ini tidak bermakna Islam menggalakkan kita berhutang. Ia hanyalah untuk memenuhi keperluan di peringkat dharuriyat iaitu keperluan yang bersangatan seperti rumah, kenderaan, perubatan dan pendidikan.

Islam tidak membenarkan kita berhutang untuk bermewah-mewah dan untuk menyombong diri. Orang yang mempunyai perasaan suka menunjuk-nunjuk tidak akan puas dengan apa yang dimiliki. Semuanya akan dibuat asalkan dia dapat mempamerkan kemewahannya kepada orang lain. Kekaguman orang terhadapnya seolah-olah memberikan suatu kepuasan kepadanya. (rujuk Luqman: 18)

Ibnu Az-Zubair pernah berkhutbah di Mekah, dengan menyatakan: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: Seandainya manusia diberikan lembah yang dipenuhi dengan emas, maka dia masih menginginkan lembah yang kedua seumpama itu. Jika diberikan lembah kedua, dia akan masih menginginkan lembah yang ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi sesiapa sahaja yang bertaubat. (riwayat al-Bukhari)

Semoga kita terpelihara daripada belenggu hutang yang akhirnya membataskan dan menyulitkan kehidupan kita. Orang yang bebas daripada hutang ialah orang yang merdeka dan tumpuan mereka tidak terganggu serta yang paling penting sekali dia akan dapat mengelakkan diri daripada penipuan dan pengkhianatan.

Menghukum kafir

RAMAI di kalangan umat Islam hari ini tersalah dalam memahami sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan dihukum sebagai kafir. Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dalam permasalahan khilaf pada cabang feqah. Ia akhirnya menatijahkan hanya sedikit sahaja individu yang diiktiraf sebagai muslimin yang tinggal di muka bumi ini pada penilaian mereka.

Mengambil sikap baik sangka, berkemungkinan niat mereka baik demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, dalam melaksanakan konsep amar makruf nahi mungkar, perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan memberi peringatan yang baik. Jika ada yang perlu diperdebatkanpun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik. (rujuk al-Nahl: 125)

Al-'Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad mengatakan: "Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya) ataupun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) seperti masalah tauhid, kenabian, kesempurnaan risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari kiamat, hisab, pembalasan pada hari kiamat serta syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir.

Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya.

Sesungguhnya, menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas adalah suatu yang amat bahaya.

Rasulullah SAW menegaskan: "Jika seseorang berkata kepada saudaranya 'wahai kafir', maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya."

Orang yang layak untuk menilai sama ada seseorang itu kafir atau mukmin, hanyalah orang yang mengetahui menerusi sinaran cahaya syariat Islam perkara-perkara yang memasukkan seseorang kepada kekufuran dan yang mengeluarkannya dan juga orang mengetahui secara pasti, batas pemisah antara keimanan dan kekufuran di sisi hukum syariat Islam yang mulia dan sempurna.

Sesiapapun juga tidak harus bertindak rakus dan terburu-buru dalam medan ini dan menuduh kafir terhadap saudara seagamanya hanya berdasarkan kepada sesuatu yang tidak pasti dan prasangka tanpa menggunakan ukuran yang pasti dan meyakinkan serta pengetahuan yang kukuh dan mendalam.

Jika tidak berhati-hati, yang jernih akan bercampur dengan yang keruh dan tidak akan ada lagi seorang Muslim pun di atas muka bumi ini. Jika ada pun hanya sedikit.

Begitu juga, tidak boleh seseorang itu dihukum kafir hanya kerana dia melakukan maksiat. Padahal dia masih mempunyai keimanan dan memperakuinya dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sehubungan dengan perkara ini, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: "Tiga perkara daripada asas keimanan ialah menahan diri daripada (mengkafirkan) orang yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallah kita tidak mengkafirkannya kerana dia berbuat dosa dan kita tidak mengeluarkannya daripada Islam hanya kerana dia melakukan maksiat dan jihad yang sentiasa berterusan semenjak Allah mengutus saya menjadi Nabi hingga umat saya yang terakhir memerangi Dajjal. Jihad tidak akan dibatalkan kerana kezaliman orang yang zalim ataupun kerana keadilan orang yang adil. Dan (yang ketiga), beriman dengan qadar."

Imam Haramain berkata: "Jika dikatakan kepada kita 'perincikan ungkapan atau perilaku yang membawa kepada kekafiran dan tidak membawa kepada kekafiran'. Kami menjawab 'ini suatu keinginan yang bukan pada tempatnya kerana (hak) mengkafirkan orang lain adalah termasuk dalam masalah yang sangat jauh jangkauannya dan sangat dalam wawasannya, yang harus dikaji asal-usul tauhid. Sesiapa yang tidak mengetahui sesuatu ilmu hingga kepada hakikatnya, tidak mungkin mengetahui cara membuktikan kekafiran seseorang dengan pasti."

Oleh kerana itu, hendaklah kita mengingati dan berhati-hati daripada melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SWT yang dapat menunjuki ke jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya sahajalah kita semua akan dikembalikan.

Tuesday, July 17, 2012

RM5 juta biayai pelajar hafaz al-Quran

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) yang membuka peluang kepada golongan hafal al-Quran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah itu dijangka mampu menaja 200 pelajar tahun ini.

"Dana yang diperuntukkan bagi SPH ini adalah keprihatinan kerajaan untuk golongan hafiz di negara ini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, diploma lanjutan, sarjana dan doktor falsafah," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Darul Quran (DQ) di Kuala Kubu Baru, dekat sini hari ini.

Mengulas perkara berbeza, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaik taraf DQ kepada kolej universiti.

"Jakim komited untuk menaik taraf DQ menjadi kolej universiti awam tetapi dengan hasrat segala perkembangan dan pentadbiran DQ masih di bawah bidang kuasa Jakim," katanya.

Pada konvokesyen itu, 494 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing. - BERNAMA

Memerangi kumpulan ajaran sesat di Malaysia

Oleh Datuk Othman Mustapha (Ketua Pengarah Jakim).

PENYELEWENGAN akidah dan masalah ajaran sesat boleh merencatkan usaha kerajaan dalam membangun ummah dan menyebarkan fahaman Islam di Malaysia. Faktor ini boleh menyebabkan beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan dalam masyarakat umat Islam di negara ini.

Di Malaysia, kajian mendapati bahawa ajaran dan amalan sesat bergerak secara senyap- senyap atau tanpa disedari semasa Islam mula bertapak di negara ini pada abad ke-15 lagi. Ia dipercayai turut dibawa secara imigrasi yang membawa fahaman asal yang ada antaranya ciri-ciri ajaran animisme dan adat yang tidak selaras dengan Islam.

Ajaran sesat yang bergerak cergas di seluruh Malaysia sebelum 1980an bukan sahaja telah mengalami pengurangan bahkan kebanyakan dapat dibanteras oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari semasa ke semasa dengan kerjasama yang berkaitan.

Berdasarkan kajian Jakim, ajaran sesat yang dikategorikan sebagai aktif sehingga Mac 2001 adalah sebanyak 26 kumpulan meliputi pelbagai bentuk amalan seleweng, penggabungan dengan amalan pembomohan, persilatan serta amalan khurafat seperti amalan sihir, penggunaan jin atau hantu. Beberapa daripada kumpulan berkenaan telah difatwa dan diwartakan oleh negeri-negeri sebagai sesat.

Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam atau didakwa tidak berlawanan dengan ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Hasil daripada tindakan agresif yang dilakukan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam usaha membanteras ajaran sesat ini maka jumlah ajaran sesat tegar di Malaysia akhir- akhir ini dikenalpasti sebanyak tujuh kumpulan. Kumpulan tersebut adalah kumpulan Al- Arqam/Rufaqa'/Global Ikhwan Sdn. Bhd, Pertubuhan Kerabat Raja Sakti-penjenamaan semula dari Ajaran Azhar Wahab (Al-Mansur), Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Qadiani Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan Ajaran Aurad Ismailiah.

Golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa taktik sebagai umpan untuk mendapatkan pengaruh daripada kalangan masyarakat. Di antaranya adalah janji dan jaminan yang boleh merangsang seseorang itu terpengaruh untuk mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi.

Sementara itu, cara pergerakan ajaran sesat adalah dengan mendekati mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti jahil, mudah terpengaruh dengan kawan, ghairah dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami asas-asas akidah dan disebabkan faktor kekayaan dan mencari pengaruh.

Selain itu, antara faktor penyebab penyelewengan akidah umat Islam di negara ini adalah kerana tersebarnya buku berunsur ajaran sesat atau melalui koleksi khas para guru ajaran sesat berkenaan serta individu yang cuba menonjolkan diri sebagai orang yang arif dalam ilmu-ilmu pengubatan dan agama yang semata-mata bertujuan memperolehi kepentingan diri atau lain-lain kepentingan.

Ada pelbagai ciri amalan yang dilakukan oleh kumpulan ajaran sesat ini di Malaysia dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa agama. Antaranya, mempercayai orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, bersumpah tidak akan menceritakan ajaran yang diikutinya kepada orang lain, mengaku dirinya atau gurunya sebagai nabi, mengaku dirinya memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah SAW seperti pedang dan sebagainya, mempercayai semua ajaran adalah sama, semua menuju ke syurga, mengakui diri sebagai wali atau mempunyai keramat, mempercayai gurunya boleh memberi syafaat di akhirat, mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana bersuluk dan lain-lain.

Dalam usaha mengatasi masalah itu, pihak berkuasa agama Islam negeri dan Jakim bekerjasama erat melalui pelbagai program yang bertujuan mengembalikan mereka kepada akidah seperti proses pemulihan akidah, program-program penjelasan akidah dan penerbitan bahan penerbitan.

Selain itu, kerajaan mempunyai strategi dan platform khusus untuk mengenalpasti dan membanteras ajaran sesat ini antaranya melalui Jawatankuasa Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS), proses pewartaan fatwa yang bermula dari penerimaan aduan, kajian, pembentangan melalui Panel Kajian Akidah (PKA) seterusnya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jakim juga sentiasa memaklumkan perkembangan melalui Majlis Raja-raja dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jakim turut mewujudkan strategi Rancangan 5 Tahun Membanteras Ajaran Sesat yang dibentuk pada setiap lima tahun bagi membendung perkara ini hingga ke akar umbi.

Secara keseluruhan, saya mendapati dengan wujudnya undang-undang yang disertakan penguatkuasaan diyakini dapat membendung gejala ini. Walaupun pelbagai perancangan dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ia tidak akan memberi kesan tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran dari masyarakat bagi mengatasi gejala tersebut dari terus berleluasa.

Sunday, July 15, 2012

Alternatif untuk pesakit Cerebral Palsy

PESAKIT yang mengalami kecacatan otak atau kecederaan di bahagian otak akibat serangan strok lazimnya mengalami kesukaran mengawal pergerakan dan kekuatan tubuh mereka.

Malah beberapa bahagian anggota tertentu pesakit kadang kala bergerak sendiri tanpa kawalan pesakit.

Bagaimanapun menerusi kajian dan pelbagai ujian yang telah dilakukan terhasil satu rawatan alternatif yang telah diberi nama Dynamic Movement Orthosis (DMO).

DMO merupakan salah satu pendekatan alternatif yang digunakan secara terus untuk rawatan penyakit neuro muskular seperti cerebral palsy (CP), hemiplegia, strok dan neuro muskular scoliosis.

Teknik ini memberi penekanan dengan mempertingkatkan tindak balas sensor dan keseimbangan biomekanikal. Antara yang menjadi penekanan dalam perbincangan tersebut ialah konsep rawatan dan keberkesanannya.

Sesi bengkel penerangan dan demonstrasi rawatan DMO telah dijalankan oleh MyORTHO Rehab, penyedia utama dalam produk dan perkhidmatan orthotic baru-baru ini.

Ia juga mendapat persetujuan kolaborasi dengan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pusat Dialisis dan Strok Sau Seng Lum di Puchong, Selangor.

Bengkel yang julung kali dianjurkan ini dikendalikan pakar klinikal orthotic, Martin Matthews .

Lebih 40 peserta hadir dalam bengkel ini, termasuk fisioterapi dan terapi pekerjaan khusus dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan hospital kerajaan di Malaysia.

Semasa sesi praktikal, Matthew menunjuk ajar peserta bagaimana cara untuk membantu pesakit dari seawal umur kanak-kanak hinggalah kepada pesakit warga emas yang pernah terkena strok.

"Amatlah mengagumkan apabila selepas menerima rawatan, para pesakit 'sukarela' ini menunjukkan perkembangan yang positif terutama dari aspek kekuatan dan kestabilan postur. Malah pergerakan yang tidak diperlukan juga semakin minimum dengan penggunaan DMO lycra compressions.

"Dalam seminar ini bukan hanya pelatih dan para fisioterapi yang dapat ilmu tentang manfaat malah ibu bapa juga mendapat sedikit sebanyak idea tentang pakaian tersebut," ujar Edmund Lee, selaku pengarah urusan di MyORTHO Rehab.

Tambahnya atas sebab itu mereka mendapatkan pesakit cerebral palsy sebenar supaya peserta dapat melihat sendiri keberkesanan produk ini pada pesakit.

Peserta yang hadir pada bengkel tersebut diberikan dua sijil iaitu sijil pengamal yang diiktiraf oleh British Association Prosthetists & Orthotists (BAPO) dan satu lagi sijil kedatangan dari MyORTHO Rehab.

MyORTHO yang mentakrifkan kursus ini sebagai kursus profesional berkata ini sebagai satu usaha mereka untuk mencari penyelesaian terbaik untuk memberi ilmu dan panduan kepada ahli perubatan profesional.

Manfaat vaksin

KESIHATAN bukan sahaja faktor utama yang menyumbang kepada kebajikan insan, tetapi juga berperanan sebagai alat untuk meningkatkan tahap pendapatan peribadi, kekayaan dan kesejahteraan sesebuah negara.

Oleh sebab itu program pemvaksinan atau pelalian telah diiktiraf sebagai salah satu daripada langkah kesihatan umum yang paling penting dan berkesan, dengan kesan sosio ekonomi positif terhadap masyarakat dan negara.

Hakikat bahawa kesihatan bukan sekadar satu kesan tetapi juga punca pendapatan tinggi secara tidak langsung dicapai melalui program seperti ini.

Pakar ekonomi kesihatan dan pakar dasar dari Maastricht School of Management, Belanda, Dr. Edith Maes, berkata, terdapat empat cara di mana pelaburan dalam program pelalian boleh menyumbang kepada tahap pertumbuhan ekonomi lebih pesat.

"Peranan pertama pelaburan kesihatan ialah dari segi produktiviti buruh. Pekerja yang sihat kurang mengambil cuti dan lebih produktif semasa bekerja.

"Keduanya adalah berkaitan dengan jadual pelalian yang dikemas kini, di mana kesihatan kanak-kanak boleh memberikan kesan langsung terhadap perkembangan kognitif dan keupayaan untuk belajar dalam sistem pendidikan kami.

"Manfaat ketiga ialah kesan langsung kesihatan terhadap simpanan, kerana jangka hayat lebih panjang boleh meningkatkan insentif untuk menabung untuk persaraan dan menjana tahap simpanan dan kekayaan yang lebih tinggi.

Akhir sekali, tenaga kerja yang sihat mungkin meningkatkan insentif yang menarik pelaburan perniagaan tempatan dan pelaburan langsung asing," kata Dr. Edith pada taklimat media yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, sesebuah negara melangkah maju seiring dengan masyarakatnya apabila mereka mendapat manfaat daripada perlindungan yang disediakan menerusi pemvaksinan atau pelalian.

Ini kerana, vaksin mengurangkan kesakitan, penderitaan, kehilangan upaya dan kematian daripada penyakit.

Justeru, ia secara langsung mengurangkan kos rawatan perubatan, mengurangkan bilangan hari cuti sakit atau cuti yang perlu diambil untuk menjaga ahli keluarga yang sakit.

"Daripada aspek keluarga pula, mereka mendapat manfaat apabila pencari nafkah utama sihat dan ahli keluarga tidak perlu mengambil cuti untuk menjaga kanak-kanak yang sakit.

"Kerajaan pula mendapat manfaat kerana pemvaksinan menyokong langkah pencegahan kesihatan, seperti pemeriksaan, kaunseling dan nasihat perubahan tingkah laku.

"Berasaskan semua sebab yang diberikan, pembiayaan kerajaan negara hendaklah diperuntukkan bagi program pelalian seluruh masyarakat. Untuk mencapai matlamat ekonomi, penduduk negara semestinya sihat dan terlindung," tambah Dr. Edith.

Pradiabetes 'pintu' penyakit kronik

TAHUKAH anda satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menderita penyakit diabetes? Selain itu, 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes mengalami pelbagai bentuk kerosakan saraf? Ini diburukkan lagi oleh fakta ini: Adakah anda menyedari risiko pemotongan anggota adalah 27.7 kali ganda lebih besar bagi mereka yang menghidap diabetes dan 50 peratus daripada semua kes pemotongan anggota berlaku pada mereka yang berpenyakit diabetes?

Paling menakutkan ialah ramai tidak mengetahui mereka menghidapi pradiabetes. Pradiabetes berlaku apabila paras gula darah meningkat lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai diabetes. Mereka yang mengalami pradiabetes bukan sahaja menghadapi risiko tinggi untuk menderita diabetes, bahkan berhadapan risiko serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan kerosakan saraf.

Pradiabetes dan diabetesPradiabetes dan diabetes jenis II lazimnya bermula dengan penentangan insulin. Para penyelidik kini mengetahui diabetes bukan tiba-tiba muncul tanpa sebarang sebab. Sebelum didiagnosis menghidap diabetes, anda lazimnya mengalami pradiabetes. Cara terbaik memerangi diabetes di peringkat pradiabetes adalah dengan melakukan kegiatan fizikal selama 30 minit setiap hari, makan makanan sihat serta mengambil suplemen kesihatan tertentu, yang boleh mengurangkan secara mendadak risiko menghidapi diabetes jenis II.

Paras gula darah (glukosa) dalam badan kita dikawal oleh insulin - sejenis hormon yang diolah di dalam organ pankreas. Insulin membantu mengangkut glukosa daripada darah melalui membran sel dan memasukkannya ke dalam sel badan. Selagi membran sel terus sensitif terhadap insulin, pengangkutan berulang-alik glukosa ke dalam sel akan berlaku dengan cepat dan licin. Sebaliknya, apabila membran sel ini menjadi tidak sensitif terhadap insulin (penentangan insulin), maka pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin untuk memaksa glukosa memasuki sel. Apabila usaha ini tidak begitu berkesan, akibatnya terdapat paras gula yang tinggi beredar dalam darah (pradiabetes). Lama-kelamaan, pankreas tidak berupaya lagi mengeluarkan insulin yang mencukupi untuk mengawal gula darah; maka diabetes jenis II akan menular.

Kerosakan sarafJika anda mempunyai paras gula darah yang tinggi seperti dalam keadaan pradiabetes atau diabetes, kemungkinan besar anda sudah mengalami beberapa bentuk kesakitan atau kerosakan saraf yang dikenali sebagai neuropati diabetes yang akan menjejaskan saraf di jari kaki, kaki, paha, tangan dan lengan. Denyutan, kekebasan, rasa kepanasan dan kehilangan deria rasa, antara tanda-tanda biasa neuropati diabetes atau kerosakan saraf.

Pemeriksaan berkalaWalaupun anda menganggap diri tidak berisiko, pakar menasihatkan mereka yang berumur lebih 35 tahun supaya menjalani pemeriksaan paras gula darah setiap tahun.

Mecobalamin - Vitamin B12 Walaupun pemeriksaan berkala dan ujian gula darah itu penting, anda juga wajar mengambil mecobalamin, bentuk Vitamin B12 yang aktif, bagi membantu mewujudkan saraf yang sihat serta melindungi daripada proses kemerosotan sistem saraf.

Asma : Penyakit kronik kanak-kanak


Oleh SITI HAJJAR ABDULLAH

SIKAP tidak mahu mengambil tahu serta kurang kesedaran tentang penyakit asma adalah punca meningkatnya bilangan penghidap penyakit ini di tahap kronik terutama di kalangan kanak-kanak.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 300 juta penduduk di seluruh dunia menghidap asma dan angka tersebut dijangka bertambah sebanyak 100 juta menjelang tahun 2025.

Penyakit tersebut dihidapi olah semua peringkat usia namun ia merupakan penyakit kronik yang paling banyak dihidapi oleh kanak-kanak.

Di Malaysia saja, penyakit ini menjejaskan kira-kira 10 peratus hingga 13 peratus penduduk dengan sebilangan besar masih di bawah rawatan.

Kajian oleh Majlis Asma Malaysia (ACM) pula menunjukkan 66 peratus pesakit asma di negara ini tidak pernah menjalani ujian fungsi paru-paru.

Selain itu, dianggarkan juga 32 peratus pesakit asma telah tertinggal kerja dalam jumlah enam hari setahun kerana penyakit itu manakala sebanyak 21 peratus penghidap mengalami gangguan tidur.

Lebih mengejutkan 52 peratus daripada kanak-kanak tidak hadir ke sekolah akibat asma, yang turut menyebabkan kegagalan dalam kegiatan fizikal, sosial dan 67 peratus daripada mereka tidak menerima sebarang rawatan.

Pakar Runding Pediatrik dan Doktor Dada Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, terdapat ramai pesakit asma di seluruh dunia yang mempunyai keperluan yang tidak dipenuhi, sebab itu ia membawa kepada kawalan asma yang lemah.

Selain itu katanya, kekurangan pengetahuan dan juga salah faham mengenai penyakit asma serta rawatan yang diberikan tidak terperinci juga penyebab kekangan dalam membendung penyakit ini.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa rawatan yang sempurna membolehkan hampir semua pesakit asma dapat mengawal asma dengan baik dan seterusnya membantu mereka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sekolah, tempat kerja dan lain-lain.

"Justeru pendidikan dari usia muda merupakan aspek utama dalam membentuk kesedaran tentang penyakit asma.

"Kawalan dan pengurusan asma yang baik akan membolehkan pengidapnya menjalani kehidupan aktif dan sihat seperti orang normal yang lain.

"Kesedaran mengenai asma adalah sama pentingnya dengan cara pengawalan asma yang baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Norzila, asma adalah sejenis penyakit yang biasa di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia dan penyakit tersebut turut meningkat pada kadar tertinggi yang dihidapi oleh anak-anak kecil ini.

"Kawalan asma di kalangan kanak-kanak kurang diberi perhatian sepenuhnya di samping itu, ia turut menyekat aktiviti gaya hidup kanak-kanak ini.

"Ibu bapa perlu menitik-beratkan tentang permasalahan penyakit ini kerana jika ia tidak dirawat dan dicegah ia boleh membahayakan pesakit tersebut," katanya.

Beliau berkata, kesedaran adalah satu cara untuk mencegah seseorang daripada penyakit asma ini dan ia boleh dielakkan jika pesakit mempunyai pendidikan dan pengetahuan yang baik.

Bersempena dengan Hari Asma Sedunia 2012 baru-baru ini, sebuah buku komik mengenai asma yang bertajuk Apa Sudah Jadi Dengan Max? telah dilancarkan oleh ACM dengan sokongan GlaxoSmithKline.

Pelancaran buku ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap asma dan pengurusannya di kalangan penghidap kanak-kanak yang merangkumi sejumlah 4.9 hingga 13.8 peratus dalam keseluruhan populasi kanak-kanak.

Pelajar perempuan dominasi IPTA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 Julai - Pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan program ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara apabila 25,372 (65.8 peratus) diterima masuk pada tahun ini berbanding pelajar lelaki seramai 13,177 (34.2 peratus).

Pecahan kemasukan mengikut jantina itu berdasarkan jumlah 38,549 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi yang berjaya mendapat tempat di IPTA daripada keseluruhan 63,467 permohonan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, prestasi calon berjaya berbanding calon layak mengikut kaum menunjukkan 27,455 (70.2 peratus) bumiputera, 8.986 (86.4 peratus) kaum Cina, 1,384 (72.8 peratus) kaum India serta 724 (69.8 peratus) lain-lain kaum.

"Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dalam menentukan merit seseorang calon," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai status keputusan permohonan ke IPTA bagi program pengajian lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi untuk sesi akademik 2012/2013 itu di sini hari ini.

Menurut Rujhan, seramai 5,154 calon ditawar mengikuti lapan kursus kompetitif iaitu perubatan (875 calon) pergigian (170); farmasi (295); undang-undang (354); kejuruteraan kimia (666); kejuruteraan mekanikal (1,071); kejuruteraan elektrik dan elektronik (919); dan perakaunan (804) calon.

"Untuk sesi akademik kali ini juga, seramai 1,682 calon atlet negeri dan negara, 28 calon Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 22 calon Orang Asli turut ditawarkan tempat ke IPTA.

"Surat tawaran rasmi bakal dikeluarkan kepada semua calon yang berjaya mulai 16 Julai ini dan pengesahan persetujuan menerima tawaran perlu dibuat dalam tempoh 10 hari atau sebelum 22 Julai. Manakala tarikh pendaftaran pada 1 hingga 2 September ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rujhan berkata, mulai tahun ini, lima IPTA berstatus universiti penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (USM) diberi autonomi pengurusan kemasukan pelajar ke universiti berkenaan.

"Dalam hal ini, calon diberi peluang memilih program pengajian di lima buah universiti berkenaan dan termasuk 15 IPTA lain mengikut minat, cita-cita dan kecenderungan calon.

"Kesan daripada pelaksanaan langkah itu menyebabkan seramai 2,015 calon pada tahun ini mendapat dua tawaran, bagaimanapun mereka perlu memilih salah satu daripadanya sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat seramai 683 calon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas gagal mendapat tempat di IPTA.

Katanya, ia melibatkan seramai 105 calon yang mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 163 calon dengan PNGK 3.00 hingga 3.49 tidak mendapat tawaran kerana tidak bersetuju menerima program di luar pilihan mereka.

"Seramai 87 calon yang mendapat PNGK 3.50 hingga 3.99 dan 328 calon dengan PNGK 3.00 hingga 3.49 pula gagal mendapat tempat kerana tidak memenuhi syarat am universiti atau syarat khas program pengajian yang dipilih," katanya.

Beliau memberi contoh kes calon dengan PNGK tertinggi iaitu 3.96 gagal mendapat tempat kerana memohon kursus perubatan di universiti penyelidikan yang mensyaratkan PNGK 4.0 untuk kursus kompetitif itu serta disebabkan tidak mahu menerima tawaran kursus sama di universiti lain.

Sementara itu, beliau berkata, calon yang gagal menerima sebarang tawaran boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 22 Julai.

"Jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 September ini maka rayuan tersebut hendaklah dianggap gagal," katanya.

Nadir bumi

DALAM era serba moden ini, kehidupan manusia dituntut seiring dengan pembangunan, kemajuan dan perkembangan teknologi tinggi bagi menjamin kehidupan lebih selesa.

Lambakan produk dan peralatan canggih bagi memenuhi keperluan dan kehendak harian yang berada di pasaran seakan menjadi trend semasa bagi sebahagian besar individu dalam menjalani kehidupan serba moden.

Malah, fenomena ini bukan sahaja melanda penduduk di luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan China bahkan masyarakat Malaysia juga turut merasai tempiasnya.

Lihat sahaja di mana-mana, baik di pusat beli-belah sehinggakan di hentian bas dan teksi, masyarakat kita khususnya remaja seakan tidak pernah lekang dengan gajet-gajet elektronik seperti telefon pintar, ipod, ipad dan komputer riba yang direka dengan pelbagai bentuk dan warna yang menarik.

Gajet-gajet sebegini dianggap perlu bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam suatu kelompok masyarakat yang moden, mengikut peredaran zaman dan up-to-date.

Perkembangan hidup serba moden secara tidak langsung turut mempengaruhi pasaran perkakasan rumah antaranya televisyen yang turut mengalami revolusi tersendiri yang menyokong kepada pengurangan pemanasan global.

Bermula daripada penggunaan televisyen skrin hitam putih kepada skrin warna pada era 40-an, kini warna skrin paparan cecair kristal (LCD), skrin panel paparan plasma (PDP) dan Light Emmitting Diode (LED) menjadi pilihan hati.

Tambahan pula, masyarakat sekarang lebih prihatin terhadap isu penjimatan tenaga dan teknologi hijau.

Kini, mereka lebih cenderung memilih peralatan yang menyokong usaha meningkatkan kecekapan tenaga sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Antaranya seperti menggunakan lampu cekap tenaga (energy saver), bateri yang boleh dicas semula, penggunaan penapis sinar ultraviolet (UV) dalam kaca bagi kegunaan bangunan hijau untuk mengawal suhu dan ventilasi terhadap peningkatan pencahayaan.

Pengguna juga mula beralih kepada kenderaan generasi baru seperti kenderaan elektrik dan hibrid.

Bagi negara yang mempunyai keupayaan, jana kuasa angin bagi menghasilkan tenaga elektrik juga menjadi pilihan untuk mengatasi masalah pembebasan gas pencemaran.

Mungkin masih ramai antara kita yang tidak sedar bahawa tuntutan hidup serba moden ini hadir seiring dengan penggunaan suatu bahan asas iaitu nadir bumi yang menjadi momokan masyarakat sejak kebelakangan ini.

Unsur nadir bumi inilah yang melengkap dan menyokong pengeluaran dan pembuatan produk moden dan mesra alam di seluruh dunia.

Apakah seribu satu kebaikan yang terkandung pada unsur unik ini?

Nadir bumi sebenarnya adalah suatu unsur yang merupakan logam yang berkilau dan mempunyai sifat konduktif elektrik yang tinggi.

Penemuan nadir bumi berlaku sejak abad ke 17 dan ke 18 oleh beberapa saintis dari Finland dan Sweden antaranya Johan Gadolin, Per Teodor Cleve dan Carl Gustaf Morsander.

Nadir bumi lazimnya ditemui di dalam mineral-mineral tertentu seperti kuprum, plumbum, platinum dan emas yang terkandung di dalam kerak bumi, nadir bumi tidak pernah ditemui secara berasingan.

Malah ia juga boleh ditemui dalam kebanyakan pembentukan batuan yang besar.

Di Malaysia, nadir bumi ditemui bersama-sama bijih timah semasa aktiviti perlombongan bijih timah yang dilakukan di kawasan tanah lanar seperti yang terdapat di Perak dan Selangor.

Industri perlombongan bijih timah telah wujud sejak 1850-an dan berkembang di beberapa negeri di Malaysia terutamanya di Lembah Kinta, Perak.

Ia merupakan kawasan utama perlombongan bijih timah yang banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara hingga pernah suatu ketika dahulu Malaysia pernah digelar sebagai negara pengeluar bijih timah utama di dunia.

Berbanding logam-logam lain, nadir bumi adalah logam yang lembut secara relatif dan kekuatannya meningkat seiring dengan peningkatan nombor atom.

Kebanyakan sebatian unsur nadir bumi mempunyai sifat paramagnet yang tinggi.

Sifat kimia yang unik ini menjadikan ia sebagai logam yang amat diperlukan sehingga ia mendapat jolokan sebagai logam strategik oleh penganalisis komoditi.

Jelas terbukti bahawa dengan ciri-ciri istimewa ini, nadir bumi menjadi logam yang tiada tolok bandingnya dengan logam-logam lain terutama kegunaannya dalam pengkhususan elektronik, optik, magnetik dan katalitik.

Secara sedar atau tidak, kehidupan kita seharian banyak melibatkan unsur nadir bumi.

Hakikatnya banyak teknologi hijau menggunakan unsur unik tersebut dalam pembangunan teknologi tinggi bagi menyuntik keselesaan di setiap ruang kehidupan kita.

Ini termasuk kemudahan melibatkan penggunaan alat pandang dengar, fotografi, komunikasi, peralatan muzik, pencahayaan dan turut digunakan bagi memajukan bidang perubatan iaitu peralatan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi meninjau sistem badan untuk tujuan rawatan.

Menafikan kegunaan dan kepentingan nadir bumi samalah ertinya dengan menolak kepentingan hidup yang lebih selesa.

Jika dilihat dari kaca mata industri, nadir bumi bakal melonjak industri strategik di Malaysia yang berpotensi menarik pelabur-pelabur dalam industri teknologi tinggi dan teknologi hijau untuk melabur di negara kita sekali gus memacu ekonomi negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Malah industri strategik ini juga mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir.

Saturday, July 14, 2012

Isu soal hati

JIKA pepatah Melayu mengatakan cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, tetapi dari sudut ekonomi dan sosial, jika perut kenyang, hati senang dan bila hati senang otak dapat berfikir dengan baik dan tenang.

Orang Melayu menjadi hati sebagai fokus dalam kehidupan yang menyebabkan jika hati terjaga dengan baik, maka seseorang itu mendapat nikmat kebahagiaan.

Dalam Islam, hati adalah fokus utama di mana dalam sebuah hadis dinyatakan dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah manusia itu. Jika daging itu tidak baik maka rosaklah manusia itu. Daging itu adalah hati.

Sebab itu dalam masyarakat Melayu-Islam ada banyak perkara yang dikaitkan dengan hati seperti patah hati, makan hati, sakit hati, hati batu, buah hati dan sebagainya.

Dalam sebuah keluarga Islam, kesukaran menjaga hati akan berakhir dengan makan hati, rumah tangga menjadi hancur. Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin berkahwin seseorang itu mestilah mampu fizikal, mental (termasuk kerohanian) dan kewangan.

Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini, perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu. Ini bukan bermakna seseorang itu perlu kaya raya baru boleh menjadikan rumah tangganya bahagia.

Tetapi kemampuan menanggung makan minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.

Persoalan hati ini sering menjadi punca perceraian. Jika cinta pandang pertama itu terpaut di hati, maka tidak hairanlah punca perceraian kerana sakit hati berlaku dalam masyarakat Islam.

Masalahnya sakit hati satu penyakit yang sukar diubati. Kerana sakit hati, pasangan bermusuh-musuhan sehingga tidak dapat memaafkan antara satu sama lain. Bukan sekadar tidak boleh bertegur sapa, malahan ada pasangan yang bergaduh hingga bercerai dan tidak boleh bertemu atau berkomunikasi antara satu sama lain. Waima, bayang pasangan atau bekas pasangannya pun dia tidak mahu dilihat.

Trend baru cerai

Kerunsingan saya meningkat apabila melihat beberapa trend baru dalam perceraian masa kini. Trend itu ialah sakit hati dan dendam berpanjangan hingga menjejas hubungan kekeluargaan kedua belah pihak dan anak-anak.

Pada masa dahulu trend perceraian yang paling kerap berlaku di kalangan pasangan Islam ialah gantung tak bertali. Suami akan meninggalkan isterinya begitu saja. Bermakna suami keluar rumah tanpa meninggal pesan dan tidak langsung menjenguk isteri dan anak-anaknya apatah lagi memberi nafkah.

Dulu isteri yang digantung tidak bertali tidak pergi ke mahkamah menuntut cerai melalui taklik kerana merasa sangat malu ditinggal suami begitu saja.

Ada juga dalam beberapa kes, suami meninggalkan isterinya tanpa menyentuhnya pun pada malam pertama. Isteri seperti ini disebut sebagai 'janda berhias' kerana walaupun dia janda, dia masih anak dara kerana belum disetubuhi suaminya.

Ada satu dua kes selepas anak-anak dewasa dan bekerja, baru isteri ini ke mahkamah syariah menuntut cerai kerana hendak ke Mekah atau kerana desakan anak-anak.

Hari ini 'gantung tak bertali' sudah kurang kerana rata-rata wanita tahu hak mereka. Jika ditinggalkan suami begitu saja lebih dari empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir dan batin seperti dalam taklik, maka mereka boleh mendapat taklik.

Status janda bukan masalah atau stigma malah status ibu tunggal juga kini diterima secara positif. Perubahan cara masyarakat berfikir menjadikan proses menyesuaikan diri apabila diceraikan lebih mudah.

Walaupun wanita telah banyak terdedah kepada hak mereka dalam perkahwinan dan boleh memohon fasakh atau taklik, namun masih ramai isteri yang tidak memohon cerai kerana menjaga hati.

Daripada pengamatan saya, biasanya isteri yang rendah hati ini selalunya dibuli atau dianiaya secara emosi oleh suami. Sehinggakan dia tidak percaya pada dirinya sendiri dan sentiasa menyalahkan dirinya apabila perkahwinan menemui kehancuran.

Trend ini juga telah banyak berubah. Isteri kini lebih garang dan berani menyalahkan suami. Isteri juga telah mula keluar daripada kepompong kedukaan berpanjangan kepada penuntutan hak dan keinginan merasa bahagia.

Namun isu soal hati tetap ada. Daripada trend bertahan kerana menjaga hati anak, ibu bapa dan mentua, kini trendnya ialah pasangan menyimpan rasa benci yang berpanjangan sehinggakan ia memberi kesan kepada anak-anak.

Apa yang pasangan hari ini perlu ingat jika mereka bercerai dan mempunyai anak, mereka masih perlu berhubung antara satu sama lain terutama dalam hal nafkah, perwalian dan harta.

Janganlah kerana kebencian antara satu sama lain menyebabkan anak-anak dibesarkan dalam kebencian dan tidak menghormati mereka sebagai ibu bapa.

Pemikiran al-Banna

FENOMENA kebangkitan rakyat telah menjadi kuasa yang cukup menggerunkan dewasa ini, terutama merujuk kepada peristiwa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan beberapa negara lain di kawasan Asia Barat.

Kehendak rakyat yang sering digambarkan sebagai vox populi vox dei (suara rakyat, suara Tuhan), sinonim sebagai alat untuk mengawal tindakan kerajaan agar selaras dengan kebajikan dan keutamaan negara.

Apa juga nama bentuk perubahan itu, sama ada transformasi, reformasi atau islah, semuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan kerajaan bersikap adil, telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

Ini yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna melalui pemikirannya. Lantaran itu, melalui buku Hakikat Pemikiran Politik Hasan Al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan & Aktiviti Hasan al-Banna ini, penulis, Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir cuba mengupas pemikiran Hasan al-Banna yang juga dikenali sebagai pendakwah, penulis yang prolifik dan aktivis Islam sejak usia muda lagi berkenaan dengan siyasah syar'iah.

Penulis yang juga adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut cuba merungkai pemikiran politik Hasan al-Banna yang selama ini dipersepsikan sebagai tokoh yang menganjur pelbagai acara, termasuk revolusi, demi menegakkan negara Islam.

Berdasarkan analisis dan kajian yang dimuatkan dalam buku ini, pembaca akan mendapati bahawa Hasan al-Banna merupakan seorang yang fleksible serta menolak kekerasan.

Hasan al-Banna menegaskan bahawa tidak menjadi persoalan bentuk pemerintahan sesebuah negara itu iaitu jika negara itu negara Islam, negara berparlimen, kesultanan atau republik, sepanjang negara itu tidak melanggar syariah Islam dan meletakkan prinsip syariah Islam sebagai acuan utama.

Buku ini diakhiri dengan beberapa cadangan penulis iaitu dari segi akademik beliau mencadangkan agar diadakan penyelidikan lebih lanjut, menyeluruh dan komprehensif mengenai pemikiran tokoh pilihan ini dan konsepsinya tentang siyasah syar'iyah.

Kedua; bagi yang menguasai tampuk pemerintahan (penguasa) perlu memahami secara mendalam tentang siyasah syar'iyah yang disertai dengan hujah kukuh, terutamanya dalam mendepani cabaran politik semasa.

Tegas Dr. Aziz Jamaludin semangat dan nilai utama dalam siyasah syar'iyah bukan terletak pada simbolisasi penerapannya, akan tetapi ia terletak pada isi ajarannya.

Siapa asnaf riqab?

SAYA inginkan sedikit penjelasan mengenai asnaf ar-Riqab. Ini kerana, ada pihak yang mendakwa, hari ini riqab yakni para hamba sudah tidak ada, maka tidak perlulah lagi dikekalkan asnaf ini dalam pengagihan zakat. Dalam situasi lain, ada pihak mendakwa, ia masih perlu dikekalkan. Harap penjelasan ustaz?

Jawapan

Terima kasih kerana sudi menghulurkan pertanyaan. Moga-moga dengan jawapan ringkas yang disediakan ini, mampu menjernihkan pandangan kita terhadap keunggulan ketentuan Allah SWT dalam aspek pengagihan zakat ini, insya-Allah.

Di dalam al-Quran, Allah SWT meletakkan kedudukan asnaf ar-Riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi kelima. Iaitu, dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan riqab.

Kedudukan ini secara tidak langsung menunjukkan, betapa golongan ar-Riqab mempunyai kedudukan yang penting untuk dibantu oleh institusi zakat.

Bahkan Dr. Yusuf al-Qarawadi telah membahaskan penggunaan kalimah awalan 'li' dan 'fi' daripada aspek Bahasa Arab, bagi empat asnaf yang pertama dan empat asnaf yang kedua, demi menjustifikasikan betapa membantu asnaf riqab adalah suatu tuntutan yang mendesak dan tidak boleh dipandang ringan (Hukum Zakat, hal. 584).

Baiklah, apakah maksud sebenar ar-Riqab? Riqab adalah jamak daripada perkataan raqabah yang membawa maksud budak (hamba) belian laki-laki dan bukan budak belian perempuan. Namun begitu, dalam konteks pengamalan, ia tidaklah hanya tertakluk kepada hamba lelaki sahaja, bahkan termasuk juga hamba wanita.

Daripada aspek transliterasi langsung pula, riqab atau raqabah bermakna 'leher'. Maka, fuqaha menyatakan, istilah ini adalah satu kiasan yang menunjukkan betapa perhambaan adalah satu bentuk belenggu yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan (Hukum Zakat, hal. 587).

Maka, Allah SWT menurunkan keizinan agar para hamba ini dimerdekakan dengan bantuan zakat, sebagai simbol betapa Islam amat meraikan kebebasan manusia daripada diperhambakan (dibelenggu) sesama manusia.

Dalam pada itu, selain daripada surah at-Taubah ayat 60, Allah SWT turut menyinggung pembebasan hamba atau golongan ar-Riqab ini pada surah an-Nur, ayat 33.

Namun begitu, masa terus beredar dan kita dapat melihat umumnya perhambaan semakin hari semakin berkurangan. Akhirnya, ada sebahagian negara di dunia ini, khususnya di negara-negara maju dan membangun, perhambaan hampir sudah pupus sama sekali.

Maka, timbullah persoalan daripada sesetengah pihak, adakah masih ada keperluan untuk mengekalkan asnaf riqab di dalam pembahagian zakat?

Berdasarkan pengamatan, ada negara-negara di dunia yang telah mengalihkan peruntukan riqab ini kepada asnaf yang lain, misalnya di Arab Saudi. Bahkan, Simposium Kedua Perbadanan Rasmi Zakat Sedunia pada 1989, telah mengeluarkan fatwa bahawa agihan zakat bagi asnaf riqab boleh diagihkan kepada asnaf lain (Rujuk buku Fiqh Zakat Malaysia, hal. 227).

Namun begitu, menurut pandangan fuqaha lain, keperluan ke atas meluaskan definisi ar-Riqab sebaliknya dapat memberikan manfaat kepada seluruh umat. Maka, dalam hal ini, sebahagian fuqaha tidak sekadar menyempitkan definisi riqab sebagai 'hamba' semata-mata; tetapi lebih meluas meliputi pelbagai aspek lain perhambaan.

Misalnya, Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya menyatakan, para tawanan muslimin yang ditahan oleh musuh-musuh Islam boleh dibebaskan dengan menggunakan peruntukan ar-Riqab.

Pandangan ini telah dikemukakan oleh Imam Ahmad. Begitu juga Sayyid Rashid Ridha telah mengemukakan pandangannya dalam kitab tafsirnya al-Manar, bahawa dana zakat juga boleh dikembangkan bagi membantu golongan yang mahu membebaskan negara mereka daripada belenggu penjajahan dan pandangan ini didokong oleh Syeikh Mahmud Syaltut (Hukum Zakat, hal. 592).

Penjara syariah

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

HUKUMAN yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah saban tahun dipertikaikan oleh kalangan awam. Mereka mendakwa hukuman yang bersifat punitif tersebut adalah terlalu kecil dan tidak mampu menjadi panduan atau mendatangkan keinsafan kepada pesalah syariah dan juga orang lain.

Acap kali mahkamah syariah dipersalahkan apabila hukuman yang dijatuhkan itu dikatakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Sebenarnya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 memperuntukkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.

Akta inilah yang sebenarnya menghalang DUN meluluskan undang-undang untuk hukuman yang lebih berat dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Dalam ruangan ini, penulis ingin memberi tumpuan kepada hukuman penjara atau al habs dalam undang-undang Islam. Ini adalah kerana hukuman penjara bukan hanya dijatuhkan Mahkamah Sivil, malah ia juga dijatuhkan Mahkamah Syariah di setiap negeri.

Walaupun hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum tiga tahun saja (berbanding Mahkamah Sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup), hakikatnya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa dan sudah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah.

Pelbagai kesalahan jenayah syariah apabila disabitkan boleh dijatuhi hukuman penjara, seperti diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.

Pemenjaraan dalam Islam bertujuan memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Namun secara kritikalnya adakah pemenjaraan pesalah syariah sekarang ini mampu memulihkan pesalah syariah tersebut menginsafi kesalahan yang mereka lakukan itu?

Dalam Islam pemenjaraan bukan hanya bertujuan menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka. Banduan di penjara syariah pula perlu diberi layanan sewajarnya, tidak boleh diseksa dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agamanya.

Namun demikian, buat masa ini semua pesalah, sama ada jenayah sivil atau syariah ditempatkan di penjara sama. Ini bermakna pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran atau melanggar fatwa mufti, diletakkan di penjara sama dengan pesalah jenayah berat seperti dadah, rogol dan merompak. Mungkin hanya sel-sel di dalam penjara sahaja yang diasingkan.

Implikasinya dikhuatiri juga pesalah syariah terdedah dengan pesalah lain dan apabila keluar, mereka bukan insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk, cuba melakukan kesalahan lain pula.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah proaktif mentransformasi institusi penjara dengan mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan.

Transformasi ini membolehkan pesalah syariah melangkah keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan sama. Dari sudut pakaian saja kita sudah boleh melihat pakaian dikenakan banduan di penjara tidak menutup aurat.

Aspek ini kita sudah boleh nampak ketidakpatuhan kepada syariah. Modul, pakaian, layanan dan kegiatan di penjara syariah mesti digarap mengikut piawaian diiktiraf hukum syarak. Sudah pasti, cetusan pandangan ini membawa implikasi besar dari segi kewangan kerajaan termasuk perbelanjaan dan perjawatan pegawai awam.

Namun pada era transformasi dan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' penjara syariah amat mendesak keperluannya kerana kadar kesalahan jenayah syariah semakin berganda, manakala penjara sivil terlalu sesak dan tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.

Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara sedia ada gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka.

Sering kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka rasa lebih selesa berada di sana. Kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung banduan. Sifat punitif pemenjaraan itu dikesampingkan kerana tiada atau kurang nilai keagamaan disemai di dalam penjara.

Internet TV IKIM

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DUA puluh tahun dahulu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam menyampaikan kefahaman Islam tertumpu kepada penganjuran program-program berbentuk ilmiah seperti seminar, persidangan, bengkel, forum, muzakarah pakar selain menggunakan medium penerbitan buku-buku berbentuk ilmiah.

Setelah IKIM beroperasi selama sembilan tahun, ia maju selangkah dengan penubuhan radio IKIMfm yang bermula pada 6 Julai 2001.

Sejak itu, lingkungan pendengar radio Islami yang satu-satunya beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu ini bertambah dari semasa ke semasa.

Mutakhir, jika ditanya orang ramai tentang IKIM, tidak ada siapa yang tidak kenal. Apatah lagi peranannya dalam mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat berkaitan Islam.

Selain peranannya sebagai institusi penyelidikan yang diwujudkan oleh kerajaan 20 tahun lalu untuk meningkatkan kefahaman Islam agar dapat difahami, sekali gus menyusun kehidupan individu dan masyarakat sehingga terbinanya sebuah tamadun manusia yang mulia.

Sempena ulang tahun ke-20 tahun ini, IKIM mengambil inisiatif memperkenalkan siaran televisyennya ke seluruh dunia melalui saluran Internet yang diberi nama TV IKIM.

Kewujudan Internet TV IKIM ini turut dilihat sebagai satu lagi usaha terkini IKIM dalam mengisi seberapa banyak ruang yang ada untuk misi dakwahnya.

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, pihaknya tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan media baru ini.

Katanya, Internet TV IKIM akan memudah dan menyampaikan lagi ilmu kefahaman Islam dengan lebih meluas kepada orang ramai, malahan kepada yang bukan beragama Islam.

"Sejak penubuhannya, segala bentuk perbincangan, seminar, ceramah dirakamkan dalam bahan audio visual hanya diketahui dan dinikmati oleh mereka yang mengunjungi IKIM dan perpustakaan IKIM.

"Kini, IKIM mahu memudahkan capaian bahan-bahan audio visual melalui Internet TV IKIM yang akan dapat dicapai dalam bentuk program televisyen di seluruh negara," katanya dalam wawancara khas dengan Mega, baru-baru ini.

Menurut Mustapha lagi, IKIM memiliki arkib video sebanyak hampir 400 tajuk seminar sejak tahun 1992.

Mengenai pengisian program Internet TV IKIM itu kelak, kata beliau, pada peringkat permulaan ini, dua saluran utama akan diperkenalkan iaitu; siaran rakaman rancangan ilmiah yang ke udara di IKIMfm seperti Dunia Ekonomi, Islam Itu Indah, Islam Agamaku dan lain-lain lagi.

Kedua, saluran Perspektif iaitu program seminar, forum, bengkel ilmiah anjuran IKIM.

Perbincangan ilmiah yang merangkumi isu Islam semasa, ekonomi, politik, syariah, undang-undang, alam sekitar, keluarga, remaja sains dan teknologi.

"Selain itu, Internet TV IKIM juga akan mempunyai saluran tambahan untuk Siaran Langsung (live streaming). Antaranya siaran slot Warna Pagi IKIMfm juga dapat ditonton oleh orang ramai.

"Begitu juga dengan seminar ataupun majlis perbincangan akademik yang berlangsung di IKIM akan disiarkan secara langsung.

"Bagi saluran Eksklusif di mana ia akan mengetengahkan rancangan yang berbentuk eksklusif dengan tayangan berbayar dan terhad. Saluran ini hanya dapat ditonton setelah penonton melanggan tiket ataupun kata laluan," jelasnya.

IKIM mensasarkan semua lapisan masyarakat daripada pemimpin kepada orang ramai, ibu bapa remaja, orang Islam dan bukan Islam sama ada di Malaysia mahupun dari seluruh dunia menjadi sasaran Internet TV IKIM.

Tambah Nik Mustapha, untuk menonton Internet TV IKIM amat mudah kerana orang ramai hanya perlu melayari www.tvikim.my.

Uniknya, Internet TV IKIM ini dapat ditonton melalui pelbagai peranti pintar (smart devices) seperti komputer riba malah turut dapat ditonton melalui tablet dan Telefon pintar (smartphone) iphone dan android.

Di samping itu dengan tag line 'Rangkaian Kefahaman Islam' menjadikan Internet TV IKIM taruhan kekuatannya yang berasaskan pengisian ilmiah.

"Yang saya nampak dan jangka kekuatan yang ada pada Internet TV IKIM ini adalah taglinenya dan kekuatan kita juga adalah pada pengisian program yang bersifat keilmuan.

"Kita di IKIM ini mempunyai tiga pusat akademik dan satu pusat perundingan dan latihan. Iaitu; Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak), Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) dan Pusat Perundingan dan Latihan (PPLI).

"Boleh dikatakan keempat-empat pusat ini menumpukan program-program berbentuk ilmu dan dalam pelbagai disiplin ilmu. Pegawai akademik dari pusat-pusat kajian ini telah merangka topik dan isu Islam yang akan disampaikan melalui penganjuran seminar, bengkel, forum, muzakarah pakar dan sebagainya," katanya.