Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL
KITA sering mendengar perkataan nasihat dan kata-kata nasihat. Menurut Kamus Dewan (2002), nasihat bermaksud ajaran, peringatan atau petunjuk yang baik. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Agama adalah nasihat."
Sesungguhnya nasihat merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ia merupakan salah satu alat yang dapat mendidik dan membina masyarakat ke arah yang lebih baik. (rujuk Ali Imran: 110).
Sehubungan dengan itu kita disarankan memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah umat yang memerlukan bantuan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud: ...Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra'd: 11)
Sebagai umat Islam kita dididik dan dilatih untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan saling menasihati bagi membina umat Islam ke arah yang terbaik.
Walaupun ada ketikanya mungkin nasihat kita tidak dapat diterima oleh orang, tetapi kita perlu menguatkan semangat untuk memberi nasihat dengan penuh keikhlasan sebagai tanda cinta kita kepada Allah SWT.
Kita mungkin bertanya kepada diri kita: "Apakah ganjaran yang diperoleh jika memberi nasihat kepada orang lain?"
Untuk itu mari kita teliti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tiga orang pertama yang masuk syurga ialah orang yang syahid, seorang yang menjaga kesucian diri dan seseorang yang menyembah Allah dengan baik dan sempurna serta menasihatkan manusia."
Dalam hidup ini mungkin kita sering menjadi orang pertama memasuki masjid, tetapi adakah kita sering menasihati orang lain.
Jika demikian, kita tidak terpilih di antara orang yang pertama masuk syurga, kerana kita tidak memberi nasihat atau peringatan kepada orang lain.
Oleh itu, kita perlu mula untuk menasihati orang lain bersesuaian dengan kemampuan kita dan janganlah pula kita berkata: "Nasihat saya tidak memberi kesan kepada sesiapa dan tidak merubah keadaan." Tetapi yakinlah bahawa usaha itu akan mengubah keadaan atau seseorang dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sesungguhnya masyarakat akan berubah apabila telah biasa mendengar nasihat.
Dalam satu peristiwa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah aku hendak berikrar janji setia bersama Islam, apakah syarat yang perlu dipenuhi?" Lalu Rasulullah bersabda: "Hendaklah memberi nasihat kepada setiap Muslim."
Umar al-Khattab pernah berkata: "Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan."
Kepada orang-orang yang enggan menerima nasihat, dengarlah firman Allah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya Dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (al-Baqarah: 206).
Islam sentiasa mengamalkan konsep nasihat menasihati dalam masyarakat dan ini telah berjalan di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, tidak hairanlah bahawa umat Islam pernah mencapai kegemilangan pada masa lalu dan kegemilangan itu perlu dikembalikan dengan kesediaan umat untuk memberi dan menerima nasihat pada masa kini dan akan datang.
No comments:
Post a Comment