Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
PENGGUNA komputer tablet BlackBerry PlayBook kini boleh menikmati pengalaman bekerja dan berhibur secara lebih lancar menerusi pengenalan sistem operasi baru peranti itu, PlayBook OS 2.0.
Penambahbaikan platform tersebut merangkumi aplikasi pelayaran web, multimedia, sokongan kepelbagaian operasi secara serentak dan perkhidmatan komunikasi lebih efisien.
Ia termasuk integrasi akaun e-mel kerja dan personal pengguna serta mesej daripada laman sosial seperti Facebook atau Twitter yang boleh capai hanya pada satu hab.
Tidak cukup dengan itu, laman web sosial para pengguna juga akan dipautkan secara bersama dengan kalendar aktiviti serta senarai kontak secara automatik untuk kemudahan capaian pada bila-bila masa.
Daripada segi produktiviti mobiliti pula, PlayBook OS 2.0 menawarkan fungsi mengedit dokumen melalui aplikasi Print To Go dan BlackBerry Balance.
Perisian tersebut turut tersedia bersama paparan papan kekunci maya yang pastinya akan membantu pengguna melaksanakan sesuatu tugas.
Untuk aplikasi BlackBerry Bridge yang menyambungkan PlayBook dan peranti telefon pintar BlackBerry menerusi Bluetooth, pengguna berpeluang mengakses e-mel, laman web dan foto dengan saiz lebih optimum.
Malah menerusi pengintegrasian itu juga, telefon BlackBerry yang disokong oleh sistem operasi OS7 boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh seperti papan kekunci dan tetikus untuk mengawal Playbook.
Akhir sekali, PlayBook OS 2.0 turut menawarkan beribu-ribu aplikasi baru dalam pelbagai kategori tersedia pada platform BlackBerry App World.
Pengguna yang ingin mengemas kini perisian BlackBerry PlayBook OS 2.0 boleh memuat turunnya secara percuma di platform yang sama.
No comments:
Post a Comment