Like Blog Ini...

Saturday, April 7, 2012

Mengarusperdanakan syariah Islam

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

SECARA etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait dengan masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.

Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan yang ditetapkan Allah, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan dirinya dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya yang Muslim dan saudara kemanusiaannya (bukan Islam) serta hubungan dirinya dengan alam semesta dan kehidupan.

Hal yang demikian dapatlah difahami apabila Allah berfirman yang bermaksud: Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat saja, tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu. (al-Maidah: 48)

Rasulullah pula pernah diriwayatkan sebagai bersabda yang bermaksud: "Umat aku selalu berada di atas syariah, selama di tengah-tengah mereka belum nampak tiga perkara iaitu selama ilmu belum dicabut daripada mereka, selama di tengah-tengah mereka belum banyak anak zina serta belum nampak di tengah-tengah mereka al shaqqaruun."

Sahabat pun bertanya: "Ya Rasulullah, apa al shaqqaruun itu?" Rasulullah menjawab: "Manusia yang ada di akhir zaman yang mana ucapan antara mereka adalah saling melaknat antara satu sama lain."

Yusof al-Qaradhawi pula menegaskan ada enam ciri syariah Islam iaitu:

1. Robbaniyah (ketuhanan) - oleh kerana ia bersifat 'ketuhanan' maka seseorang Muslim tidak mempunyai alasan untuk menolak syariah kerana seorang Muslim mesti meyakini hukum syariah yang paling adil dan sempurna.

2. Insaniyah (kemanusiaan) - syariah mengangkat martabat manusia serta memeliharanya. Ia dicipta untuk manusia dan sesuai dengan kapasiti manusia itu sendiri tanpa mengira ras, warna kulit atau status.

3. Syumuliah (komprehensif) - syariah Islam mengatur seluruh kehidupan manusia dan tidak secara terpilih dalam bidang tertentu saja.

4. Akhlaqiah (peribadi mulia) - akhlak dan moral menjadi benteng kepada keindahan syariah Islam kerana tujuan Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

5. Waqiyyah (realistik) - syariah Islam adalah benar dan realistik, tidak ketinggalan zaman, memacu kejayaan dan praktikal; dan

6. Tanasuq (keteraturan) - sifat saling lengkap melengkapi dalam syariah menjadikannya suatu sistem atau tanzim yang terbaik kerana ia tidak bertentangan antara satu sama lain.

Oleh demikian, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja.

Namun dalam pelaksanaan syariah tersebut kita perlulah teratur di dalam mengimplementasikannya kerana khuatir ia akan mendatangkan fitnah balik terhadap pelaksanaan syariah itu.

No comments: