Talasemia adalah sejenis penyakit genetik yang mengganggu pembentukan sel-sel darah merah yang normal. Pesakit talasemia menghasilkan sel darah merah yang mudah pecah atau musnah dalam darah. Kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit tersebut sering kelihatan pucat disebabkan paras hemoglobin yang rendah.
Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana dari beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan 3 hingga 5 peratus atau 1 dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga 1 juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini.
Walau bagaimanapun, talasemia merupakan satu-satunya penyakit genetik yang telah terbukti boleh dicegah dan dikawal sekiranya mendapat sokongan padu daripada masyarakat. Kunci kejayaan program pencegahan dan kawalan talasemia adalah pendidikan kesihatan yang berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.
Oleh sebab itulah, Hari Talasemia Antarabangsa akan disambut pada 8 Mei setiap tahun bagi mengukuhkan lagi aktiviti penyebaran maklumat dan pendidikan kesihatan mengenai talasemia serta menyedarkan masyarakat mengenai penyakit ini.
Objektif sambutan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang talasemia dan mengurangkan kadar kejadian kes talasemia di Malaysia. Selain itu , program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum mengenai penyakit talasemia, cara pencegahan dan pengawalannya.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan kumpulan sasar menjalani ujian talasemia. Selain itu, masyarakat umum juga bertanggungjawab untuk mencegah berlakunya diskriminasi terhadap pembawa dan pesakit talasemia. Orang ramai hendaklah sudi untuk memberi sokongan dan motivasi kepada pesakit untuk meneruskan rawatan secara berkala.
No comments:
Post a Comment