Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
Bimbingan
KETIKA hayatnya, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyimpan harta zakat walaupun hanya semalam. Baginda akan segera menghabiskan harta itu dengan diagihkan kepada mereka yang layak, iaitu para asnaf zakat, khususnya fakir dan miskin.
Dalam sebuah hadis, Ummul Mukminin Saiyidatina Aishah r.ha melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan: “Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka ia tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (riwayat Imam al-Syafie).
Akhlak nabi itu telah diteladani oleh Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq. Saat Abu Bakar wafat, dilaporkan hampir tiada lagi harta zakat yang disimpan di sebuah bilik di rumahnya, kerana semuanya sudah diagihkan kepada orang yang memerlukan.
Kemudian, apakala Saiyidina Umar al-Khattab pula menjawat jawatan khalifah, wilayah kekuasaan Islam semakin melebar. Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya seperti Hijjaz, Syria (Syam), Iran (Parsi), Mesir dan Palestin telah diterokai. Era itu dinamakan sebagai era futuhat, iaitu pembukaan negeri-negeri baharu.
Umat Islam bertambah ramai. Zakat kian meningkat. Maka, Baitulmal melimpah-ruah dengan harta. Sama ada daripada sumber jizyah, kharaj, faie, usyur, ghanimah dan pastinya ia adalah zakat.
Lalu, Umar kala itu telah menetapkan satu polisi, iaitu seluruh harta yang dimasukkan ke dalam Baitulmal hendaklah dihabiskan agihannya pada penghujung tahun.
Rupa-rupanya, apa yang telah dicorakkan oleh Rasulullah SAW dan para khulafa ur-Rasyidin itu adalah batu asas kepada kecekapan agihan zakat. Natijahnya jelas, iaitu demi memastikan setiap mereka yang berhak dan wajar dibantu diberikan haknya sesingkat waktu.
Pada masa sama, polisi itu juga mampu mengelakkan daripada risiko penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Logiknya jelas, apabila harta zakat dihabiskan segera pada setiap tahun, ia bermakna tiada peluang bagi berlakunya harta terkumpul. Harta sebegini, sering menggamit kepada ketirisan – suatu risiko yang perlu dijauhi oleh mana-mana institusi kewangan, apatah lagi yang bernuansa keislaman seperti institusi zakat.
Hari ini, elemen ketelusan amat penting. Institusi zakat bukan sekadar perlu telus, malah mesti dilihat telus.
Inilah persepsi umum yang perlu dibentuk oleh institusi zakat. Apabila persepsi itu menguasai pemikiran umat, maka mereka dengan senang hati akan menyerahkan hartanya kepada institusi zakat agar dapat diuruskan secara berkesan kepada asnaf yang lapan.
Atas dasar inilah, menurut fuqaha misalnya Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, zakat perlu dibentuk dan dilaksanakan oleh mereka yang menjadi pemerintah atau kerajaan. Ini kerana, pihak pemerintahlah wajib melaksanakan arahan zakat, iaitu memastikan semua umat Islam yang sudah cukup segala syarat wajib zakatnya mengeluarkan zakat tepat pada waktunya.
Kemudian, pihak pemerintah jugalah yang bertanggung jawab memastikan objektif zakat tercapai. Maka, pemerintah wajib memantau perjalanan organisasi zakat, bagaimanakah mereka (orang-orang yang diamanahkan) menguruskan zakat, agar ia benar-benar menepati roh zakat, tidak berlaku sebarang unsur salah guna kuasa dan insiden penyelewengan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengungkapkan: “Pelaksanaan zakat ini harus diawasi oleh penguasa, dilakukan oleh petugas yang rapi (bersistem) dan teratur, dipungut daripada orang yang wajib mengeluarkan(nya) untuk diberikan kepada orang yang berhak menerima.” (Hukum Zakat, hal. 733)
Dari sisi lain, apabila pihak pemerintah gagal memantau perjalanan organisasi yang menguruskan zakat, sehingga objektifnya tersasar, maka kala itu penguasa atau pihak pemerintah dihukumkan berdosa. (rujuk al-Hajj: 41)
Ulama tafsir Syeikh Abdullah Basmeih menyatakan, apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah, mereka yang telah diberikan kekuasaan itu (pemerintah), hendaklah melaksanakan segala hukum-hakam dan syariat Allah SWT, termasuklah memastikan urusan zakat dilaksanakan dengan sempurna. Jika mereka cuai, maka mereka termasuk dalam golongan yang mengingkari arahan Allah SWT. (rujuk at-Taubah: 103).
Imam ar-Razi dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berkata, ia adalah pertunjuk jelas bahawa hanya pihak pemerintah sahaja berhak melaksanakannya.
Ini kerana bukan sesiapa sahaja boleh mengambil harta orang lain dengan cara ‘paksa’. Pemerintah sahajalah yang mempunyai kuasa untuk melakukannya.
No comments:
Post a Comment