Like Blog Ini...

Tuesday, April 10, 2012

Canon EOS 5D Mark III : Pelengkap dunia videografi

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

BAGI pembikin filem pendek, penggunaan kamera lensa refleks tunggal (DSLR) kadang kala lebih memuaskan hati, malah kualiti gambar yang diperolehi juga amat lebih jelas dan terang tanpa memerlukan suntingan yang berlebihan.

Tambahan pula penggunaan DSLR menjadikan filem yang dirakam lebih versatil dan kreatif di samping lebih mudah untuk dikendalikan.

Kamera ikonik, EOS 5D Mark II yang dahulunya begitu terkenal dalam merakam video kini diganti dengan EOS 5D Mark III yang pastinya menawarkan kelebihan yang sama namun pada tingkat yang lebih tinggi.

Dilengkapi dengan keupayaan bingkai penuh (full frame), tumpuan utama Canon kini adalah kepada jurufoto semi-profesional dan pembikin filem persendirian.

Imej berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh EOS 5D Mark III kini dijana oleh penderia CMOS bingkai penuh setinggi 22.3 megapiksel dan selaju enam bingkai sesaat (fps).

Di tambah pula bersama pemproses imej state-of-art DIGIC 5, menjadikan EOS 5D Mark III berkeupayaan merakam imej pada kadar ISO yang lebih tinggi iaitu sehingga 25600 dan oleh ditingkatkan kepada 102400.

Malah, poin fokus automatik (AF) juga turut dipertingkatkan kepada 61 poin dan peningkatan tersebut menjadikan tugas mengesan subjek dapat dilakukan dengan lebih baik, jelas dan tepat.

Direka untuk kegunaan antara golongan jurugambar pertengahan dan profesional, EOS 5D Mark III menawarkan kualiti imej berbingkai penuh pada kadar harga mampu milik.

Bersama penderia berbingkai penuh CMOS, 36 x 24 milimeter (mm) sebagai 'jantung' kepada EOS 5D Mark III, ia mampu memberikan rakaman imej yang terbaik ditambah bersama kelebihan HD penuh bagi rakaman video.

Namun, kelebihan penderia terbaru ini bukan sahaja pada kiraan piksel, malah ketinggian sensitiviti ISO sehingga 25600 dan dipertingkatkan kepada 102400 juga turut memainkan peranan yang penting.

Penderia ini membolehkan EOS 5D Mark III berupaya mengesan cahaya dengan lebih baik sekali gus memberikan kebebasan maksimum kepada jurugambar untuk merakam imej biarpun dalam keadaan suasana yang malap.

Manakala pemproses DIGIC 5 bertindak 17 kali lebih pantas berbanding DIGIC 4 yang terdapat pada EOS 5D Mark II sebelum ini.

Malah, pemilik EOS 5D Mark III juga mampu membetulkan chromatic aberration menggunakan kelebihan pemprosesan RAW yang disediakan dalam kamera.

Bagi peminat sukan dan hidupan liar, kelajuan rakaman adalah segala-galanya, justeru penderia CMOS yang telah dinaik taraf mampu berfungsi dua kali lebih laju berbanding EOS 5D Mark II.

Paparan skrin LCD juga turut diperbaharui seluas 3.2 inci menggunakan tempered-glass 1.04 juta titik, Clear View LCD II, bersama keluasan 3:2 (aspect ratio) menjadikan tugas merakam, meneliti imej yang telah dirakam serta navigasi menu menjadi lebih mudah.

Untuk mengurangkan kesan silau ketika merakam imej ketika aktiviti luar terutamanya pada waktu siang hari, turut 'diselitkan' panel polimer elastik di antara skrin LCD dan panel pelindungnya.

EOS 5D Mark III turut dilengkapi lapisan anti cuaca menjadikannya sebuah kamera yang kalis air dan debu.

Terbaru, bagi pembikin filem, gegelang butang kawalan pantas EOS 5D Mark III juga telah dipertingkatkan dengan penderia sentuhan elektrostatik.

Penderia ini membolehkan pemiliknya menukar mahupun mengawal aturan kamera dengan lebih senyap semasa merakam video sekali gus mengelakkan bunyi yang tidak diingini seperti bunyi klik dan geseran turut dirakam bersama.

Terakhir, oleh kerana EOS 5D Mark III tidak didatangkan bersama penggenggam bateri binaan dalam, model ini turut dibekalkan bersama penggenggam bateri terbaru.

Untuk maklumat lanjut berkenaan EOS 5D Mark III juga pratempahan anda boleh layari http://eosworld.canon.com.my.

No comments: