Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
PENYAKIT jantung lazimnya dikaitkan dengan warga emas. Tetapi senarionya hari ini penyakit tersebut boleh menyerang tanpa mengira umur.
Ini dapat dilihat dari semasa ke semasa kematian mengejut di kalangan golongan muda diakibatkan serangan jantung semakin meningkat setiap tahun.
Malah, ia menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian serius oleh rakyat negara ini.
Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang dan kekurangan nutrisi boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular (CVD) dan lain-lain penyakit yang mengancam nyawa.
Penyumbang terbesar CVD adalah penyakit jantung koronari (CHD), di mana berlakunya penebalan kolesterol serta bahan berserat yang dikenali sebagai plak di sepanjang dinding arteri.
Ini menyebabkan arteri tersumbat dan akhirnya mengehadkan aliran oksigen dan darah ke jantung serta otak anda.
Dalam kes-kes di mana jantung tiba-tiba menerima aliran darah yang tidak mencukupi, kesakitan pada dada serta serangan jantung yang lebih serius boleh berlaku.
Dewasa ini terdapat rawatan berkesan untuk serangan penyakit jantung di mana ia dilihat seiring dengan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan.
Penerokaan teknologi, teknik dan cara baru untuk mencari penawar kepada pembunuh nombor satu penduduk dunia ini sentiasa menarik perhatian ramai terutama para saintis.
Penemuan teknologi belon angioplasti koronori yang pertama kali dilakukan ke atas manusia pada tahun 1977 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) dikatakan pesaing kepada kaedah pintasan jantung.
Pada tahun 1987 dan 2001, kaedah belon angioplasti menerima penambahbaikan apabila sejenis implan stent atau dawai kasa yang membawa sejenis ubat turut disertakan.
Seterusnya pada Mei 2002, stent bebaskan ubat (DES) telah diperkenalkan dan ia mula digunakan secara komersial di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Yang terkini ialah stent dengan gabungan teknologi kejuruteraan biologi (BES) dan stent bebaskan ubat (DES) diperkenalkan.
Walaupun belum berada di pasaran, tetapi ia dikatakan lebih berkesan dan dikenali sebagai stent terapi berganda (DTS).
Hasil gabungan tersebut ia dilihat mampu mempercepatkan proses pemulihan selepas dimasukkan belon dan merendahkan kebarangkalian darah tersumbat selepas rawatan.
Menurut Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yap Yee Guan, rawatan DTS menggunakan teknologi lapisan antibodi di permukaan darah dan lapisan ubat bagi melindungi dinding arteri dan ia mengurangkan berlakunya penyempitan pada arteri koronari.
Bagaimanapun, jelas beliau, masyarakat masih kurang maklum tentang pelbagai jenis stent dalam rawatan angioplasti yang lebih berkesan berbanding rawatan lain.
Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan penyakit jantung atau serangan jantung hanya terjadi kepada golongan yang sudah berumur.
"Pertama sekali saya ingin tegaskan di sini bahawa serangan jantung atau penyakit jantung boleh menyerang sesiapa sahaja kerana penebalan kolesterol serta bahan berserat yang dikenali sebagai plak di sepanjang dinding arteri telah bermula sebaik sahaja kita dilahirkan.
"Selain itu saya juga ingin menyatakan bahawa terdapat pelbagai jenis stent yang boleh digunakan bagi rawatan angioplasti dan setiap daripadanya ada kebaikan dan keburukan dan ia bergantung kepada masalah yang dihidapi pesakit.
"Bagaimanapun pesakit disyorkan berunding terlebih dahulu dengan pakar kardiologi bagi memastikan jenis stent yang sesuai digunakan kerana setiap pesakit adalah berbeza," ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan teknologi terbaru untuk rawatan CDH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, berdasarkan kajian yang dijalankan OrbusNeich, DTS ternyata lebih berkesan dari segi proses pemulihan secara menyeluruh dalam tempoh sembilan bulan.
Menurut Dr. Yee Guan lagi, dengan teknologi terbaru tersebut, ia juga mengurangkan risiko pesakit mendapat trombosis berbanding penggunaan stent yang lain.
Sudah pasti setiap pembaharuan yang dilakukan tentu mempunyai kelebihannya jika hendak dibandingkan dengan yang terdahulu.
Untuk pengetahuan bersama, apa jua jenis stent yang digunakan adalah merupakan segulung wayar halus yang diselaputi ubat atau belon yang dimasukkan ke dalam salur darah pesakit supaya saluran darah terbuka luas bagi membolehkan darah membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung.
Penggunaan stent ini juga terbukti berkesan menurunkan kadar restenosis (pengecilan kembali arteri) dan keperluan untuk rawatan lanjut, di mana ubat yang digunakan itu adalah ubat yang berkesan supaya ia menahan sel ketumbuhan yang tidak meluru yang boleh menyebabkan kesempitan terjadi semula.
Stent yang digunakan dimasukkan ke dalam saluran darah dan ia akan kekal di dalamnya cuma apabila ada kewajaran baru dicabut keluar.
Penemuan terbaru ini boleh dikatakan sesuatu yang baik dalam bidang perubatan hari ini kerana data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2011, bilangan kematian akibat CHD di Malaysia mencapai sehingga 22,701 orang atau 22.18 peratus daripada jumlah keseluruhan.
No comments:
Post a Comment