Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

Mencari noktah masalah sosial remaja

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya daripada manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6)

Peringatan demi peringatan telah diturun oleh Allah SWT agar kita sentiasa menjaga dan menjauhkan diri daripada segala perkara-perkara mungkar yang ditegah.

Namun di sebalik kecanggihan teknologi dan kemodenan dunia kini, kita masih lagi tidak terlepas daripada cengkaman masalah sosial terutamanya yang melibatkan golongan muda.

Saban hari ada sahaja ceritera kurang enak yang didengari mengenai salah laku remaja. Seolah-olah menunjukkan permasalahan tersebut bagai tiada berpenghujung.

Buang anak, lari dari rumah, penagihan dadah, seks bebas, seks songsang, derhaka kepada ibu bapa, gangsterisme dan ponteng sekolah sering menjadi tajuk-tajuk dalam laporan media.

Walaupun sering diperkatakan, isu gejala sosialmasih juga tidak berkesudahan. Segala usaha yang diambil seolah-olah mencurah air ke daun keladi apabila isu ini dilihat semakin meruncing.

Sedar akan peranan tanggungjawab sosial yang perlu dimainkan dalam membantu menangani isu yang sudah dianggap sebagai barah dalam masyarakat ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan Diskusi Isu Sosial Semasa bertajuk Belia Muda dan Barah Sosial: Di Mana Akhirnya? yang diadakan di Pusat Pembangunan Belia Islam, ABIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diskusi yang merupakan siri ketiga dianjurkan itu bertujuan membincangkan peranan, punca dan langkah yang perlu diambil bagi menyelamatkan generasi muda hari ini daripada terus dibelenggu masalah sosial.

Menampilkan tiga ahli panel yang terdiri daripada Profesor di Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Turiman Suandi; Pegawai Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Fairuz Che Adnan dan Ketua Unit Tindakan Khas, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shahrom Maarof.

Melalui diskusi itu, Turiman menyatakan, individu yang terlibat dengan gejala sosial harus dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan yang dilakukan.

"Apa pun yang berlaku adalah bermula daripada diri sendiri kerana pilihan dibuat oleh kita dan bukan menuding jari meletakan kesalahan kepada pihak lain.

"Kerapuhan jati diri dan pertimbangan yang lemah adalah pendorong utama kepada seseorang individu untuk memilih jalan yang salah seterusnya terjebak dengan gejala sosial ini," katanya.

Bagaimanapun, menurut Turiman, beliau tidak menolak wujudnya pelbagai faktor-faktor sampingan yang menarik golongan belia untuk mencuba perkara-perkara yang menyalahi norma kehidupan.

Jelasnya, ibu bapa, guru, rakan sebaya, tahap pendidikan, ekonomi, masyarakat dan penguatkuasaan lemah merupakan ejen pendorong yang menarik para remaja terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang membimbangkan kini.

"Ibu bapa adalah insan yang paling hampir dengan remaja-remaja ini, jadi sepatutnya segala petunjuk awal yang mencerminkan remaja mula terjebak dengan masalah sosial dapat dihidu mereka.

"Ibu bapa sibuk dengan urusan masing-masing sehingga anak-anak mencari teman di luar. Akhirnya, menyebabkan mereka terpengaruh dengan pelbagai anasir-anasir negatif yang sememangnya sudah menunggu.

"Selain itu, ibu bapa juga gagal untuk memperkasakan institusi kekeluargaan dan menjadikan rumah sebagai tempat paling menarik untuk remaja menghabiskan masa," katanya.

Selain itu, tambah Turiman, masyarakat termasuk para guru harus memainkan peranan dalam membantu mengekang masalah sosial yang dihadapi remaja kini dan bukannya membuat persepsi negatif. Golongan ini seharusnya bersama-sama membantu menarik individu terlibat untuk kembali ke pangkal jalan.

"Sikap guru yang lebih menumpukan perhatian kepada pelajar cemerlang juga tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan membuatkan pelajar yang lemah semakin rasa tersisih.

"Sepatutnya perhatian harus diberikan kepada pelajar yang lemah dan bermasalah kerana guru adalah pengganti ibu bapa di sekolah," jelasnya.

No comments: