Like Blog Ini...

Tuesday, April 10, 2012

Nikon D4 canggih

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

CANGGIH!" Itu merupakan antara perkataan pertama dinyatakan oleh Editor Foto Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Abdul Kadir Bachok apabila menerima kamera terbaru, Nikon D4 baru-baru ini.

Penerimaan dua set kamera itu juga mencatatkan bahawa Utusan merupakan media pertama yang menerima Nikon D4 di negara ini.

Menurut Abdul Kadir, seiring dengan perkembangan dunia fotografi digital yang semakin canggih, Utusan turut tidak ketinggalan memiliki Nikon D4 bagi memantapkan perjalanan tugasan jurufoto.

"Kami telah melaksanakan ujian ketahanan terhadap kamera ini dan ternyata ia melepasi setiap ujian terutamanya ujian kelasakan.

"Hal ini kerana, sebagai jurugambar, kamera akan digunakan sehingga ke tahap maksimum pada setiap hari, justeru ketahanan sesebuah kamera itu amat dititik beratkan," ujarnya.

Beliau ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sempena penghantaran dua unit kamera Nikon D4 oleh wakil Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Jelas Abdul Kadir, di samping memiliki ketahanan tinggi, Nikon D4 juga memiliki beberapa kelebihan yang mana mampu memudahkan peranan jurufoto.

Antaranya, proses penghantaran gambar kini boleh dilakukan secara terus menerusi kamera di lokasi menggunakan peranti khas yang dikenali sebagai WT-5.

Malah petugas yang berada di pejabat juga boleh terus memilih gambar yang telah dirakam menerusi kamera tersebut biarpun jurufoto yang berada di lokasi tidak sempat menghantarnya.

Menurut Pengurus Kanan Bahagian Perkhidmatan Profesional, Pemasaran Produk Pengguna Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., Mahfooz NR , D4 yang menggunakan format Nikon FX merupakan kamera tercanggih dan terkini di dunia.

Kamera baharu berkenaan menggunakan enjin pemprosesan imej terbaharu Expeed 3 yang sesuai untuk kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).

Beliau berkata, D4 mempunyai pelbagai fungsi dan aplikasi baharu yang ditambah hasil maklum balas daripada pengguna profesional dan amatur Nikon.

Selain menawarkan kemudahan penghantaran, Nikon D4 juga mampu meningkatkan kualiti imej, lebih pantas iaitu 11 bingkai sesaat (fps).

Kelajuan rakaman tersebut juga merupakan antara kelebihan bagi jurufoto yang bertugas untuk merakam aksi sukan.

Malah tambah Mahfooz NR, Nikon D4 juga mampu merakam imej dengan baik biarpun berada di dalam keadaan yang kurang cahaya hal demikian amat membantu jurufoto dalam melaksanakan tugasan mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Jabatan Pemasaran Produk Pengguna, Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., David Ng Choon Yiak berkata, kerjasama yang erat antara Utusan dan Nikon sebelum ini merupakan faktor utama media tersebut di pilih sebagai penerima pertama Nion D4.

"Nikon juga akan terus mempertingkatkan hubungan erat ini dari masa ke sesama bagi memastikan Utusan sebagai pelanggan menerima perkhidmatan yang memuaskan daripada pihak kami," katanya.

No comments: