Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

Cacing Filaria Utama : Wuchereria bancrofti & Brugia malayi

SPESIES PARASIT FILARIA UTAMA

Wuchereria bancrofti

Cacing filaria daripada spesies Wuchereria bancrofti ini ditemui oleh Cobbold pada tahun 1887 dan merupakan cacing filaria utama yang menyebabkan penyakit Limfatik Filariasis di Malaysia. Jangkitan cacing Filaria Wuchereria bancrofti boleh menyebabkan penyakit Filariasis Bancrofti dan Elefantiasis.

Parasit ini terdapat di kawasan Asia iaitu di China, India, Jepun, Korea, Asia Tenggara, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Kepulauan Pasifik, Fiji, Samoa, New Guinea, Polynesia, Tahiti, dan Amerika Selatan. Walaupun pada masa sekarang, jangkitan cacing filaria ini semakin berkurangan, akan tetapi ia masih berpotensi untuk menyebabkan penyakit Filariasis di Malaysia.

Seperti cacing filaria yang lain, cacing dewasa W. bancrofti hidup di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Mikrofilaria yang bersarung terdapat di dalam darah. Dari segi morfologi, cacing dewasa betina berukuran 50 - 65 x 0.16 mm dengan ekor yang sedikit melengkung dan hujungnya tajam. Bagi cacing dewasa jantan pula, ia berukuran 23 - 40 x 0.1 mm. Ekornya melengkung dengan tajam dan mempunyai dua spikul.

Bagi peringkat mikrofilaria, cacing filari berukuran 275 - 300 x 8 - 10 mikrometer, bersarung dan memiliki lingkaran badan licin yang tidak berbelit-belit. Nukleus pada badannya kasar dan tidak bertindih, manakala bahagian posterior tidak mengandungi nukleus.

Kebanyakan kes jangkitan menyebabkan jangkitan filariasis yang teruk. Akan tetapi, filariasis boleh dikawal dengan merawat semua pembawa mikrofilaria di kawasan endemik dan mengawal nyamuk vektor.

Walaupun penyakit Elefantiasis sering dikaitkan dengan cacing daripada spesies Brugia malayi, tetapi cacing W. bancrofti masih boleh menyebabkan penyakit ini. Jangkitan limfatik filariasis akan menyebabkan inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya, limfadema, dan limfuria.


Brugia malayi

Cacing filaria daripada spesies Brugia malayi juga sering ditemui di Malaysia. Cacing ini ditemui oleh Brug pada tahun 1927. Cacing daripada kelas nematod darah ini boleh menyebabkan penyakit Filariasis Malaya dan Elefantiasis. Walau bagaimanapun, parasit ini selalunya lebih dikaitkan dengan penyakit Elefantiasis.

Dari segi kawasan jangkitan, cacing Brugia malayi banyak terdapat di Asia seperti di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kampuchea, Laos, Jepun, India, Sri Lanka, Filipina, dan China Selatan.

Seperti cacing daripada spesies Wuchereria bancrofti, cacing ini juga merupakan parasit yang terdapat di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Bagi peringkat mikrofilaria pula, cacing ini menghuni saluran darah manusia.

Dari segi morfologi, cacing filaria pada peringkat mikrofilaria(peringkat diagnostik) memiliki nukleus kasar dan bertindih-tindih antara satu sama lain. Selalunya, cacing mikrofilaria berada di dalam sarung yang dicelup dengan warna merah jambu terang dalam pencelupan Giemsa.

Selalunya, jangkitan filaria dikesan pada pesakit dengan melalui penemuan mikrofilaria di dalam darah atau di dalam cecair tisu lain. Simptom penyakit filariasis seperti inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya dan lain-lain selalunya berlaku dengan cepat terutamanya pada kanak-kanak.

No comments: