Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

Khusyuk dalam solat

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

MAKHLUK dicipta untuk menyembah Maha Pencipta. Ini dapat dibuktikan dengan merujuk surah adz-Dzaariyaat ayat 56 yang bermaksud: Dan tidaklah Kami ciptakan jin dan manusia. Kecuali untuk menyembah-Ku.

Antara cara menyembah Allah ialah melalui solat sama ada solat fardu atau solat sunat.

Persoalannya apakah dengan melaksanakan rukun dan apa yang disunatkan dalam solat, maka sembahyang kita sudah cukup bagus, sempurna dan berkualiti?

Bagaimana dengan surah al-Mukmin ayat 1 dan 2 yang bermaksud: Beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu yang khusyuk dalam solat.

Bila Allah SWT mengkategorikan orang yang khusyuk dalam solat beruntung, maka dengan sendirinya yang solat tanpa khusyuk tentulah tidak mendapat untung.

Ini bermakna setiap di antara kita bukan sahaja kena solat tetapi juga kena khusyuk dan perlu berusaha untuk memperoleh kekhusyukan.

Pun begitu, untuk mendapat khusyuk dalam solat bukan seperkara yang mudah. Kecuali mereka yang melaksanakan ibadat sembahyang semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana tradisi atau rasa malu di mata orang ataupun atas sebab dan alasan-alasan lain.

Masalah tidak khusyuk dalam solat ini bukan perkara baru. Sebaik sahaja mengangkat takbir, maka pelbagai bisikan akan berlaku dan pelbagai gambaran akan bermain di ruang mata kita.

Ada cerita mengatakan bila terlupa tempat meletak sesuatu barang, maka bila segera bersolat, dengan mudah bukan sahaja dapat diingat tetapi akan tertayang tempat barang itu diletakkan.

Tidak khusyuk dalam solat boleh menyumbang kepada seseorang yang mengenepikan solat sebagaimana kata Huzaifah bin Al-Yaman r.a.: "Masalah yang pertama sekali hilang daripada agama kalian adalah sikap khusyuk. Sementara masalah yang terakhir sekali hilang daripada agama kalian adalah solat. Sesungguhnya tidak ada kebaikan dan sangat menyedihkan ketika sebuah jemaah masuk ke masjid tetapi tidak ada yang bersifat khusyuk."

No comments: