Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

Bersyukur Allah buka pintu hati

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

HASRAT hati untuk pergi bersiar-siar dan membeli belah di pekan Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, ternyata merupakan detik paling manis dalam kehidupan Osmera Bachik, 57, dan isterinya Wina Busu, 44.

Apa tidaknya, niat yang pada mulanya untuk pergi bekerja sebagai pekebun terpaksa ditangguhkan pada hari itu kerana terpaksa mengikuti isteri ke pekan bagi membeli barang keperluan rumah.

Dia yang pada mulanya menolak, akhirnya tergerak hati untuk pergi setelah dipujuk oleh isteri dan dengan niat sudah lama tidak keluar bersiar-siar.

Siapa sangka, perbuatan rela dalam paksa itu menjadi sejarah yang sukar dilupakan dalam hidupnya apabila dia dan isterinya telah ditemukan Allah SWT dengan sinar agama Islam.

Setelah lebih 50 tahun penduduk Kampung Orang Asli Leryar Fasa 11 itu hidup tanpa pegangan agama dan kepercayaan yang benar, Osmera sangat bersyukur dibuka pintu hatinya untuk meninggalkan kepercayaan tradisi dan keluar daripada kegelapan.

"Pada mulanya saya menolak ajakan isteri untuk pergi ke pekan membeli barang keperluan rumah. Selalunya, dia akan pergi seorang diri atau ditemani jiran dan anak-anak.

"Entah kenapa, hati saya tergerak mengikut isteri setelah diajak berulang kali. Sepatutnya, pada hari itu saya perlu pergi kerja, menguruskan tanaman kebun yang terletak tidak jauh dari rumah," katanya ketika ditemui Mega di Kampung Orang Asli Leryar Fasa 11, baru-baru ini.

Namun, dengan izin daripada Allah SWT, semasa bersiar-siar dan membeli belah, Osmera lalu berhampiran sebuah masjid dan secara kebetulan mendengar laungan Azan.

"Seperti ada sesuatu perasaan yang sangat berbeza dalam diri saya, yang belum pernah saya rasai apabila mendengar laungan takbir azan di sebuah masjid berhampiran Tanah Rata itu.

"Lalu saya dan isteri seperti terpanggil untuk mengetahui apakah suara itu. Saya dan isteri menuju ke masjid itu lalu berjumpa dengan seorang jemaah di dalam masjid itu.

"Apabila ditanya, barulah saya tahu, suara itu adalah laungan azan yang mengajak penganut agama Islam untuk menunaikan solat secara berjemaah beramai-ramai," jelasnya.

Osmera dan isteri terus mengambil keputusan memeluk agama Islam selepas tertarik dengan keindahannya yang menggalakkan umatnya berkumpul dan melakukan ibadah bersama.

"Saya dinasihati oleh orang tersebut supaya pergi ke jabatan agama Islam berhampiran jika ingin mengetahui mengenai Islam dengan lebih terperinci.

"Saya pun mengajak isteri pergi ke jabatan agama Islam. Di situlah saya mempelajari Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah untuk pertama kalinya," ujarnya.

Walaupun sudah berumur dan baru mengenal Islam, Osmera cuba untuk mempelajari dan melakukan segala amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Osmera giat pergi ke kelas pengajian agama, mendengar kuliah dan bercampur dengan jemaah masjid untuk mempelajari dan menguasai ajaran Islam.

No comments: