Like Blog Ini...

Tuesday, April 10, 2012

Erascan kejayaan Mimos

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

MIMOS Berhad baru-baru ini menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima anugerah Red Dot Design Award 2011 dalam katogeri Konsep Rekaan.

Anugerah tersebut merupakan kemenangan kali kedua berturut-turut yang diterima oleh agensi tersebut sejak tahun 2010.

Agensi itu dipilih menerima anugerah tersebut berdasarkan konsep rekaan Erascan yang dihasilkan oleh Kumpulan Rekaan Industri Mimos iaitu Saharudin Busri, Mohd. Nizam Najmuddin, Nuzairi Yasin, Mohd. Rohaizam Tahar dan Nazjimee Amat.

Menurut Presiden MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah, pihaknya berbangga dengan pencapaian tersebut yang mana akan mendorong agensi tersebut berusaha lebih keras dalam menghasilkan reka bentuk, penyelidikan dan pembanguan (R&D).

"Ini merupakan anugerah reka bentuk terbesar di dunia. Malah juri bagi pertandingan tersebut juga merupakan panel yang terdiri daripada pakar reka bentuk terkemuka dunia," katanya pada majlis penyampaian anugerah kepada pemenang terbabit baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Anugerah Red Hot Design, Prof. Dr. Peter Zec dan Presiden Anugerah Red Dot Asia, Ken Koo C.K.

Sebanyak 3,536 produk dari 54 negara telah diperiksa dan 252 konsep terpilih menerima anugerah tersebut.

Jelas Abdul Wahab, sebelum itu, produk yang direka telah dipamerkan di muzium Red Dot Design di Singapura.

Ia bertujuan memberi gambaran atau orientasi kepada usahawan, golongan pereka profesional dan pengguna untuk meneliti siapakah yang memiliki rekaan terbaik.

Bercerita mengenai Erascan yang telah dicipta oleh Kumpulan Industri MIMOS, Abdul Wahab berkata, ia merupakan sebuah peranti khas yang menggabungkan pemadam papan putih bersama pengimbas digital.

Ia berfungsi sebagai pengimbas lakaran, tulisan atau lukisan pada papan putih sebelum lakaran tersebut dipadamkan dan menukarkan maklumat tersebut kepada imej digital.

Peranti ini mampu mengesan tulisan tangan, alamat emel dan laman web, malah mampu mengesan kedudukan serta mengesan laluan asal semasa mengimbas.

Erascan juga mampu menyimpan semua data yang diimbas terus ke dalam sistem simpanan dalamannya dan boleh dipindahkan ke komputer menerusi emel menggunakan wayarles.

Ia juga merupakan alternatif yang murah dan ringkas berbanding papan putih digital yang terdapat kini.

Rekaan tersebut mengandungi skrin paparan kristal cecair (LCD) yang digunakan untuk memaparkan maklumat yang diimbas semasa proses imbasan dilakukan.

Ia juga memaparkan aturan mudah yang membolehkan pengguna memilih aplikasi lain yang terdapat pada rekaan tersebut.

Malah, butang kawalan navigasi turut disediakan dan terletak pada bahagian bawah skrin LCD tersebut.

Manakala huruf 'e' dan cahaya berbentuk paip di sekeliling peranti tersebut menunjukkan Erascan berada di dalam mod kuasa.

Rekaan ini amat sesuai untuk kegunaan pelajar sekolah dan juga kolej di mana ia mampu menyimpan nota serta lakaran penting.

Ia juga boleh digunakan di rumah untuk kanak-kanak yang gemar meluahkan kreativiti menerusi papan putih di mana ia mampu menyimpan idea, lakaran serta lukisan dalam bentuk digital dan boleh ditonton pada masa akan datang.

No comments: