Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

SMIAH lahirkan generasi huffaz

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SETIAP tahun beribu-ribu permohonan diterima tetapi sayangnya tidak ramai yang diterima masuk. Inilah fenomena sekarang apabila ramai bercakap mengenai 'persaingan' kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah menengah agama sama ada yang ditadbir oleh kerajaan Persekutuan (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama-SMKA) mahupun kerajaan negeri.

Menyedari sekolah menengah aliran agama mampu memberikan lebih daripada sekadar ilmu dunia, ibu bapa hari ini berlumba-lumba menghantar anak mereka ke sekolah aliran tersebut.

Ditambah pula dengan usaha oleh kerajaan negeri menubuhkan sekolah-sekolah menengah agama berprestij tinggi dan bestari sehingga berteraskan hafazan al Quran bagi melahirkan hafiz dan hafizah.

Untuk memasukinya, bukan sahaja sekadar lepasan Tahun 6 yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi juga perlu ada keputusan Mumtaz dalam Ujian Penilaian Sekolah Agama (PSRA).

Tetapi sayangnya, atas nama persaingan, ramai yang menjeruk rasa apabila permohonan mereka terpaksa ditolak.

Bukan kerana mereka tidak layak, tetapi tempat yang ditawarkan terhad. Hanya yang terbaik sahaja diterima iaitu jika PSRA mestilah mempunyai markah keseluruhan 98 - 100 peratus (sering dipanggil sebagai Mumtaz Gemuk) sahaja yang dapat diterima.

Sedangkan, ramai yang memperoleh 90-98 peratus, yang dikira juga sangat cemerlang. Tetapi kebanyakan mereka gagal untuk memasuki sekolah-sekolah menengah agama berprestij tinggi ini.

Maka kegagalan di kalangan yang cemerlang seperti itulah yang menjadi sebab utama kepada seorang bekas pendidik yang berpengalaman 23 tahun dalam dunia pendidikan tekad menubuhkan Sekolah Menengah Islam al Haj (SMIAH) di Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor.

Bekas pendidik yang dimaksudkan ialah Zaujun Nor Sulaiman, 45, dengan jawatan terakhirnya sebagai Guru Besar di Kafa Integrasi, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor telah menubuhkan SMIAH pada tahun 2010 sebagai alternatif untuk para pelajar meneruskan pendidikan menengah aliran agama dengan menguasai akademik dan menghafaz al-Quran atau lebih dikenali sebagai sistem integrasi.

"Saya mengalu-alukan kemasukan pelajar yang terlepas peluang di peringkat sekolah kerajaan. Di SMIAH inilah mereka boleh meneruskan pelajaran mengikut minat, terutamanya untuk mendalami pengajian al-Quran dan hafazan itu sendiri.

"Ini kerana pada akhirnya mereka juga turut mampu bersaing dengan para pelajar di luar sana.

"Malah SMIAH turut bercadang membiayai pengajian para pelajar sekolah ini yang berjaya menyambung pelajar di Asia Barat terutama Jordan dan Mesir, sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana institusi pendidikan swasta dan kerajaan sebelum ini," katanya.

Malah dikatakan SMIAH turut menerima mereka yang tidak memperoleh pangkat A sepenuhnya (5A atau 4A) di peringkat UPSR tetapi mempunyai minat yang tinggi dalam hafazan al-Quran.

"Tidak menjadi masalah untuk kami menerima pelajar yang seperti ini kerana sangat menghargai mereka yang berhajat untuk menghafaz al-Quran. Mereka tidak ubahnya seperti tetamu istimewa yang mesti dijaga dan dilayan dengan baik apabila berada di SMIAH ini," kata Zaujun.

Bukan calang-calang remaja yang menaruh minat untuk menghafaz al-Quran, namun yang sebenarnya bagi Zaujun, teknik dan kemahiran menghafaz kitab suci itu sebenarnya menjadi rahsia untuk berjaya dalam akademik juga.

"Menghafaz al-Quran ini tidak bertujuan untuk memaksimumkan penggunaan atau meletihkan otak tetapi bagaimana kita dapat eksploitasi dan menguasai fungsi-fungsi otak bagi kita memperoleh pelbagai lagi kelebihan malah bersifat luar biasa jika kita tahu bagaimana caranya.

"Maka usaha-usaha untuk menghafaz al-Quran akan menjadi lebih mudah dan begitu juga untuk menguasai bidang-bidang akademik yang lain. Insya-Allah, dengan teknik dan kemahiran menghafaz sangat membantu dalam menghadapi apa juga persoalan lain yang lebih rumit," katanya.

Sehingga kini, SMIAH mempunyai 60 pelajar yang mengikuti pendidikan menengah dalam suasana yang sangat kondusif dengan penekanan diberikan kepada suasana kekeluargaan yang erat.

Sehinggakan Zaujun sendiri dipanggil mama oleh para pelajarnya dan begitu juga para petugas sekolah yang lain mesra dipanggil 'mama' dan 'abah'.

Dikatakan kondusif apabila setiap kelas hanya terhad kepada 20 pelajar. Malah, ada yang kurang daripada itu dalam kelas-kelas yang lengkap dengan sistem pendingin hawa bagi memberikan suasana selesa kepada pelajar terutama lelaki yang segak berkemeja dan memakai rompi (vest).

"Saya sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan para pelajar selesa untuk belajar dan menghafaz al-Quran. Walaupun dunia mereka di sini merupakan lot-lot kedai yang disewakan kepada SMIAH tetapi saya pastikan setiap kelas lengkap berhawa dingin untuk mudah mereka menghafaz al-Quran pada sesi pagi dan sesi petang," kata Zaujun.

SMIAH akan mengadakan Karnival dan acara makan malam untuk jualan meja bagi mengumpulkan dana, justeru mereka berharap kepada penyertaan orang ramai bagi menjayakan kedua-dua acara ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi SMIAH di talian 03-60343321 atau 017-2695186 dan 017-6640659.

No comments: