Like Blog Ini...

Tuesday, April 3, 2012

LZS bantu mangsa banjir

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

SEDAR akan kewajipan membantu, meringan dan memperkasakan ummah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukan RM664,200 untuk diagihkan kepada 2,214 keluarga yang terjejas teruk akibat bencana banjir kilat di kawasan Hulu Langat dan Ampang, Selangor.

Bagi melicinkan pengagihan wang berkenaan, tujuh program telah dijalankan oleh LZS dalam memastikan setiap mangsa menerima bantuan berkenaan dan yang terakhir telah diadakan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, kesemua mangsa yang terjejas akibat bencana itu tergolong di bawah peruntukkan fisabilillah dan layak untuk mendapat bantuan zakat.

Katanya, melalui bantuan yang disalurkan, setiap keluarga akan menerima sumbangan sebanyak RM300 bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana yang berlaku.

"Program kali ini adalah yang ketujuh dan terakhir untuk fasa pertama dan kita akan mulakan fasa kedua selepas ini.

"Sepanjang fasa pertama ini bantuan telah diagihkan kepada enam penduduk di kawasan yang terjejas iaitu di Kampung Melayu dan Lembah Jaya di Ampang manakala Dusun Tua, Batu 14, Kampung Jawa dan Kampung Sungai Serai di Hulu Langat yang melibatkan agihan kepada 1,297 keluarga.

"Namun agihan yang dilakukan terakhir ini adalah yang terbesar dengan melibatkan sebanyak 917 keluarga yang terjejas," katanya kepada Mega, Utusan Malaysia ketika ditemui pada program agihan bantuan berkenaan di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini.

Menyentuh berkenaan dengan fasa kedua agihan, Mohamed Izam memberitahu, agihan tersebut adalah untuk mereka yang tercicir dan belum menerima bantuan.

"LZS akan memastikan bahawa tiada mangsa yang tercicir, justeru kita minta sekiranya ada mangsa yang belum menerima bantuan agar segera berhubung dengan ketua kampung masing-masing.

"Selepas itu, Ketua Kampung haruslah menyerahkan senarai nama penduduk yang tercicir kepada LZS agar bantuan dapat disalurkan dengan segera.

"Kita akan cuba sedaya-upaya untuk menyelesaikan agihan bantuan ini secepat mungkin," jelasnya.

Bercerita mengenai bantuan yang diberikan, Mohamed Izam berharap, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesengsaraan yang dihadapi mangsa.

"Kita doakan agar kawasan ini tidak lagi dilanda banjir teruk selepas ini dan mangsa yang terlibat dapat kembali meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.

"LZS akan terus berusaha untuk memastikan agihan zakat ini disalurkan kepada mereka yang layak dan menyediakan peruntukan untuk membantu mereka yang ditimpa musibah seperti banjir teruk ini," jelasnya.

No comments: