Oleh Muin Abdul Majid
DUBAI, 8 Mei (Bernama) -- Industri hospitaliti di Malaysia sedang melakukan persiapan khas bagi menyambut ketibaan pelancong Arab di samping beberapa negara lain dari seluruh dunia dalam bulan Ramadan tahun ini yang jatuh pada kemuncak musim percutian dan pelancongan di Timur Tengah.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia Azizan Noordin berkata mereka akan dapat menjalani ibadah puasa ketika bercuti di Malaysia seolah-olah sedang berada di tanah air sendiri.
Ketika mengulas kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan aliran pelancong dari rantau ini berkurangan dalam bulan Ramadan yang bermula pada penghujung Ogos, beliau berkata banyak hotel di Malaysia akan menawarkan juadah berbuka dan bersahur terdiri daripada sajian enak Timur Tengah khusus untuk tetamu mereka yang beragama Islam.
Mereka boleh mengerjakan solat "tarawih" di mana-mana jua masjid di Malaysia, sambil menambah Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan agensi agama Islam di Malaysia untuk membawa lebih ramai imam dari Timur Tengah bagi mengimamkan solat itu dan memberikan ceramah agama.
Bercakap kepada Bernama di luar pameran pelancongan Arabian Travel Market (ATM) 2009 di sini, Azizan berkata aktiviti membeli-belah dan jualan mega yang begitu popular di Malaysia juga amat bersesuaian untuk pelancong membuat persediaan bagi menyambut kedatangan Aidilfitri yang menandakan berakhirnya Ramadan.
Percutian musim panas di rantau ini biasanya bermula sekitar pertengahan Jun dan mungkin berlarutan sehingga minggu pertama September.
Azizan berkata persediaan khas untuk Ramadan juga tidak terhad kepada pengunjung dari Timur Tengah sahaja memandangkan pelancong dari pasaran lain seperti Brunei, Singapura, selatan Thailand dan China mungkin memilih untuk merasai pengalaman bulan puasa di sebuah negara Islam seperti Malaysia.
Berdasarkan maklum balas, beliau berkata pasangan muda Arab yang anak mereka belum bersekolah mungkin memilih untuk ke Malaysia seawal penghujung Mei dan kembali ke tanah air mereka sebelum bermulanya Ramadan.
Mereka yang mempunyai anak mungkin memilih untuk mengunjungi Malaysia sekitar 15 Jun selepas keputusan peperiksaan kebangsaan dan pulang sebelum bulan puasa.
"Bagaimanapun mereka mungkin tinggal lebih lama berikutan pilihan yang terhad. Jika mereka ke Eropah, siang lebih panjang, sebagai contoh. Jadi Malaysia menjadi tempat terbaik kerana ia sebuah negara Islam di mana umat Islam boleh melakukan ibadah di bulan Ramadan seperti yang sepatutnya," katanya Azizan.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib ditubuhkan bagi meneliti cara untuk pelancong mengisi masa mereka semasa bulan puasa.
Sambil menarik perhatian bahawa pelancong Arab mungkin bercuti ke tempat seperti Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka semasa Ramadan, Azizan menasihati agensi terbabit supaya melakukan apa jua yang difikirkan perlu bagi memastikan mereka menikmati percutian mereka di sini.
Kementerian, katanya akan turut membenarkan pelajar yang fasih berbahasa Arab untuk mendaftar sebagai pemandu pelancong sambilan demi manfaat pelancong dari Timur Tengah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Ngiam Foon berkata Tourism Malaysia, pengusaha hotel dan peneraju industri yang lain melakukan perkara yang betul dalam mengetengahkan hakikat bahawa Malaysia memiliki semua kemudahan bagi membolehkan umat Islam dari seluruh dunia menjalani ibadah semasa Ramadan.
"Ini merupakan musim pertama kami berdepan pengalaman percutian musim panas di bulan Ramadan. Harap-harap ia membawa hasil yang baik dan membolehkan kami melakukan penambahbaikan, kerana Ramadan juga dijangka jatuh pada musim percutian dan pelancongan di Timur Tengah bagi beberapa tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment