Like Blog Ini...

Sunday, May 10, 2009

Zakat pendapatan diwajibkan?

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 5 Mei - Kerajaan tidak menolak kemungkinan menguatkuasakan undang-undang mewajibkan masyarakat Islam di negara ini membayar zakat seumpama sistem kutipan cukai yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, langkah tersebut boleh dilaksanakan pada masa akan datang setelah segala peraturan dan akta yang berkaitan disemak terlebih dahulu.

''Melalui sistem pembayaran sedia ada (secara sukarela), jumlah kutipan amat membanggakan dan ia meningkat dari tahun ke tahun.

''Bagaimanapun persoalan untuk menguatkuasakan pembayaran zakat adalah proses yang boleh berlaku pada masa akan datang,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan program kerjasama strategik antara EONCAP Islamic Bank Berhad dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) membabitkan pembayaran zakat melalui kad debit EONCAP Islamik Combi MasterCard di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Mustaffa Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif EONCAP Islamic Bank Bhd., Fozia Amanulla.

Jamil Khir mengingatkan tanggungjawab membayar zakat adalah wajib ke atas semua orang Islam tetapi pada masa sama, kerajaan menekankan dari segi aspek dakwah bagi meningkatkan jumlah pembayar zakat.

Beliau berkata, langkah beberapa kerajaan negeri menguatkuasakan kewajipan membayar zakat pendapatan adalah satu pendekatan yang baik dan ia tidak bermaksud umat Islam perlu membayar cukai yang lebih banyak.

Katanya, setakat ini melalui kaedah pembayaran sukarela membabitkan pelbagai mekanisme termasuk kutipan di kaunter pungutan zakat atau ejen di bank-bank, jumlah kutipan zakat di seluruh negara pada tahun lalu mencecah sehingga RM1 bilion.

''Zakat yang merupakan ibadah hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan yang perlu dicukaikan dan akan dipotong bagi (pengiraan) cukai pendapatan untuk negara,'' katanya.

Namun katanya, proses menguatkuasakan zakat pendapatan masih terus diperbincangkan oleh para ulama kerana terdapat perbezaan pandangan dan kedudukannya lebih luas berbanding zakat tanaman atau ternakan.

''Sebab itu dalam soal zakat, kita mengambil kira soal dakwah dan jika dakwah tidak berlaku, maka kefahaman perlu dipertingkatkan lagi,'' katanya.

Terdahulu beliau berkata, kaedah pembayaran zakat menggunakan kad debit EONCAP Islamik Combi MasterCard yang berlandaskan syariah akan lebih memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu.

No comments: