Like Blog Ini...

Sunday, May 10, 2009

Tubuh kedai koperasi di masjid

Oleh HUSSAINI AMRAN

TAMPIN 10 Mei - Kesemua masjid di negeri ini disarankan untuk menubuhkan kedai koperasi bagi memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif itu perlu dikaji oleh jawatankuasa masjid-masjid di kawasan pekan serta bandar terutamanya yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang ramai.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), kedai koperasi boleh dibuka atau dibina di dalam kawasan masjid terbabit dengan menjual barangan pada harga yang berpatutan kepada masyarakat Islam setempat.

''Selain membantu umat Islam mengurangkan kos sara hidup, penubuhan kedai koperasi merupakan satu langkah mempopularkan masjid sebagai pusat ekonomi masyarakat Islam di dalam kariah berkenaan," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Tapak Masjid Jamek Tunku Besar Tampin di sini hari ini.

Hadir sama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri; Tunku Isteri Cik Puan Sharlita Omar; Mufti Kerajaan negeri, Datuk Mohd Yusuf Ahmad; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor; Pegawai Daerah Tampin, Datuk Mohd Yusof Yunus dan Pengerusi Kumpulan Amanah Raya Berhad, Datuk Dasuki Ahmad.

Tambah Mohamad, sumber pendapatan yang diperoleh melalui kedai koperasi boleh digunakan untuk membiayai kos pengurusan masjid serta aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Beliau memberitahu, barangan keperluan harian seperti beras, susu, gula, kopi dan teh amat sesuai dijual di kedai koperasi masjid disebabkan oleh tempoh luput yang panjang.

Menurutnya, kedai-kedai koperasi masjid di seluruh negeri ini digalak supaya mewujudkan satu konsortium khusus bagi menguruskan pembelian barangan secara pukal daripada pengilang atau pemborong.

''Jika sekurang-kurangnya 100 masjid di negeri ini mempunyai kedai koperasi sendiri, konsortium berkenaan boleh membuat pembelian pukal bagi pihak kesemua masjid terbabit.

''Harga pembelian pukal sudah tentu jauh lebih rendah daripada harga runcit. Seterusnya, kedai koperasi boleh menjual barangan kepada ahli-ahli pada harga yang amat berpatutan," kata Mohamad.

Di samping itu, ujar beliau, kedai koperasi masjid boleh bekerjasama dengan MAINS untuk menubuhkan sebuah gudang pusat bagi menyimpan kesemua barangan yang dibeli secara pukal.

Katanya lagi, kedai koperasi Masjid As-Syakirin di Gemencheh dekat sini sesuai dijadikan contoh kepada masjid-masjid lain yang berminat melaksanakan inisiatif serupa.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, Tunku Syed Razman berkata, tanah tapak Masjid Jamek Tunku Besar Tampin seluas 0.923 hektar itu merupakan pusaka peninggalan Tunku Besar Tampin ke-6, Tunku Syed Idrus Tunku Syed Mohamad Al-Qadri.

Menurut beliau, tanah tapak masjid berkenaan kini diwakafkan kepada MAINS agar aktiviti serta program yang bermanfaat kepada umat Islam di sekitar daerah ini dapat dilaksanakan dengan lebih giat lagi.

No comments: