KUALA LUMPUR 6 Mei - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yakin mencapai sasaran pungutan zakat sebanyak RM216 juta di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini berbanding RM211 juta tahun lalu.
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada peningkatan bilangan pembayar zakat di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Beliau berkata, dalam empat bulan pertama tahun ini, sejumlah 49,000 pembayar zakat direkodkan di tiga wilayah berkenaan, lebih tinggi berbanding 42,000 pembayar zakat dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Jumlah pembayar zakat di Wilayah Persekutuan boleh mencecah 68,000 orang menjelang akhir tahun ini,'' katanya.
Mustafa berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan musibah kepada 370 penduduk di sekitar Lembah Klang yang ditimpa bencana banjir pada awal Februari lalu di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, MAIWP memberi bantuan sebanyak RM1,000 seorang kepada mereka yang terbabit bagi membantu meringankan bebanan kewangan setelah kehilangan serta menanggung kos kerosakan harta benda termasuk kenderaan akibat bencana berkenaan.
Sumbangan dalam bentuk cek itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd. bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, hasil pungutan zakat di kalangan warga tiga wilayah tersebut tahun ini dijangka terus meningkat berbanding tahun lalu walaupun ekonomi negara mengalami kelembapan.
"Kami di PPZ MAIWP berjaya memungut zakat sebanyak RM62 juta dalam empat bulan pertama tahun ini dan angka tersebut adalah 11.1 peratus lebih tinggi berbanding RM55 juta yang berjaya dipungut dalam tempoh yang sama tahun lalu," kata beliau.
Jelasnya, peningkatan hasil pungutan zakat itu turut disumbangkan oleh peningkatan kesedaran di kalangan penduduk Islam mengenai kewajipan membayar zakat.
No comments:
Post a Comment