Like Blog Ini...

Sunday, May 10, 2009

Pembayaran Zakat Mungkin Dikuatkuasa - Jamil Khir

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasa undang-undang membayar zakat seperti yang dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembayaran cukai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom bagaimanapun berkata sebelum dilaksanakan, beberapa perkara dari segi peraturan, akta dan undang-undang perlu disemak terlebih dahulu.

"Pembayaran zakat pada masa ini amat menggalakkan, iaitu mencecah RM1 bilion bagi seluruh negara tahun lalu, tetapi persoalan sama ada ia akan dikuatkuasakan dalam perundangan akan dikembangkan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Jamil Khir berkata pembayaran zakat tidak membebankan pembayar cukai yang beragama Islam, kerana jumlah zakat yang dibayar akan ditolak dari jumlah cukai yang perlu dibayar.

Beliau melancarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui Kad Combi Debit Mastercard, kerjasama antara Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Eoncap Islamic Bank Berhad.

Menerusi perkhidmatan debit, pembayar zakat tidak perlu lagi membawa wang tunai semasa membayar zakat, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Eoncap Islamic Bank Berhad, Fozia Amanulla berkata antara kelebihan sistem itu ialah, pelanggan boleh membayar zakat secara sekaligus atau ansuran.

"Segala pembayaran akan didebit daripada akaun pemegang kad akaun simpanan atau semasa melalui baki yang ada," katanya.

Buat masa ini, perkhidmatan tersebut boleh digunakan oleh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan sebelum dikembangkan ke seluruh negara, kata Fozia.

-- BERNAMA

No comments: