Mutawif atau pembimbing umrah adalah individu penting yang membantu para jemaah melaksanakan ibadat di Tanah Suci dengan sempurna.
Peranan mereka mustahak bukan setakat membimbing jemaah melakukan tawaf, saie dan ibadat. Malah, mereka juga menjadi pakar rujuk dan tempat mengadu segala hal dan masalah.
Daripada sekecil-kecil masalah sehinggalah berkaitan kehilangan beg, membayar dam dan sebagainya, mutawiflah orang yang sentiasa menjadi rujukan para jemaah umrah.
Oleh yang demikian, ramai jemaah umrah yang meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada para mutawif termasuk dalam bab membeli-belah di Tanah Suci.
Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif ATT, Datuk Md. Daud Che Ngah mengingatkan golongan tersebut agar tidak mengambil kesempatan daripada kepercayaan tersebut.
“Saya ingatkan para mutawif jangan sangat berharap nak cari untung dengan apa yang dibuat di celah-celah kita bawa jemaah.
“Jangan pula sambil bawa jemaah kita meniaga hinggakan jemaah minta tolong belikan kurma harga 60 riyal kita sapu 80 riyal
“Nak membina imej yang baik bukan mudah. Ia mengambil masa. Jadi kita di ATT sentiasa menjaga nama baik syarikat agar tidak tercemar sehingga boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Tahunan ATT 2011/2012 di sebuah hotel di ibu negara, Disember lalu.
Konvensyen sehari itu dihadiri oleh kira-kira 200 agen, mutawif dan juga ketua rombongan ATT dari seluruh negara.
Ia dirasmikan oleh Presiden Persatuan Syarikat Pengembaraan dan Perlancongan Malaysia (Bumitra), Mohd. Ayub Hassan. Turut hadir, Pengarah Urusan ATT, Ibrahim Mat Sin.
Untuk itu, Md. Daud berkata, pihaknya mengkaji dan menilai tahap perkhidmatan oleh para mutawif yang dilantik daripada semasa ke semasa.
Ambil tindakan
Katanya, sebab itu ATT menyediakan borang kaji selidik kepada setiap pelanggan untuk menilai perkhidmatan yang diberikan oleh mutawif dan juga ketua rombongan.
“Kalau ada laporan mengenai kes-kes salah laku begini, kita akan ambil tindakan termasuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan mutawif tersebut,” tegasnya.
Md. Daud berkata, antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh golongan mutawif adalah mempunyai ilmu umrah yang mantap, jujur dan boleh dipercayai.
Bagi mencapai tujuan itu, ATT katanya, mahu mencari 30 anak muda tempatan untuk bertugas sebagai mutawif.
Beliau memberitahu, mereka ini akan diberi latihan dan modul khas berkaitan ibadat umrah untuk memberi nilai tambah perkhidmatan ATT di Tanah Suci.
“Kita mempunyai kira-kira 80 mutawif di Mekah tetapi kebanyakan mereka adalah warga Indonesia.
“Jadi, kita mahu melatih rakyat tempatan sebagai mutawif bagi memudah dan melancarkan lagi ibadat umrah pelanggan kita,” katanya.
Menurut Md. Daud, mutawif juga perlu bersikap super aktif termasuk suka membantu lebih-lebih lagi semasa jemaah berhadapan masalah.
Pendek kata, jelas beliau, mereka perlu sentiasa berada bersama jemaah semasa di Mekah dan Madinah.
“Kita tak mahu mutawif yang hanya ada semasa sampai dan waktu nak balik ke Malaysia. Waktu lain mereka hilang entah ke mana.
“Daripada ada ramai wakil ATT yang tidak bertugas dengan baik, lebih baik kita kekurangan orang tetapi boleh memberi perkhidmatan yang memuaskan dan baik,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Md. Daud mengingatkan jemaah umrah dan haji agar menunaikan solat fardu di dalam penerbangan.
Katanya, jika sukar menggunakan air untuk berwuduk, kini sudah ada dijual debu tayamum bagi memudahkan jemaah dalam pesawat.
“Tidak ada gunanya tunai umrah dan haji tetapi dalam perjalanan pulang kita tinggalkan solat fardu,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment