Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my
DALAM suasana semasa diselubungi jerebu dan ancaman selesema babi (Influenza A H1N1), beberapa isu penting kesihatan semakin tenggelam.
Antaranya adalah perkembangan penyakit-penyakit lain seperti demam denggi dan keracunan makanan, mahupun isu seperti pendermaan organ dan juga menderma darah.
Tahun ini, Ramadan 1430 bakal disambut dengan topeng muka akibat jerebu dan H1N1. Namun masalah sama tetap berulang setiap bulan puasa di hospital-hospital negara ini.
Ketibaan Ramadan membawa bersama kekurangan bekalan darah akibat ramai umat Islam yang berhenti (sementara) menderma darah.
Bekalan kecemasan
Dianggarkan sekitar 70 peratus penderma darah terdiri daripada umat Islam pelbagai kaum. Setiap penderma boleh menderma sekali setiap tiga bulan dengan setiap pain darah dapat diasingkan mengikut komponen tertentu untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Mungkin ada di antara kita yang tidak perasan akan kehadiran 1 Ramadan cuma tinggal dua minggu. ketika ini, ramai yang mula mengejar puasa ganti untuk yang tertinggal tahun lalu.
Malangnya, aktiviti 'puasa awal' ini juga mungkin menyumbang kepada menurunnya aktiviti menderma darah lebih awal, sebelum Ramadan bermula.
Sememangnya masalah bekalan darah sesuatu yang berterusan sepanjang tahun, dengan jumlah penderma yang belum mencapai sasaran keperluan.
Namun, masalah ini makin meruncing di bulan puasa akibat ramai yang berasa 'tidak cukup kuat' untuk menderma sambil berpuasa.
Keperluan bekalan darah kecemasan akan memuncak bila menghampiri hari-hari akhir Ramadan apabila umat Islam (dan yang bukan Islam) mula berangkat pulang ke kampung.
Bilangan kes kemalangan jalan raya yang tinggi bila menghampiri tanggal 1 Syawal memerlukan setiap hospital bersedia dengan bekalan darah yang banyak, terutamanya untuk kes-kes kemalangan yang parah.
"Selain kemalangan, bekalan darah juga diperlukan ibu bersalin, penghidap penyakit darah, pesakit yang menjalani pembedahan dan bermacam masalah kesihatan lain," tegas Koordinator Nasional Kempen Derma Darah PraRamadhan ANSARA (Persatuan Bekas Pelajar2 Maktab Rendah Sains MARA, MRSM), Dr. Halim Abubakar.
Untuk memenuhi keperluan darah negara di bulan puasa, ANSARA dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan AEON Jusco sekali lagi menggembeling tenaga mengadakan Kempen Derma Darah PraRamadhan 2009.
"Siri Kempen ini diadakan pada minggu terakhir sebelum bermulanya bulan Ramadan kerana darah yang didermakan tidak boleh bertahan melebih 42 hari sebelum ia dianggap luput (expired).
"Keperluan darah akan meningkat pada akhir bulan Ramadan apabila musim balik kampung bermula di mana banyak kemalangan jalan raya berlaku," jelas Dr. Halim.
Tambahnya, pada masa cuti sebegini, kebanyakan rakyat Malaysia sedang bercuti dan sukar untuk menderma darah.
No comments:
Post a Comment