Like Blog Ini...

Friday, August 14, 2009

Belajar perubatan di Mesir

Oleh ZUHAYATI YAZID

CABARAN yang ditempuh ketika menguruskan hal pengajian anak-anaknya ke luar negara daripada mencari universiti yang sesuai hingga kepada pembiayaan, telah membuka jalan kepada Norizah Ali untuk menubuhkan syarikat bagi membantu ibu bapa yang menghadapi masalah sama.

Beliau menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan termasuk ketika mengusahakan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan kemudian membuka sekolah agama swasta, untuk mengasaskan QAS Management (M) Sdn. Bhd., (QAS).

Syarikat tersebut ditubuhkan bertujuan memberi perkhidmatan bagi membantu pelajar tempatan meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di universiti-universiti terpilih terutama di Indonesia dan Mesir.

"Idea menubuhkan QAS timbul selepas saya menghadapi pelbagai rintangan bagi mencari tempat untuk anak saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan yang diminati. Akhirnya dia berjaya mendapat tempat di Universiti Tonto di Mesir.

"Berdasarkan pemerhatian saya ketika itu, perubatan merupakan bidang yang amat tinggi permintaannya tetapi tempat yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan amat terhad.

"Jadi secara tidak langsung sebenarnya kami membantu merealisasikan cita-cita rakyat Malaysia yang berhasrat menjadi doktor dengan mendapatkan tempat di universiti di luar negara," katanya.

QAS yang beroperasi di 14-2 Jalan USJ 9/5R Subang Business Centre , Subang Jaya, Selangor, kini giat dalam memberi perkhidmatan pengurusan dan penempatan pelajar dalam bidang perubatan khususnya di Mesir

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaini Idris berkata, universiti-universiti tempatan tidak mampu untuk menampung permintaan dalam melatih doktor-doktor perubatan.

Malah berdasarkan perangkaan terbaru kerajaan hanya mampu menyediakan 53 peratus doktor di hospital kerajaan, manakala dalam bidang pergigian nisbahnya lebih kecil iaitu seorang doktor gigi untuk 800 pesakit.

Lantaran daripada kekurangan itu, QAS mengambil inisiatif untuk membantu kerajaan dengan menghantar pelajar perubatan ke Mesir dengan pembiayaan ibu bapa masing-masing.

Kata Zaini lagi, perkhidmatan yang disediakan hanya memerlukan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia dengan gred B3 dalam mata pelajaran Sains dan Matematik tanpa melalui kursus asasi atau prauniversiti.

''Sementara syarat lepasan matrikulasi hanya diperlukan untuk mereka yang mahu mengikuti bidang perubatan di Indonesia,'' katanya.

Menurut Zaini lagi, QAS juga mengadakan kursus pemantapan selama dua minggu sebelum calon berlepas ke Mesir dan selepas mendapat surat tawaran dari universiti.

''Di sana biasanya kami adakan sesi pengenalan bagi memudahkan mereka berkenalan serta mendapat gambaran mengenai kehidupan selama enam tahun di bumi Ambia itu,'' ujarnya.

Malah pihaknya juga turut mengadakan kelas bahasa Arab kepada pelajar-pelajar bagi memudahkan proses komunikasi.

Walaupun dengan pembiayaan sendiri, semasa berada di tahun kedua pelajar-pelajar boleh memohon bantuan kewangan melalui institusi seperti Yayasan Negeri, Pusat Zakat atau Baitulmal serta bank-bank tempatan.

"Walaupun pelajar sudah mengikuti pengajian, kami di QAS tidak lepas tangan sebaliknya pada setiap semester kami akan memantau pencapaian akademik mereka serta memberikan kursus tambahan dalam memotivasikan pelajar tersebut," kata Zaini.

Di Mesir setakat ini terdapat tujuh universiti yang menawarkan bidang perubatan antaranya Universiti Alexandria, Universiti Tonto, Universiti Mansouri, Universiti Anshar, Universiti Cairo, Universiti Al-Azha dan juga Universiti Zaqaziq.

Universiti Alexandria adalah antara pilihan pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Universiti tersebut mempunyai 30 fakulti dalam pelbagai bidang pengajian dengan bilangan pelajar serama 220,000 orang dan 43,000 pensyarah yang bertaraf profesor.

Fakulti perubatannya merupakan yang terbesar dan terkenal dalam bidang pendidikan dan penyelidikan perubatan di Asia Barat dan negara-negara Arab.

Pengambilan baru untuk pelajar memasuki fakulti kedoktoran di universiti tersebut ialah pada bulan September setiap tahun.

''Pada tahun ini, dua fakulti iaitu Fakulti Pergigian dan Farmasi telah membuka peluang kepada 50 pelajar Malaysia bagi setiap fakulti," katanya.

Sehubungan itu, bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke Mesir bolehlah mendapatkan perkhidmatan agensi dan penempatan untuk memudahkan urusan di QAS Management (M) Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengajian perubatan di Mesir, boleh hubungi talian 03-80244824, 019 3326583 atau emel askme@qas.com.my.

1 comment:

qamar_muneera said...

Salam ziarah. saya nak tanya, bila2 saja ke boleh pergi mesir ni? atau ad tarikh2 tertentu juga?