Like Blog Ini...

Monday, August 17, 2009

Peneraju urus aset berasaskan syariah

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
sarah.rohim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Asian Islamic Investment Management Sdn. Bhd. (AIIMAN) bakal menjadi peneraju pengurusan pelaburan aset berasaskan Syariah Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Nor' Azamin Salleh berkata, pihaknya yakin mampu menjadi lebih kompetitif dengan pengurusan pelaburan konvensional.

''Apa yang penting bagi AIIMAN adalah mengubah pemikiran orang ramai terutama pelabur untuk memilih pengurusan berlandaskan syariah.

''Selain itu, kami juga bertanggungjawab untuk menambah pakar dalam pengurusan aset dengan membawa mereka berpengalaman ke dalam AIIMAN untuk melatih tenaga baru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Penubuhan AIIMAN adalah merupakan komitmen antara DBS Asset Management Ltd. dan Hwang-DBS (M) Bhd. untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam pengurusan pelaburan berasaskan syariah.

Tambah Nor' Azamin, bagi membangunkan bakat dalam bidang pengurusan aset ini, mereka mempunyai pakar yang berpengalaman selama 23 tahun dari Singapura dan bergandingan dengan pakar syariah tempatan.

''Setelah mempunyai pakar, fokus seterusnya adalah menambah saiz dana bagi meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap AIIMAN. Pada masa ini kami menguruskan dana bersaiz RM553 juta.

''Selepas itu, kami perlu mengekalkan prestasi yang baik untuk terus kekal relevan dalam industri pengurusan aset ini,'' jelasnya.

Setakat ini, AIIMAN menumpukan kepada produk sukuk yang semakin mendapat perhatian kerana merupakan pelaburan selamat dan pulangan yang diberikan adalah menggalakkan.

Industri pelaburan syariah ini bukan lagi dianggap sebagai alternatif kepada sistem konvensional dan permintaan terhadap produk tersebut berkembang di pasaran tempatan hingga serantau serta Asia Barat.

Pada kebiasaannya sukuk menerima jaminan daripada kerajaan dan kebanyakan negara di barat turut berminat menerbitkan sukuk.

''Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom kini turut menerbitkan sukuk dan ia dijangka terus mendapat perhatian pada masa hadapan,'' katanya.

Dengan latar belakang AIIMAN, mereka dapat menawarkan produk campuran unik ekuiti Asia dan sukuk global, ini dapat menampung peningkatan permintaan kelainan produk tersebut.

Pada akhir Ogos atau awal September ini, dana sukuk global akan dilancarkan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada produk sukuk AIIMAN yang dilancarkan pada Mei lalu.

No comments: