Soalan 1:
SESEORANG yang telah cukup segala syarat wajib zakatnya tetapi dengan sengaja menangguhkannya tanpa sebarang keuzuran sehingga berlaku kebakaran menyebabkan hartanya rosak, apakah dia masih wajib berzakat?
Jawapan:
Seorang muslim yang baik ialah mereka yang bersegera melaksanakan kewajipan apabila telah cukup syaratnya. Jika sudah mempunyai harta melebihi nisab dan menggenapi haul tetapi sengaja menangguhkannya tanpa sebarang alasan, bermakna seseorang itu bersikap acuh tak acuh kepada perintah Allah SWT.
Apabila hartanya rosak kerana sesuatu musibah, maka dia ditakrifkan sebagai muslim yang lalai dalam kewajipannya, kerana bertangguh-tangguh sehingga hartanya rosak baharu teringat untuk berzakat.
Dalam kes ini, dia dianggap berhutang dengan Allah SWT dan wajiblah membayar zakatnya apabila dia sudah memiliki kemampuan dalam hartanya.
Inilah pandangan ulama yang dianggap rajih (kuat), seperti pandangan Ibn Hazm, Imam Ahmad, Abu Hanifah Syafiie, Ibn Qudamah dan ramai lagi.
Ini kerana, ia adalah satu hutang kepada Allah SWT, maka ia wajib dilunasi seperti mana hutang manusia sesama manusia. Wallahua'lam. (Rujuk Sayid Sabiq, Fikih Sunah, Jilid 3, hal. 82).
Soalan 2:
DI DALAM sebuah buku fikah, saya pernah terjumpa bahawa asas pengiraan nisab zakat bukanlah dinilai kepada 85 gram emas; sebaliknya dinilai kepada berat 94 gram emas. Saya keliru, kenapakah ada perbezaan dan berat emas manakah yang lebih tepat di sini?
Jawapan:
SUKACITA dimaklumkan, nisab emas di Malaysia khususnya di Selangor, disandarkan kepada berat 85 gram emas semasa sebagaimana yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara Malaysia. Walau bagaimanapun, memang ada beberapa buah negara lain yang menyandarkannya kepada berat yang berbeza, misalnya 94 gram emas.
Hal ini terjadi, disebabkan wujudnya variasi kepada kualiti emas berdasarkan campuran logam lain ke dalamnya.
Misalnya terdapat emas tulen (99.99 peratus emas), emas 24 karat (97 - 98 peratus), emas 23 karat (96.5 peratus), emas 22 karat (91.6 peratus), emas 18 karat (75 peratus) dan emas 14 karat pula 58.5 peratus. Ada juga emas dinamakan emas 999, emas 950 dan emas 916 berdasarkan mutunya.
Perbezaan kualiti emas ini menyebabkan berbeza harga. Maka, harga-harga itulah yang digunapakai oleh pihak berkuasa agama bagi sandaran nisab zakat di tempat mereka.
No comments:
Post a Comment