Like Blog Ini...

Friday, August 14, 2009

Ramah mesra Taman Impian Putra

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

SUDAH lumrah, manusia walaupun begitu hebat sekalipun tidak akan mampu hidup berseorangan, pasti memerlukan antara satu sama lain. Ajaran Islam menuntut manusia bercampur dan bermesra dengan masyarakat.

Salah satu kumpulan manusia yang memainkan peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran.

Jiran sama ada kaya atau miskin yang tinggal dalam lingkungan rumah kita merupakan aset yang amat bernilai kerana mereka adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan.

Allah berfirman yang bermaksud: Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh. (an-Nisa': 36)

Justeru, mengambil semangat daripada firman Allah itu, Persatuan Penduduk Taman Impian Putra, Bangi, Selangor buat julung kalinya sejak taman itu mula diduduki pertengahan tahun 2007 menganjurkan Majlis Ramah Mesra dan Senamrobik di padang permainan taman itu, baru-baru ini.

Majlis yang bermula seawal pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 400 penduduk. Mereka menyertai pelbagai acara yang dijalankan dengan penuh semangat kekeluargaan dan perpaduan.

Walaupun perancangannya hanya dilakukan dalam ruang masa yang singkat iaitu kira-kira sebulan sahaja, tetapi Ahli Jawatankuasa (AJK) taman itu telah berjaya membuktikan bahawa keikhlasan dan komitmen tinggi telah berjaya mengumpul penajaan dan sumbangan hadiah yang amat membanggakan.

Sebanyak 60 hamper, 79 piala dan hadiah misteri utama bernilai RM30,000 tidak termasuk penajaan hadiah iringan, makanan dan minuman telah disumbangkan oleh individu dan syarikat korporat yang prihatian.

Antara penajanya ialah Utusan Melayu, Pelikan, Power Root, Ambank, Avon, Bank Rakyat, Syarikat Bintang, Mc Donald dan kedai-kedai di Taman Impian Putra.

Hadir sama turut memeriahkan majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk yang juga merangkap Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang, Mazwan Johar.

Pengerusi penduduk taman itu, Md. Khair Arbaeen berkata, antara objektif majlis itu ialah untuk beriadah bagi menyihatkan badan, merehatkan minda setelah penat bekerja yang juga akan dapat mengurangkan tekanan dengan menyertai dan menonton acara-acara yang disediakan.

Selain itu, katanya, ia juga dapat mengeratkan hubungan mesra antara penduduk, sekali gus dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan perpaduan.

"Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja-penaja yang telah menyumbangkan wang tunai dan hadiah-hadiah bagi menjayakan majlis, juga tidak lupa kepada para AJK yang bertungkus-lumus dan penduduk taman yang memberikan kerjasama yang amat baik dan cemerlang," katanya.

Antara aturcara majlis itu ialah ia dimulakan dengan senamrobik, acara mewarna bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan tujuh tahun hingga 10 tahun, sukaneka bagi kanak-kanak seperti heret bola dalam gelung, meniup belon, isi air dalam botol, lari bawa baton.

Golongan dewasa tidak dilupakan juga dengan disediakan acara merebut kerusi bagi kaum ibu dan tarik tali bagi bapa-bapa sebelum di akhiri dengan cabutan nombor bertuah dan penyampaian hadiah.

No comments: