Like Blog Ini...

Friday, August 14, 2009

Al-Matien gabung kaedah lama dan baru

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SEMENTARA menunggu anak-anak menghabiskan kelas mengaji, sempat juga fikiran melayang mengingat zaman kecil-kecil sewaktu mengaji di rumah ustaz, lebih tiga dekad dahulu. Ketika itu, mengaji masih menggunakan kaedah lama iaitu al-Baghdadi.

Masih segar dalam ingatan bagaimana tok guru yang kami panggil Pak Siran kini sudah arwah (semoga Allah cucuri rahmat ke atas beliau) mengajar kami mengenal huruf-huruf hijaiyah secara berperingkat. Sehinggalah ada di antara kami berjaya khatam al-Quran sebelum menginjak kaki ke sekolah menengah.

Kini, sistem pendidikan di Malaysia telah memperkenalkan kaedah Iqra’ bagi menggantikan kaedah lama. Kaedah Iqra’ adalah suatu kaedah bacaan terus tanpa perlu memperkenalkan dahulu huruf hijaiyah dan tanda bacaan bahasa Arab.

Kaedah ini sememangnya berkesan untuk membolehkan seseorang itu membaca al-Quran seawal usia empat atau lima tahun dengan cepat tanpa perlu mengenal huruf terlebih dahulu.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat sedikit kelonggaran dan kekurangan menerusi kaedah baru ini. Namun, ini juga tidak bermakna kaedah Iqra’ ataupun kaedah al-Baghdadi itu tidak bagus, jauh sekali mempertikaikan kredibiliti keberkesanannya.

Penyusun kaedah al-Matien yang juga guru al-Quran yang tidak asing lagi iaitu Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Mari Mengaji’ di kaca televisyen dan Mohd. Wahid Abd. Hanif, seorang guru al-Quran dan Editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Mereka berusaha mencipta dan membentuk kaedah al-Matien menerusi pengalaman dan penglibatan mengajar dan membangunkan kelas pengajaran al-Quran.

“Selagi mana tiap sesuatu itu ciptaan manusia, ia tetap ada kelemahan. Begitu juga dengan kaedah al-Matien yang kami hasilkan ini,” kata Mohd. Zamri.

Sebenarnya, kata Mohd. Zamri, kaedah yang pernah dipakai suatu ketika dahulu seperti kaedah al-Baghdadi, mempunyai kelebihan seperti penekanan dalam memperkenalkan huruf-huruf hijaiyah terlebih dahulu dan lebih teliti dengan kaedah mengeja walaupun pelajar agak lambat dapat membaca.

“Kaedah Iqra’ pula diguna pakai kerana pelajar cepat membaca. Sayangnya, ia tidak pula menekankan pengenalan huruf,” katanya.

Menurut Mohd. Zamri, kaedah Iqra’ bukan tidak bagus tetapi ia lebih menekankan kepada bunyi berbanding para pelajar perlu mengenal huruf-huruf hijaiyah itu sendiri.

Apabila penekanan hanya pada bunyi huruf, jelas beliau, dibimbangi pelajar tidak mengenal huruf di kemudian hari kelak.

“Ini kerana, dalam mengaji, seseorang itu amat perlu untuk mengenal dan mengetahui sifat-sifat huruf dan tempat keluarnya serta makhrajnya. Ini penting untuk mendalami ilmu tajwid,” jelas Mohd. Zamri.

Beliau dan Mohd. Wahid mengambil masa hampir dua tahun untuk mencipta kaedah al-Matien ini.

Kata Mohd. Zamri, hasil penampilan beliau dalam program Mari Mengaji yang mengetengahkan kaedah al-Matein, didapati permintaan daripada orang ramai semakin meningkat.

Malah dengan bentuk interaktif, berwarna-warni dan pengajaran secara berperingkat serta dimantapkan dengan hukum tajwid adalah kelebihan kaedah al-Matien ini.

“Oleh sebab itu, saya berhasrat agar kaedah al-Matien ini dapat menggantikan satu sistem yang sedia dipakai oleh arus perdana di sekolah-sekolah iaitu Iqra’.

“Apa lagi, kaedah al-Matien ini adalah ciptaan atau karya sepenuhnya anak Malaysia,” jelas beliau.

Ibu bapa dan guru-guru al-Quran yang berhasrat memantapkan penguasaan kaedah ini, tidak perlu bimbang kerana dalam masa terdekat ini Telaga Biru Sdn. Bhd. akan mengeluarkan cakera padat digital (DVD) al-Matien.

DVD ini akan dapat menerangkan proses pembelajaran dan pengajaran kaedah al-Matien ini secara lebih lengkap dan terperinci.

Di samping itu, diyakini bahawa kaedah yang diperkenalkan itu boleh merangkumi tujuh qiraat.

Sementara itu, Mohd. Wahid berkata, penyusunan kaedah al-Matien, bukan bertujuan membangga diri mengatakan kaedah yang diperkenalkan ini adalah yang paling sempurna.

Namun, sekurang-kurangnya ia adalah satu usaha anak tempatan untuk menjadikan kaedah membaca al-Quran dan menguasai ilmu tajwid menjadi suatu perkara yang mudah dengan teknik dan sistem yang diperkenalkan.

“Selain menggabungkan kaedah lama dengan kaedah baru, ia juga menampung kekurangan yang ada pada kaedah lama dan baru.

“Malah diyakini lebih mantap dan satu kaedah yang juga cepat dalam menguasai bacaan al-Quran tanpa perlu mengeja.

“Di samping itu, ia juga memperkenalkan pelbagai teknik yang berkesan untuk menguasai ilmu tajwid dengan cepat dan tepat. Malah menerusi gambar rajah (infografik), mengikut format Rasm Uthmani, pelajar dijelaskan tentang panduan sebutan, memberikan contoh ayat daripada al-Quran agar memudahkan lagi pemahaman. Manakala pada bahagian hukum pula diwarnakan,” ujarnya yang berkunjung ke pejabat Mega, baru-baru ini.

Hakikatnya, untuk mengubah penggunaan kaedah sedia ada yang sudah sebati dalam masyarakat Muslim di negara ini kepada kaedah al-Matien, akui Mohd. Zamri dan Mohd. Wahid bukanlah mudah, waima apa yang diusahakan itu adalah bermatlamat untuk pemantapan penguasaan bacaan al-Quran.

Untuk itu, Telaga Biru selaku penerbit, mengalu-alukan semua pihak yang menggunakan kaedah al-Matien ini untuk menganjurkan kursus kemahiran guru di tempat masing-masing.

Pihak mereka bersedia untuk memberi latihan dan teknik mengajar. Untuk maklumat lanjut layari www.telagabiru.net.my atau menghubungi 03-6275 4070.

No comments: