Oleh Zin Mahmud
RAMADAN 2009 akan diingati sebagai bulan suci yang dibayangi oleh penyakit selesema babi, di mana kesudahannya tidak ada siapa boleh dijangka kerana kajian saintis pun belum sampai ke situ.
Seperti kata Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zakuan Zainy Deris ‘‘Hanya Allah mengetahui bila wabak ini akan berakhir. Kita berdoa semoga wabak ini selesai dengan cepat. Dijangkakan di akhir tahun ini vaksin akan memasuki pasaran. Dengan itu, insya-Allah vaksin berkenaan dapat mencegah penularan virus selesema.’’
Jika wabak selesema babi ini berterusan dan keadaan bertambah buruk, pemergian ke luar negara juga akan terjejas, termasuklah untuk melaksanakan ibadat umrah dan haji. Apabila berlaku kemudaratan, yang wajib pun boleh jadi haram.
Selesema babi tidak berpunca daripada babi tetapi makhluk halus mikroorganisma iaitu virus. Babi hanya menjadi hos, maka ia dinamakan selesema babi.
Virus dalam bentuk yang pelbagai dipercayai sudah ada di muka bumi lama sebelum adanya manusia. Maka dalam perkembangannya, mereka bermutasi untuk menjadi pelbagai jenis virus. Mereka menjangkiti haiwan, antaranya terkhusus untuk mamalia.
Maka spesies selesema babi yang dinamakan sebagai Influenza A H1N1 ini juga menjadikannya sebagai hos. Selain babi, burung dan manusia juga turut dijadikan hos. Virus ini hanya bertindak menurut fitrah yang ditetapkan oleh Ilahi kepadanya. Ia seperti makhluk lain, mahu membiak. Sifatnya adalah menjangkiti babi dan manusia untuk penyebaran kandungan genetik di dalamnya. Dalam perjalanan penyebarannya, dia mutasi dan wabak ini boleh hilang apabila variasi atau strain lain muncul dalam bentuk berbeza dan tidak membahayakan manusia lagi.
Ataupun lebih dahsyat lagi jika ia bergabung dengan virus selesema burung H5N1 menghasilkan keupayaan membunuh manusia yang lebih tinggi.
Virus menjalankan fitrahnya. Sementara manusia juga melaksanakan fitrahnya untuk mempertahankan diri daripada dijangkiti dan dibunuh. Tetapi hakikatnya virus ini tidak boleh bergerak ke mana-mana tanpa dibawa oleh hosnya.
Apabila babi bergerak, maka virus ini turut menumpang mamalia itu juga. Begitu juga manusia. Jika manusia yang dijangkiti virus ini bergerak, barulah virus ini dapat ke sana sini. Jika tidak, ia hanya ada di situ sampai mati.
Membunuh
Pada zaman-zaman dahulu, pastinya berlaku juga wabak selesema yang membunuh, tetapi kerana pesakit tidak bergerak mana-mana, ia terhenti di situ. Tetapi kali ini keadaan jauh berbeza. Dalam masa beberapa bulan seorang kanak-kanak dijangkiti selesema babi daripada seekor babi di Mexico, ia kini tersebar ke seluruh dunia dengan Malaysia menjadi negara yang berat tertanggung.
Virus itu tidak mampu untuk bergerak dari Mexico secara bersendirian kecuali dengan menunggang hosnya. Babi juga tidaklah bergerak begitu jauh dan luas. Maka hosnya yang paling membantunya ialah manusia. Ini kerana manusia bergerak jauh dan luas. Tetapi manusia pula tidak dapat bergerak tanpa menggunakan keupayaan teknologi pesawat terbang.
Tanpa pesawat terbang, manusia dan virus yang dibawanya tidak akan ke mana. Mereka mungkin terperosok di sebuah perkampungan di Mexico dan hilang begitu saja.
Maknanya kini, penyebaran Influenza A H1N1 ini berlaku di atas hos manusia dan kapal terbang. Kapal terbang adalah teknologi ciptaan manusia. Maka virus ini berada dalam tubuh manusia untuk disebarkan ke lebih banyak manusia melalui pengangkutan ciptaan manusia.
Tetapi bukan saja kapal terbang yang membolehkan virus ini bergerak dari benua ke benua yang lain. Apabila ia sampai di sesebuah negara, penyebarannya juga pantas dilakukan apabila manusia menggunakan lebuh raya untuk beredar cepat ke kota-kota lain daripada lapangan terbang, tempat ia mendarat.
Faktor yang meluaskan lagi penyebaran virus ini ialah sifat manusia yang kini banyak tinggal di kota-kota raya yang padat, maka lebih mudahlah ia merebak. Dengan satu bersin saja, tentu ramai orang yang menaiki komuter akan dijangkiti virus itu.
Dalam kota, virus ini dapat meluaskan penaklukannya terhadap manusia melalui alat pengangkutan canggih seperti bas dan komuter. Sekali lagi teknologi ciptaan manusia digunakan oleh virus melalui manusia yang dijangkiti untuk memperluaskan kehadirannya.
Tetapi manusia pun tidak duduk diam. Otak yang mencipta kota, komuter dan kapal terbang ini juga mampu berusaha menentang kehadiran virus ini. Selain daripada mereka menyusun semula kehidupan dengan memakai penutup mulut, manusia juga mendapatkan vaksin.
Tamadun manusia hari ini yang memungkinkan penyebaran virus melalui teknologi juga memungkinkan mereka menemukan cara bagi melawan virus ini. Sistem pembuatan dan perniagaan manusia membolehkan ubat ini dipasarkan ke seluruh dunia.
Apabila siap dibuat, ubat pelali itu akan mencegah manusia dijangkiti oleh virus Influenza A H1N1. Dalam hal ini, manusia baru dapat menundukkan salah satu jenis makhluk halus. Tetapi banyak lagi makhluk halus yang akan muncul silih berganti mewarisi virus selesama babi ini. Begitulah edarannya dan manusia harus faham bahawa kesemua ini adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT tentang bagaimana proses kehidupan berjalan saban zaman yang akhirnya muncul dalam keadaan yang manusia berusaha untuk memahaminya.
Manusia hanya dapat memahami mengenai selesema apabila menemui makhluk halus yang dinamakan virus itu. Bidang virologi daqn mikrobiologi yang berkembang memungkinkan pemahaman ini.
No comments:
Post a Comment