Like Blog Ini...

Friday, August 21, 2009

Ciri-ciri pemimpin sejati

Oleh NUR HIDAYAH ZULKIFLI

PADA satu hari, Abu Dzar al-Ghifari meminta Rasulullah SAW melantik dirinya menjadi pegawai, tetapi Rasulullah menolaknya.

Sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu, Baginda bersabda: ''Tidak, Abu Dzar, engkau orang lemah. Ketahuilah, jawatan itu amanah. Ia kelak di hari kiamat merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan betul dan melaksanakan tugas serta kewajipannya dengan betul pula.''

Imam Nawawi menyebut hadis di atas merupakan pedoman dasar dalam berpolitik. Politik mampu menjadi sumber petaka bagi orang yang tidak bertanggungjawab.

Namun kata Nawawi, politik juga boleh menjadi ladang pengabdian dan amal soleh yang subur bagi orang yang mampu dan bertanggungjawab. Politik (kekuasaan) bukan sesuatu yang buruk. Ia ibarat pisau bermata dua; ada baik dan buruknya.

Ia menjadi baik dengan tiga syarat - seperti dalam hadis di atas - iaitu berada di tangan orang yang berkemampuan, diperolehi dengan cara yang betul dan dipergunakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Malangnya, dalam percaturan politik kini, orang kerap hanya bercakap satu perkara, iaitu bagaimana merebut kekuasaan. Bukan bagaimana mempergunakan kekuasaan itu serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan lebih daripada itu kepada Allah SWT.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa kuasa sememangnya sesuatu yang menggiurkan kerana dengan kuasa, individu berkenaan membayangkan dia boleh mencapai apa juga impiannya. Menurut Imam Ghazali, dibandingkan dengan harta, kuasa jauh lebih menggoda.

Ia berasaskan kepada tiga alasan iaitu, pertama, kuasa mampu menjadi alat untuk memperbanyakkan harta. Dengan kuasa, seseorang boleh mengayakan dirinya.

Keduanya, pengaruh kekuasaan lebih kuat dan lebih lama. Harta, kata Imam Ghazali, boleh hilang kerana dicuri atau berkurangan.

Namun itu tidak berlaku kepada kekuasaan kerana ia bererti pengaruh seseorang pemimpin di kalangan pengikut dan penyokongnya. Ketiga, kekuasaan menimbulkan kesan populariti yang sangat luas.

Bagaimanapun apa yang harus difahami menjadi pemimpin tidak hanya menerima amanah rakyat, tetapi juga menerima amanah Allah. Pemimpin adalah 'hamba' kepada rakyat. Pemimpin yang mengkhianati dan menodai hak rakyatnya, bererti menggugat dan mengabaikan amanah Allah.

Hakikatnya, menjadi pemimpin bukan mencari kekayaan, tetapi pengabdian. Menjadi pemimpin bererti melaksanakan ibadah yang paling berat untuk melunaskan amanah rakyat dan Allah.

Seorang pemimpin yang baik sentiasa membersihkan batinnya kerana dia sedar niat yang tidak baik boleh menjadikan kekuasaan yang dimiliki sebagai sesuatu yang boleh dijual beli.

Akibatnya, dia mungkin akan tergoda untuk menipu dan membohongi rakyat. Rasulullah bersabda: ''Tiada seorang hamba yang diberi amanah Allah untuk memimpin rakyat kemudian menipu mereka, melainkan Allah mengharamkan syurga baginya.''

Apabila masyarakat lebih mementingkan kebendaan sehingga segalanya harus dibayar dan kemuliaan seseorang hanya diukur oleh berapa banyak harta yang dimilikinya, maka godaan yang paling besar bagi para pemimpin, birokrat dan mereka yang berada dalam lingkaran kekuasaan ialah harta.

Para pemimpin atau wakil rakyat yang lemah imannya, nescaya akan mudah terperangkap dalam penjara hawa nafsu yang dibungkus dengan kata-kata indah, iaitu korupsi, kolusi dan nepotisme.

Oleh itu seorang pemimpin tidak harus terpengaruh dengan kekuasaan yang dimiliki, sebaliknya berusaha menjadi pemimpin yang dihormati dan melaksanakan amanah dengan sebaik-baik.

Dalam soal ini apa yang dilakukan ialah Khalifah Umar Al Khattab seperti mana yang dipaparkan dalam cerita berikut boleh dijadikan teladan.

Satu hari, selepas selesai mengimamkan solat Asar, Khalifah Umar bertanyakan mengenai seorang sahabatnya yang tidak datang.

Dia diberitahu bahawa sahabat tersebut sedang sakit. Umar segera meluangkan masa menziarah sahabatnya itu.

Sampai di rumah sahabat yang sakit tersebut, Umar mengetuk pintu memberi salam. Dari dalam sahabat berkenaan menjawab salam dan bertanya: ''Siapa di luar?'' Umar menjawab: "Umar bin Khattab." Mendengar yang datang adalah Amirul Mukminin, sahabat tersebut terus bangun dan segera membuka pintu.

Melihat keadaan sahabatnya itu, Umar bertanya: ''Kenapa engkau tidak bersolat berjemaah bersama kami? Sedangkan Allah telah memanggilmu dari langit yang ketujuh, tetapi engkau tidak menyambutnya! Sedangkan panggilan Umar bin Khattab membuatkan kau gelisah dan ketakutan?"

Hikmah di sebalik peristiwa ini ialah, pertama, seorang pemimpin yang baik bukan semata-mata berasa cukup dengan kesolehan dan ketakwaan dirinya, tetapi dia juga berasa bertanggungjawab untuk mengajak mereka di bawah tanggung jawabnya untuk menjadi soleh.

Kedua, pemimpin yang soleh tidak akan pernah berasa bangga dengan penghormatan yang diberikan oleh orang bawahannya. Dia tidak mahu mereka hanya mengikut apa sahaja katanya biar pun apa yang dilakukan adalah salah.

Jika itu berlaku maka terjadilah apa yang disumpahkan Allah dalam surat Al-Ashr bahawa mereka semua akan berada dalam kerugian. Itulah sebabnya ketika seorang sahabat melarang sahabat lainnya kerana terlalu sering menegur Khalifah Umar dengan ucapannya: ''Takutlah kepada Allah, hai Umar''. Ternyata teguran itu justeru disokong Umar sendiri. Umar berkata: ''Biarkan dia mengatakannya. Kalau orang-orang ini tidak menegurku sedemikian, maka mereka menjadi tidak berguna dan jika aku tidak mendengarkannya, maka aku bersalah.''

Oleh itu kepada mereka yang bergelar pemimpin dan keluarga mereka sedarilah tanggungjawab yang ada di bahu mereka. Janganlah ingat apabila kita berkuasa dan berpengaruh kita boleh melakukan apa sahaja.

Janganlah memperdayakan rakyat dengan mainan politik kita kerana akhirnya kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan. Mungkin demi kepentingan politik dan berebut kekuasaan, kita rela melakukan apa sahaja tetapi percayalah hasrat untuk berkuasa dengan menggunakan kepalsuan sebagai senjata tidak akan bertahan lama.

Akhirnya, pemimpin seumpama itu pasti akan kecundang, kesudahannya dia bukan sahaja akan mengalami kerugian di dunia tetapi juga akhirat.

Begitulah juga dengan keluarga mereka, janganlah kerana ada ahli keluarga kita pemimpin yang berkuasa, kita berasaskan boleh melakukan apa sahaja.

Ingatlah seseorang pemimpin itu berada di tampuk kekuasaan berikutan sokongan rakyat dan sokongan tersebut diberikan demi kesejahteraan mereka bukan untuk diri pemimpin atau keluarga pemimpin berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: ''Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan, seburuk-buruknya pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, dan kamu melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu.''

PENULIS ialah Pendakwah Bebas

No comments: