Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
POLITIK perkauman di Malaysia, bukan sekadar dapat dilihat dengan kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum, tetapi media massa turut sedemikian sifatnya, terutama media cetak seperti yang ditunjukkan oleh akhbar dan majalah Cina. Mereka ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Serangan dan kecaman akan dilakukan kepada mereka yang tidak sehaluan untuk mempertahankan tindakan mereka.
Inilah akibatnya apabila kita tidak menguatkuasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih malang lagi, kita tidak mengenakan sebarang syarat agar makalah perkauman tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kesempatan ini dipergunakan dengan seluas-luasnya untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka. Akhirnya, mereka hidup dalam kepompong kiasu dan perkauman yang amat menebal. Menanamkan kebencian terhadap mereka yang difikirkan sebagai ancaman, seperti nasib yang menimpa saya.
Berita sebegini biasanya mendapat sambutan dan mudah dipercayai oleh pembaca mereka. Terbaru akhbar Nanyang Siang Pau memetik beberapa pendapat orang Cina antara lain mereka menyifatkan saudara Cina Islam cuba mendapat simpati orang Melayu dengan menonjolkan keislaman mereka.
Saya ingin menegaskan saudara Islam Cina tidak perlu berbuat demikian terhadap orang Melayu, kerana sifat agama Islam itu sendiri sudah mengajar orang Melayu untuk menerima sesiapa sahaja yang memeluk Islam, tanpa mengira apa latar belakang bangsanya.
Orang Melayu yang memahami Islam tidaklah seburuk yang disangka. Toleransi mereka amat tinggi. Jika mereka boleh menerima orang Cina yang berhijrah ke alam Melayu sebegitu ramai, sehingga menggugat kedudukan mereka sendiri selaku pribumi, adalah tidak mustahil untuk mereka menerima saudara baru Cina Muslim seperti kami. Cuma saya amat hairan, kenapa sehingga ke hari ini, amat sukar untuk orang Cina menerima Cina Muslim sebagai sebahagian daripada mereka?
Inilah sifat Melayu Islam yang amat saya puji. Mereka tidak seperti sesetengah pihak lain yang ultra kiasu. Saya tidak memerlukan simpati sesiapa untuk menulis sesuatu yang benar. Apatah lagi untuk dibayar oleh UMNO seperti yang didakwa oleh akhbar Cina.
Kemuliaan seseorang ditentukan oleh iman dan takwanya, bukan bangsa dan warna kulit. Inilah kemuliaan agama Islam yang bersifat sejagat dan menentang sebarang tindakan perkauman. Dengan sebab itu, tidak sukar untuk orang Melayu menerima orang lain, berbanding dengan mereka yang hanya hidup dalam kepompong kiasu, terutama akhbar yang suka mengecam dan memburuk-burukkan orang lain.
Jika hujah atau fakta saya salah, mari kita perbetulkan bersama dengan hujah dan fakta yang ilmiah, bukannya mengecam dan menanamkan rasa kebencian. Tindakan sebegini adalah amat tidak profesional.
Sebelum saya pergi lebih jauh, izinkan saya menyelusuri sejarah akhbar perkauman ini serba sedikit. Sebenarnya bilangan akhbar harian Cina lebih banyak daripada akhbar harian berbahasa Melayu di bumi Melayu. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bahasa sendiri selaku bahasa kebangsaan ketinggalan di bumi sendiri. Bahasa orang lain menguasai bidang persuratkhabaran dan media massa, sehingga bahasa kebangsaan dikesampingkan. Lebih malang lagi, rata–rata orang Melayu tidak boleh memahami berita dan laporan akhbar perkauman tersebut. Manakala, akhbar Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibaca oleh bukan Melayu.
Jika ditinjau daripada dahulu, laporan akhbar-akhbar ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Sentimen ini selalu dimainkan untuk meraihkan sokongan rakan sebangsa mereka. Dengan cara ini juga, akhbar ini dapat bertahan lama dan meraih keuntungan. Pemikiran mereka tidak pernah berubah, terutama dalam isu-isu ketidakpuasan terhadap dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan semangat dan sentimen orang Cina. Fakta ini pernah diakui oleh Penasihat Parti Gerakan, Lim Keng Yaik yang mengatakan akhbar di Malaysia hanya memperjuangkan satu-satu bangsa sahaja. Akhbar Cina dengan sentimen kecinaannya, manakala akhbar Melayu dengan sentimen kemelayuannya. Stail pemberitaan sebegini kata Keng Yaik amat sukar untuk mewujudkan bangsa Malaysia.
Persoalan saya, bolehkah diwujudkan bangsa Malaysia, jika akhbar bahasa lain yang lebih mendominasi akhbar bahasa kebangsaan? Akhbar bahasa Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibeli dan dibaca oleh masyarakat bangsa Cina, kecuali oleh mereka yang berada di Sin Chew, Nanyang Siang Pau, China Press dan lain-lain akhbar Cina. Tujuannya tidak lain untuk mencari berita-berita sensasi untuk lebih disensasikan supaya menjadi lebih kiasu.
Walaupun kadang kala akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia menyampaikan dan menulis berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus-terang. Bahasa akhbar tersebut dapat difahami oleh semua warga Malaysia, termasuk mereka berada dalam sektor persuratkhabaran Cina. Persoalannya, bagaimana dengan akhbar bahasa lain? Apa yang diberitakan, tidak sampai langsung kepada orang Melayu.
Perkauman
Saya yakin, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Maka sudah sewajarnya akhbar itu diwajibkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum supaya tidak timbul prasangka. Apatah lagi kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan perlu dihormati dan dipatuhi.
Menurut A.F. Yasin (1986), sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.
Sejak dahulu lagi, akhbar-akhbar ini langsung tidak menghiraukan hal-hal berkaitan Tanah Melayu di negara tempat mereka berlindung, tetapi lebih kepada isu-isu kaumnya sahaja. Akhbar bukan Melayu lebih cenderung kepada pembacanya, dan prasangka atau ‘penyerangan’ kepada bangsa Melayu, diberatkan lagi dengan adanya kecenderungan berkiblat kepada negara asalnya. Akhbar Inggeris berkiblat kepada penjajah dan Eropah, sementara akhbar Cina menjadi medan pertarungan ideologi yang berlaku di Tanah Besar China.
Ketika itu, banyak tenaga penggerak akhbar Cina ini diimport khas dari Hong Kong dan China. Kajian beliau juga menunjukkan, dari segi sejarahnya suara Cina sentiasa kontra dengan suara Melayu. Sejarah awal akhbar Cina bermula pada penghujung abad ke-19 dengan menonjolkan usaha imigran dan pedagang Cina berkaitan berita-berita ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan. Bermula dengan akhbar The Chinese Monthly Magazine yang diterbitkan pada 6 Ogos 1815.
Pada tahun 1881, lahir akhbar harian Cina yang pertama Lat Pau (1881-1932), mengambil format dan bentuk akhbar Cina di China dan Hong Kong. Lat Pau mempunyai pengaruh yang kuat ke atas orang Cina kerana liputan beritanya membela kepentingan orang Cina dan berita-berita negeri China.
Hayat Lat Pau tidak lama kerana mendapat saingan yang kuat dari Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. Antara akhbar lain yang tidak dapat bertahan lama seperti Lat Pau ialah Thien Nan Shih Pao (1898-1905), Jit Shin Pao (1899-1901) dan Theo Lam Jit Poh (1904-1905). Akhbar Cina yang kekal sehingga ke hari ini ialah Sin Chew Jit Poh (15 Januari 1929) dan Nanyang Siang Pau (6 September 1923) dikuasai sepenuhnya oleh ahli perniagaan dan politik Cina.
Manakala akhbar China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah ilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.
Apakah niat mereka menggunakan nama China? Saya fikir China Press sahaja yang boleh menjawab akan kiblat mereka.
Sehingga kini, isu-isu perjuangan mereka masih sama, tidak banyak berbeza. Misalnya, hal-hal pendidikan, ekonomi, ketuanan Melayu (pribumi) antara isu-isu yang terus diperdebatkan sehingga kepada kemuncaknya pada tahun 1987. Kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap ‘menyerang’ orang Melayu dan Islam.
Saya masih ingat ketika akhbar Cina melaporkan berita Perhimpunan Agung UMNO ke-57 (13-17 November 2006). Memang tidak dinafikan, isu-isu perkauman terus dimainkan oleh UMNO. Akhbar-akhbar yang dikuasai oleh orang Cina terus memanipulasikan isu-isu perkauman yang dibincangkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Cina. Presiden UMNO ketika itu terpaksa campur tangan dengan memberi amaran kepada beberapa akhbar Cina supaya tidak memainkan sentimen perkauman selepas beberapa perwakilan UMNO membangkitkan isu-isu sensitif yang meresahkan sesetengah kaum bukan Melayu.
Menurutnya, UMNO boleh bercakap tentang agenda Melayu, MCA juga boleh bercakap soal agenda Cina, begitu juga MIC dengan agenda India. Apa yang penting ialah agenda nasional. Persoalan saya, bagaimana agenda nasional boleh sampai ke akar umbi jika kita terus berada dalam kelompok perkauman dan kiasu?
Jelas di sini bahawa persepsi masyarakat Cina menjadi semakin serius apabila media perkauman suka memperbesar-besarkan (mensensasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa bangsa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku. Sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.
Natijahnya, timbullah pelbagai persepsi yang tidak sihat. Persepsi sebeginilah menjadi hubungan kaum semakin renggang.
No comments:
Post a Comment