KUALA LUMPUR 12 Ogos - Qari Iraq, Usama Abdullah dan qariah Malaysia, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman masing-masing muncul johan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-51 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Usama yang memperdengarkan Ayat 16 Surah At-Taubah meraih markah 91.96 peratus manakala Sharifah Khasif yang membaca Ayat 51 Surah Al-Anbiya memperoleh 94.75 peratus.
Qari Iran, Jafar Hadi Fardi Aghchay meraih tempat kedua dengan markah 91.92 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Azhar Darma Djunaidi dari Indonesia dengan 91.71 peratus.
Bagi qariah, peserta Thailand, Natipa Manasia mendapat tempat kedua dengan markah 88.46 peratus manakala Dayang Nurul Akmalina Yahya dari Brunei memperoleh tempat ketiga dengan 86.21 peratus.
Johan qari dan qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM14,339, piala, cenderamata dan iringan serta sijil, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM10,754 dan RM7,169 serta cenderamata dan sijil.
Pertandingan kali ini juga memberikan hadiah sagu hati kepada para peserta berupa wang tunai RM3,584 serta cenderamata dan sijil penyertaan.
Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Wan Mohd. Sheikh berkata majoriti peserta yang menyertai pertandingan kali ini sudah boleh membaca dengan fasih dari segi sebutan dan taranum.
Menurutnya, bagi peserta lelaki, perbezaan markah begitu tipis dan terdapat empat peserta yang berjaya mendapat markah 90 peratus ke atas.
"Ini jelas menunjukkan persediaan yang rapi telah dilakukan oleh semua peserta sebelum menyertai pertandingan kali ini," jelasnya.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada malam ini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Tilawah yang bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah itu menampilkan 66 peserta mewakili 43 negara melibatkan 42 qari dan 24 qariah.
Majlis yang berlangsung selama tujuh hari itu bermula 5 Ogos lalu dan berakhir semalam.
Penghakiman tilawah dilakukan oleh jemaah hakim yang terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan 14 orang hakim yang dilantik oleh Jakim.
Sementara itu, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, 27, tidak menyangka menjadi johan setelah dua kali mencuba dan menjadi naib johan tahun lalu.
Qariah berdarah kacukan Melayu-Yaman dan berasal dari Ipoh, Perak itu sebelum ini tidak berpuas hati dengan bacaannya pada malam Isnin lalu.
Menurutnya, keinginan untuk terus mencuba merupakan semangat yang diberikan oleh arwah ayahnya yang mahu melihat beliau menjadi johan tilawah peringkat antarabangsa.
"Saya merancang untuk berhenti sebelum umur 30. Tetapi, sebelum berhenti saya akan pastikan ada pelapis yang boleh mengganti saya," katanya ketika ditemui di sini.
Sharifah Khasif yang menggondol gelaran johan pelbagai peringkat tilawah sejak berusia tujuh tahun berkata, beliau melakukan aktiviti fizikal seperti berenang bagi membantunya mengawal pernafasan.
"Saya juga mengelak daripada mengambil minuman ais dan makanan berminyak bagi menjaga suara," ujarnya.
Sementara itu, Usama Abdullah bersyukur dengan kejayaannya dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya mengadakan majlis yang penuh gilang gemilang itu.
Katanya, kejayaan ini juga akan menjadi pendorong untuk beliau berusaha lebih gigih memperbaiki bacaan al-Qurannya.
"Kejayaan ini merupakan sesuatu yang cukup berharga bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk negara tercinta," katanya.
No comments:
Post a Comment