Like Blog Ini...

Sunday, August 16, 2009

Barat masih mahu menjajah

“Perasaan itu semakin merosot,”. Itulah ucapan yang keluar dari mulut negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad, 84 tahun ketika ditanya apakah perasaan cintakan negara semakin menurun terutama di kalangan generasi muda sekarang.

Dalam wawancara yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 86 di Menara Berkembar Petronas, yang dihadiri Wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar RAHMAN SALLEH beliau menyatakan jika perasaan itu semakin hilang mungkin akan timbul gejala mengkhianati negara secara tidak disedari.

“Dulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan orang hidup susah sehingga terpaksa minum air longkang untuk hidup. Namun keadaan sekarang sangat berbeza dan segalanya telah dipermudahkan.

“Malah sekarang ini ada golongan bijak pandai Melayu dan bukan Melayu yang tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka,” kata Dr. Mahathir.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, beliau turut menyatakan tentang agenda penjajahan baru oleh Barat dan peranan mereka di negara ini serta unsur-unsur pengkhianatan yang berlaku sekarang atas kepentingan diri sendiri.

Berikut adalah sedutan dari wawancara tersebut.


Mingguan: Jika kita lihat dahulu sebelum kemerdekaan, penjajah ada di depan mata dan mereka kuat tetapi sekarang ini kita telah merdeka namun apakah ancaman penjajahan itu masih ada?

DR. MAHATHIR: Ya, ancaman itu masih ada jika kita lalai. Segala kesenangan dan apa yang menjadi milik kita akan hilang dan kita akan dijajah semula. Jika tidak secara langsung mungkin secara tidak langsung.

Tetapi adakah agenda dari Barat mahu menjajah negara ini?

DR. MAHATHIR: Mereka memang mahu menjajah seluruh dunia dan bukan sahaja Malaysia. Mereka hendak kalau boleh menguasai seluruh dunia dan kalau kita baca sejarah Barat mereka berpendapat bahawa dunia ini adalah milik mereka dan mereka sahajalah yang mempunyai tamadun maka tugas mereka adalah untuk mendidik orang-orang yang bodoh ini dan memberi mereka satu tamadun yang lebih bermakna.

Ini pendapat mereka sejak 1870 lagi dan pendapat itu tidak pernah hilang sehingga kini walaupun negara-negara di dunia ini telah mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan ini berlaku kerana mereka terpaksa memberi kemerdekaan. Namun mereka ini masih mahu terus menjajah dan terus berkuasa. Kalau tidak secara langsung sebagai colonial master ia berlaku melalui ekonomi atau neokolonialisme.

Cara neokolonialisme seperti yang dikatakan oleh Presiden Sukarno itu memang benar dan mereka ini memang mahu menguasai dunia. Yang paling ketara sekali ialah Amerika Syarikat (AS). Oleh itu mereka tidak senang melihat negara seperti China bangun dan menentang mereka. Jadi mereka sememangnya mahu menguasai dunia dan ini termasuklah Malaysia.

No comments: