Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
SETELAH tampil dengan beberapa model telefon bimbit sentuhan intuitif sebelum ini, Samsung terus mengorak langkah cemerlang menerusi pengenalan model terbaru, Samsung Preston S5630.
Dilengkapi dengan skrin sesentuh penuh QVGA 2.8 inci, model tersebut mengaplikasikan antara muka TouchWiz v1.0 yang membenarkan pengguna menentukan sendiri operasinya mengikut kehendak mereka.
Menerusi kelebihan tersebut, pengguna akan dapat mengakses aplikasi kegemaran mereka dengan cara leret dan letak pada skrin utama.
Untuk pengalaman pelayaran Internet terbaik pula, model tersebut dilengkapi dengan sambungan HSDPA 7.2 Mbps selain sensor accelerometer untuk fungsi putaran paparan secara automatik.
Ia turut dibangunkan bersama teknologi Gesture Unlock iaitu untuk memudahkan pengguna membuka kekunci telefon dengan hanya melukis karakter tertentu yang telah dipilih terlebih dahulu pada permukaan skrin menggunakan jari.
Aplikasi keseronokan multimedianya diperkukuhkan dengan kehadiran kamera 3.2 megapiksel bersama fungsi canggih shot senyuman dan juga shot panorama automatik.
Selaras dengan kehendak pengguna yang mahukan saluran permainan muzik tanpa kompromi, model berkenaan didatangkan dengan ciri perkhidmatan pencarian dan pengecaman muzik Shazam.
Menerusinya, pengguna boleh mencari muzik kegemaran mereka secara maya dengan merekodkan muzik tersebut kepada pelayan Shazam.
Selepas itu, pengguna dengan mudahnya akan dapat menjejaki trek lagu berkenaan menggunakan maklumat seperti tajuk lagu, penyanyi atau kulit album.
Kelebihan lainnya, ia menyokong fail multimedia berformat MPEG4 dan WMV yang dapat mengurangkan bunyi bising atau gangguan.
Bagi memastikan storannya mampu menyokong simpanan pelbagai fail pula, Samsung Preston S5630 mempunyai memori binaan dalam 80 megabait (MB) selain slot kad microSD lapan gigabait (GB).
Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh diperolehi di laman web www.samsung.com.
No comments:
Post a Comment