Like Blog Ini...

Wednesday, August 12, 2009

Takaful: Perlindungan berteras syariah

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

ISLAM tidak pernah melarang umatnya untuk mencipta sesuatu perkara di dalam urusan duniawinya untuk kepentingan dan kesejahteraan hidup manusia asalkan bertepatan dengan prinsip syariah Islam. Inilah keindahan Islam yang begitu unggul!

Malah Islam sangat menggalakkan umatnya agar lebih bijaksana dalam menguruskan kehidupan mereka agar tercapai hasanah di dunia dan juga hasanah di akhirat.

Di antara bidang yang menyaksikan inovasi hebat umat Islam masa kini adalah bidang takaful. Takaful ialah satu kaedah menguruskan risiko yang efektif dan dapat memenuhi keperluan ummah masa kini. Tambahan pula ia menepati prinsip-prinsip Islam yang sekali gus memberikan keuntungan duniawi dan ukhrawi.

Islam sangat mengiktiraf inovasi hebat yang dapat mendatangkan manfaat yang besar seperti ini lebih-lebih lagi apabila hakikat kehidupan kini terdedah kepada pelbagai bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran Karim yang bermaksud: Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali. (al-Baqarah :155)

Dewasa ini, perkataan takaful bukanlah kalimat yang begitu asing kepada masyarakat. Secara umum rata-rata memahaminya bahawa ia adalah satu sistem perlindungan yang berteraskan syariah atau lebih dikenali sebagai sistem Takaful.

Perkataan Takaful di dalam bahasa Arab membawa maksud saling jamin-menjamin atau saling pelihara-memelihara. Di dalam konteks ini, perkataan takaful digunakan untuk memberi makna bahawa ia adalah satu sistem insurans yang berteraskan prinsip Islam.

Sistem takaful ini secara asasnya diadaptasikan daripada sistem khairat seperti yang dilakukan oleh badan-badan khairat surau atau masjid di seluruh negara.

Secara konsepnya, ia merujuk kepada satu kelompok individu telah bersetuju dan bersepakat sesama mereka untuk menyumbang (tabarru') sejumlah wang tertentu kepada satu tabung yang akan digunakan untuk membantu mana-mana individu dalam kelompok tersebut yang ditimpa musibah.

Persepakatan tersebut berasaskan kepada semangat tolong-menolong dan bantu-membantu di antara satu sama lain.

Untuk memastikan tabung berkenaan diurus tadbir secara profesional, kelompok berkenaan (dikenali sebagai peserta dalam sistem takaful) melantik pihak ketiga untuk menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka.

Dalam konteks sistem takaful, pihak ketiga yang dilantik itu merupakan pengendali takaful yang akan menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka.

Pihak peserta melantik pengendali takaful berdasarkan asas Wakalah dimana pengendali takaful dibayar upah untuk menguruskan hal ehwal tabung berkenaan.

Aktiviti perniagaan takaful adalah perniagaan yang dijalankan selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang tidak perlu diragukan. Ini kerana pihak bertanggungjawab kepada industri takaful di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan kerangka pematuhan dan pengawalseliaan Syariah yang mantap dan efisien.

Akta Takaful 1984 telah memperuntukkan beberapa peruntukan yang mewajibkan pengendali takaful supaya memastikan semua aktiviti yang dijalankan sentiasa mematuhi syariah di samping pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak BNM.

Perkara 8 (5) (a) dan (b), Perkara 11 (1) (a) dan Perkara 53A (1) di antara peruntukan dalam Akta Takaful 1984 yang menyentuh secara langsung atau tidak langsung mengenai keperluan dari sudut akta keatas pengendali takaful memastikan operasi mereka sentiasa mematuhi syariah.

Setiap pengendali takaful berdasarkan Akta berkenaan wajib mewujudkan jawatankuasa syariah untuk memastikan perjalanan perniagaan mereka sentiasa mematuhi syariah. Di samping itu pengendali takaful perlu menyediakan sekurang-kurangnya pegawai syariah yang bertugas sepenuh masa untuk memastikan aspek-aspek pematuhan syariah sentiasa diberikan keutamaan.

Dengan kerangka pematuhan dan pengawalseliaan yang mantap tersebut telah memastikan perjalanan operasi pengendali takaful dijalankan selaras dengan kehendak Syariah yang tidak perlu diragui lagi.

Di samping kerangka pengawalseliaan yang cukup kondusif ini ada di antara pengendali-pengendali takaful yang telah mengambil langkah lebih proaktif dengan membuat penambahan ke atas kerangka pematuhan dan pengawalseliaan Syariah sedia ada.

Sebagai contoh, Takaful Ikhlas Sdn. Berhad telah meletakkan aspek pematuhan syariah sebagai keutamaan dimana ia merupakan antara pengendali takaful yang awal mewujudkan Manual Pematuhan Syariah, memasukkan Pematuhan Syariah sebagai salah satu Corporate Risk Scorecard (risiko korporat) yang perlu dipantau sentiasa, mewajibkan Audit Syariah Luaran dilakukan setiap tahun di samping Audit Syariah Dalaman, mewujudkan persekitaran kerja yang sentiasa mematuhi syariah dan sebagainya.

Nilai-nilai unggul

Di samping itu, untuk memantapkan lagi aspek pematuhan syariah ini, Takaful Ikhlas mengambil inisiatif mendapatkan pengiktirafan dari badan-badan penarafan yang berkaitan. Antaranya Takaful Ikhlas adalah institusi kewangan Islam yang pertama mendapat pensijilan MS1900:2005 (Pengurusan Sistem Kualiti - Keperluan Dari Perspektif Islam)

Selain itu, Sistem Takaful juga dilandasi dengan nilai dan konsep yang sangat unggul khususnya nilai-nilai di sebalik aplikasi akad tabarru'. Menerusi kaedah ini telah melenyapkan unsur-unsur gharar (tidak pasti), riba dan maisir (judi) yang menyebabkan insurans konvensional bercanggah dengan syariah Islam.

Di antara nilai-nilai unggul yang terangkum dalam kontrak tabarru' ini adalah:

1. Saling bertanggungjawab

Peserta-peserta Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Memikul tanggungjawab dengan niat baik adalah merupakan satu ibadah dan hal ini dituntut dalam Islam.

Lihatlah maksud sabda Nabi SAW: Perumpamaan hubungan orang-orang beriman dari segi kasih-sayang, kecintaan, dan perasaan mereka adalah ibarat satu tubuh (jasad). Apabila satu dari anggotanya tidak sihat, maka seluruh anggota badannya akan berjaga malam dan demam (panas). (riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Saling bekerjasama dan bantu membantu

Peserta-peserta rancangan Takaful bersetuju untuk bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain dalam menguruskan perlindungan dengan baik. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2 dengan maksudnya: Bekerjasamalah kamu pada perkara-perkara kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan.

3. Saling lindung-melindungi daripada sebarang kesusahan dan musibah

Melalui konsep ini, peserta-peserta Takaful mengambil sikap untuk saling jamin-menjamin di antara satu sama lain, di mana sebahagian daripada wang caruman mereka yang dikenal sebagai wang tabarru' (derma) akan diperuntukkan untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah dan pengendali Takaful bertugas untuk mengendalikan wang caruman tersebut dengan penuh amanah.

Maksud sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: "Seseorang yang beriman itu ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan (perlindungan) terhadap harta dan jiwa raga manusia".

Inilah di antara kekuatan yang ada pada sistem takaful yang berperanan menyelamatkan umat Islam daripada terus menerus dibelenggu oleh sistem yang tidak diredai oleh Allah SWT.

Semoga dengan wujudnya pengendali-pengendali takaful dan penglibatan kita semua di dalam sistem perlindungan yang berteraskan syariah ini, akan memberi manfaat dan jaminan kesejahteraan bersama di dunia dan juga di akhirat.

No comments: