Oleh MUKHIFFUN MUKAPIT
RAMADAN ialah bulan yang penuh keberkatan. Kedatangan bulan ini seharusnya meningkatkan semangat dan iltizam umat Islam untuk merebut segala keberkatan tersebut.
Justeru itu, kehadiran bulan mulia ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi malas bekerja.
Sesetengah individu melihat puasa sebagai kekangan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti atas alasan tiada tenaga kerana lapar dahaga. Persepsi ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam.
Seharusnya ibadah puasa perlu dilihat sebagai motivasi untuk lebih berusaha dan berjaya.
Puasa sebenarnya adalah 'madrasah' bagi kita membentuk peribadi mulia dan unggul.
Pada zaman Rasulullah SAW, peperangan juga berlaku pada bulan yang mulia ini. Para sahabat tetap berjuang menjadi tentera Allah.
Jika menyelusuri konsep kerja dalam Islam, ia sebenarnya merupakan satu bentuk jihad iaitu jihad sosioekonomi.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." - Hadis riwayat Bukhari.
Bagi mendepani bulan puasa yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini, seharusnya kita perlu lebih peka memahami keadaannya dan bagaimana kita dapat mengekalkan prestasi dan stamina.
Konsep puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkannya, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Seorang pekerja biasanya akan bekerja selama lapan jam sehari di waktu siang. Rehat yang diperuntukkan pula adalah 30 hingga 60 minit.
Akta Kerja 1955 menyebut: "Waktu kerja biasa ialah waktu kerja harian yang dipersetujui antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat, 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit dan 48 jam seminggu".
Pihak majikan dan pekerja perlulah memahami keadaan kerja seharian di bulan Ramadan. Pendekatan yang boleh digunakan oleh pihak majikan ialah menambahkan jam rehat, menambah penggantian kerja atau shift dan pengurangan waktu kerja.
Pengurangan jam bekerja adalah bertujuan memberikan peluang kepada pekerja merehatkan fizikal dan minda agar dapat mengekalkan prestasi bagi sesi seterusnya.
Ia juga membantu pekerja memulih dan menyegarkan kembali tenaga mereka. Walaupun secara kebiasaan waktu rehat adalah sesi menjamu selera, namun di bulan mulia ini sewajarnya waktu rehat tersebut diisi ganti dengan zikir dan tahlil kepada Allah SWT.
Pada 2007, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pernah menyarankan kerajaan memendekkan waktu bekerja untuk kakitangan wanita kepada setengah hari sepanjang Ramadan. Tetapi kebanyakan profesional dan ulama tidak setuju.
Memendekkan waktu kerja kepada setengah hari memang agak janggal dan amat merugikan organisasi.
Secara idealnya pengurangan waktu kerja adalah 30 hingga 60 minit daripada kerja biasa, seperti yang dipraktikkan di Kelantan dan Terengganu. Penjawat awam di sana dibenarkan pulang kerja lebih awal 30 minit berbanding hari biasa. Jadual harian kerja juga perlu disusun dengan cara bestari seperti menyelesaikan kerja-kerja yang memerlukan tenaga yang banyak di awal pagi.
Kekurangan tenaga dan rehat semasa kerja kadangkala memaksa pekerja "curi tulang" dan mengundang bahaya pada diri.
Antara lain pemakanan juga merupakan faktor penting. Ia penyumbang bagi meningkatkan tenaga dan prestasi kerja seseorang. Bila seorang pekerja berpuasa maka pengambilan makanan adalah terhad iaitu semasa sahur dan berbuka.
Bagi mengekalkan tenaga, ia bergantung kepada cara pemakanan dan zat yang diserap. Diet perlulah seimbang dan bergantung kepada bentuk dan ciri pekerjaan seseorang. Nilai kalori dan tenaga bagi setiap jenis pekerjaan juga berbeza-beza.
Perancangan pemakanan penting bukan sahaja untuk bekerja tetapi juga beribadat.
Kebiasaannya rakyat Malaysia akan berpuasa lebih daripada 13 jam. Bagi memastikan tenaga mencukupi, kita memerlukan zat yang baik.
Jika tubuh badan manusia memerlukan 40 peratus kalori bagi tugasan di tempat kerja, maka secara idealnya 20 peratus kalori itu diambil sewaktu sahur.
Pengambilan serat, protein dan lemak daripada buah-buahan dan sayuran penting pada waktu sahur. Kurangkan karbohidrat kerana ia hanya dapat membekalkan tenaga sekitar tiga hingga empat jam sahaja berbanding serat, protein dan lemak yang tahan lebih lama.
Makanan yang mengandung serat tinggi akan dicerna secara perlahan dan dapat menyediakan tenaga lebih lama berbanding makanan berserat rendah seperti nasi.
Ketika berbuka, ikutlah sunah Rasullullah. Baginda bersabda: "Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci".
Kemudian barulah kepada menu utama dan elakkan berlebih-lebihan.
Puasa sebenarnya bukan sahaja amalan yang membentuk rohaniah tetapi juga jasmaniah. Banyak faedah kesihatan diperoleh apabila berpuasa.
Maka menjadikan puasa sebagai alasan untuk tidak bekerja adalah tidak berasas.
Pekerja cemerlang mampu menghadapi cabaran dengan baik dan berkesan.
Sebenarnya kita hendaklah sedar bahawa setiap suruhan Allah SWT ada hikmahnya dan perlu dilakukan mengikut kemampuan.
Firman-Nya: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya". Al-Baqarah Ayat 286.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan & Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa.
No comments:
Post a Comment