Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
ISLAM menggalakkan penganutnya supaya mempunyai kesihatan yang baik serta tubuh badan yang sihat dan tuntutan ini dapat diperoleh melalui bersenam atau bersukan.
Dengan kesihatan yang baik dan tubuh badan yang cergas, seseorang akan dapat menambahkan keimanan dan ketakwaan dengan pelaksanaan ibadat yang lebih sempurna seperti ibadat sembahyang, puasa dan seumpamanya.
Oleh itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menganjurkan Program Sihat, Cergas dan Ceria di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu.
Ia bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental demi kesihatan yang optimum kepada muslimin dan muslimat di samping merapatkan silaturahim.
Mengamalkan gaya hidup sihat ini dapat membina daya ketahanan dan kekuatan, mengawal kesihatan badan, memberi ketenangan fikiran dan mengelakkan daripada penyakit.
Yusof Zhoo Qiang Abdullah dari Universiti Malaya mengetuai senaman tai chi yang disertai oleh 300 peserta.
Mereka terdiri daripada saudara Muslim, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria Pantai Dalam, Persatuan Penduduk Taman Melati, Lembaga Kebajikan Perempuan Kota Raja Klang, Asrama Darul Falah Perkim, Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isayang berkata, Perkim adalah satu-satunya pertubuhan yang prihatin tentang kesihatan dengan aktiviti senaman kerana kebanyakan aktiviti yang dijalankan di kawasan ini dilakukan oleh bukan muslim.
"Tai chi adalah satu senaman di mana pergerakannya adalah perlahan. Pada masa yang sama, seseorang itu perlu menarik dan menghembus udara secara perlahan.
"Tai chi merupakan amalan yang sihat dan salah satu unsur yang menjurus kepada kemantapan fizikal dan secara tidak langsung meningkatkan kecerdasan mental.
"Islam tidak melarang bersukan atau bermain apa jua jenis permainan asalkan tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang haram.
"Jangan sampai kita melupakan batas-batas yang digariskan oleh Islam, semata-mata inginkan kepuasan dan keseronokan," ujarnya yang pertama kali menyertai senaman tersebut.
Setelah berpeluh, program diserikan dengan ceramah ringkas bertajuk 'Kesihatan Dalam Islam' oleh Dr. Izuddin Hamzah dari Klinik Hamzah, Klang.
Sementara itu, Noor Afizah Zamuri 21, pelajar Kelab Perkim Kuis berkata, program seperti ini dapat mendedahkan masyarakat Islam mengenai senaman tai chi dan mempopularkan senaman ini kepada orang Islam.
"Saya berharap aktivitinya pada masa depan akan dipelbagaikan termasuk joging, senaman berzikir dan sebagainya," katanya.
Noraza Saad, 22, pelajar Kelab Perkim UKM pula berkata, ia dapat menjalinkan interaksi yang baik di antara muslim dan pengunjung yang berlainan agama.
"Saya berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.
No comments:
Post a Comment