Like Blog Ini...

Monday, August 17, 2009

Era baru Fatah ke arah Palestin merdeka

MEMANG benar seperti yang ditekankan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton bahawa penyelesaian kemelut Palestin tidak boleh diletakkan di bahu AS atau Israel semata-mata.

Dunia Arab perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin, terutamanya Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk melunaskan apa yang telah dijanjikan.

Kenyataan itu diluahkan sewaktu menggariskan dasar luar AS di Majlis Hubungan Luar (CFR) pada 15 Julai lalu. CFR dianggap sebagai badan pemikir bebas mengenai isu hubungan luar AS yang mampu memberi tekanan terhadap hala tuju hubungan dasar luar Jabatan Negara AS.

Selang beberapa hari selepas kenyataan Hillary, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz turut meluahkan kekecewaan terhadap kemelut Palestin. Beliau memberi amaran, negara Palestin merdeka mustahil akan wujud selagi tiada perpaduan di kalangan rakyat Palestin sendiri.

Lebih spesifik, beliau menegaskan perbalahan Fatah dan Hamas telah menghancurkan impian rakyat Palestin untuk hidup dalam negara merdeka. Malah perbalahan sejak beberapa bulan lalu merupakan kekangan utama mengapa tiada kemajuan penyelesaian kemelut ini walaupun White House memberi perhatian serius mengenainya.

Tidak keterlaluan juga jika diumpamakan kesan daripada perbalahan Fatah-Hamas yang bertambah buruk selepas pilihan raya Palestin 2006 telah memberi kesan mendalam berbanding dasar berat sebelah oleh Washington atau Tel Aviv sejak enam dekad lepas.

Sejak kematian pengasas Fatah, Yasser Arafat pada 2004, pertubuhan tersebut dikatakan sudah tidak mampu memperjuangkan hasrat rakyat Palestin kerana dilanda masalah kepimpinan.

Kemuncak kejatuhan Fatah pada 2006 apabila Hamas memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen di Genting Gaza sehinggalah Fatah terpaksa berundur dari wilayah itu pada 2007. Walaupun Fatah menguasai sepenuhnya kerajaan Palestin melalui PA tetapi pengaruh mereka hanya terhad di Tebing Barat sahaja.

Salah satu sebab utama mengapa Fatah hilang pengaruh mereka adalah kerana persepsi bahawa ia dipimpin oleh mereka yang rasuah dan mempunyai agenda dan kepentingan sendiri.

Apa tidaknya, kali terakhir Ahli Jawatankuasa Pusat Fatah dilantik ialah 20 tahun lalu ketika konvensyen pertubuhan itu pada 1989 di Tunis.

Lebih mengaibkan, beberapa AJK yang telah meninggal dunia tidak diganti kerana Fatah tidak pernah mengadakan konvensyen pemilihan sehinggalah beberapa hari lalu.

Begitulah pincangnya pentadbiran Fatah sehingga tidak mampu dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk memenuhi kekosongan jawatan penting.

Konvensyen Fatah dianggap begitu bersejarah kerana beberapa sebab. Bukan kerana yang pertama sejak 1989 tetapi lebih penting ia diadakan di bumi Palestin - Baitulaham. Memang benar Fatah terpaksa meminta kebenaran Tel Aviv kerana Baitulaham dalam jajahan rejim Israel tetapi sekurang-kurangnya terdapat kesungguhan untuk merubah persepsi buruk Fatah.

Lebih memberangsangkan ialah pemilihan 18 AJK pusat menjurus kepada perubahan di mana penyandang yang tidak efektif dan hidup di luar Palestin seperti di Syria dan Jordan diketepikan. Majoriti yang dilantik adalah berpengaruh, lebih muda, pragmatik dan hidup di Palestin.

Ramai yang berpendapat komposisi pemilihan tersebut mencerminkan hasrat Fatah untuk berubah supaya dapat memainkan peranan utama dalam penentuan kewujudan Palestin merdeka.

Pemilihan Marwan Barghouti yang kini berada dalam penjara Israel dan mempunyai sokongan akar umbi merupakan isyarat jelas bahawa sokongan rakyat Palestin terhadap Fatah pasti akan meningkat.

Apa yang lebih penting, Marwan dianggap sebagai pemimpin yang sukar dipengaruhi oleh Washington dan mampu menjalin kerjasama dengan Hamas. Namun AJK pusat Fatah juga dipenuhi oleh mereka yang begitu disenangi oleh Washington kerana mudah untuk berurusan.

Perlu diambil perhatian bahawa Pengerusi masih dipegang oleh Mahmoud Abbas yang dianggap orang perantara penting Washington. Begitu juga dengan kehadiran bekas ketua keselamatan Fatah di Gaza, Mohammad Dahlan juga bakal mewarnai hala tuju Fatah. Dahlan merupakan perancang utama pertempuran bersenjata Hamas-Fatah di Gaza pada 2007.

Ramai yang percaya bahawa Fatah pada ketika itu mendapat bantuan senjata dari Washington untuk menghapuskan Hamas.

Penstrukturan semula Fatah melalui konvensyen itu sedikit sebanyak ada kena mengena dengan pilihan raya umum Palestin yang sepatutnya diadakan pada tahun depan. Kepimpinan Fatah akur bahawa jika sesuatu yang drastik tidak dilakukan maka besar kemungkinan perubahan tersebut akan kehilangan Tebing Barat di tangan Hamas seperti ke atas Gaza.

Namun jika Hamas dapat menguasai PA sepenuhnya selepas pilihan raya 2010 maka sudah pasti kemelut Palestin-Israel akan memasuki era baru kerana perjuangan Hamas untuk negara Palestin yang merdeka adalah jauh berbeza dengan Fatah.

No comments: