Like Blog Ini...

Thursday, August 13, 2009

Pakej 2 masih gagal bantu peniaga kecil

PETALING JAYA 12 Ogos - Kerajaan dicadang supaya memperuntukan 30 peratus daripada Bajet 2010 untuk pembangunan peniaga-peniaga kecil Melayu.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas berkata, peruntukan khusus itu penting untuk memastikan para peniaga meningkatkan keperluan inovasi mereka.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat selepas didapati RM5 bilion yang diperuntukan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua untuk peniaga-peniaga kecil masih belum dapat dinikmati oleh golongan itu.

Katanya, peniaga kecil yang dimaksudkan itu ialah peniaga yang berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan pendapatan sederhana lebih RM3,000 hingga RM5,000.

Mereka itu terdiri daripada peniaga runcit, peniaga pasar malam, pasar tani dan peniaga warung yang kini berjumlah sekitar 500,000.

''DPMM yang membuat pemantauan menyeluruh di 15 buah negeri mendapati daripada jumlah itu hanya tiga peratus peniaga kecil sahaja yang mendapat kemudahan tersebut.

''Jumlah itu bersamaan dengan RM150 juta sahaja'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mendedahkan, ada di kalangan peniaga sudah mendapatkan kelulusan pinjaman, tetapi masih belum mendapat wang.

Contohnya, di Labuan, Mara hanya menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk bulan Januari dan Februari tetapi pada bulan-bulan berikutnya hingga sekarang masih belum dapat menyalurkan bantuan kerana didakwa tidak menerima peruntukan lagi.

Tambah beliau, meskipun kerajaan menyediakan Skim Dana Jaminan untuk peniaga tetapi pendekatan 'siapa cepat dia dapat' menyebabkan bukan semua peniaga kecil berpeluang memohon.

''Dalam tinjauan dan siasatan DPMM, sebahagian besar peniaga tidak mengetahui tentang peluang-peluang tersebut,'' ujar beliau.

Berikutan itu, beliau menyeru institusi kewangan dan perbankan turun padang untuk mencari peniaga-peniaga kecil, dan bukannya menunggu pelanggan di pejabat.

No comments: